Tiga Asas Perkasa Warga Graduan Unisza Sultanah Nur Zahirah
Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan titah merasmikan Konvokesyen kali ke-11, UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.KUALA NERUS, 14 Oktober - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menyeru graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), supaya menghayati dan menjadi agen pembudayaan hidup berteraskan tiga asas bagi memperkasakan pandangan sarwa atau “worldview” seluruh warganya, agar selari dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Baginda yang juga Canselor UniSZA bertitah tiga asas tersebut merangkumi Ubudiyyah, pembudayaan mas’uliyyah dan nilai patriotisme yang perlu diperjuang serta diterjemahkan oleh para graduan dalam mendepani cabaran kehidupan sebenar di luar.
"Pertamanya Ubudiyyah berdasarkan pendekatan Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang mana para ilmuwannya harus lebih menzahirkan akidah tauhid ini secara kontemporari dan praktikal agar dapat membendung gejala liberalisme, sekularisme, atheisme dan lain-lain ideologi yang boleh menggugat kestabilan negara.
"Keduanya pembudayaan mas’uliyyah atau hidup berteraskan akauntabiliti akan menjamin integriti dalam seluruh aspek kehidupan. Justeru kesemua graduan, diseru untuk menterjemahkan konsep mas’uliyyah dalam apa jua bidang berasaskan kepada korpus ilmu masing-masing.
"ketiga, graduan UniSZA juga sewajarnya menjiwai nilai patriotisme dan sayangkan negara, dalam setiap pendirian dan tindakan yang menjadi asas kepada perpaduan rakyat Malaysia," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Konvokesyen kali ke-11, UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.
Turut berangkat pada majlis itu adalah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Abd Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri; Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mohd. Zahari Md. Azahar dan Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin.
Pada majlis itu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Dato' Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.
Titah baginda lagi, walaupun hidup di dalam realiti kepelbagaian kepercayaan dan budaya, nilai toleransi perlu sentiasa dipupuk agar perpaduan dapat dikekalkan.
"Justeru, perbezaan agama, ideologi, dan ras yang boleh membawa kepada kesan negatif perlu dikesampingkan secara total.
"Setiap graduan harus merealisasikan semangat patriotik melalui penghayatan ilmu yang dipelajari," titah baginda.
Sultanah Nur Zahirah turut bertitah keunggulan sesebuah universiti bukan hanya ditandai oleh kedudukannya dalam ranking(kedudukan) tertentu, tetapi juga ditunjukkan oleh pencapaian-pencapaiannya dalam melahirkan golongan ilmuwan dan cendekiawan, mewujudkan ekosistem kesarjanaan yang kukuh dan memberikan manfaat kepada masyarakat seluruhnya.
Sumber: teganukita.net
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/10/tiga-asas-perkasa-warga-graduan-unisza.html