Tidak Tutup Ekonomi Semasa Pkp Elak Peningkatan Pengangguran
azrulhakimieDianggarkan 1 juta orang menganggur jika laksana seperti PKP 1.0
KUALA LUMPUR – Pendekatan Malaysia untuk tidak menutup ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 and 3.0 bagi menangani gelombang terbaharu pandemik COVID-19 dapat mengelakkan pelbagai kesan buruk ke atas ekonomi serta membendung pengangguran dalam kalangan rakyat.
Dianggarkan bahawa dengan penutupan penuh kegiatan ekonomi seperti PKP 1.0, bilangan rakyat yang menganggur dijangka mencecah satu juta orang selain memberi kesan negatif terhadap pendapatan 2.8 juta pekerja sektor informal yang pada masa ini berada dalam keadaan yang mudah terjejas.⠀
Mengambil pengajaran daripada gelombang pertama COVID-19, yang mana tidak ada negara lain di dunia yang menutup sepenuhnya ekonomi mereka dalam menghadapi gelombang kedua dan ketiga pandemik tersebut, sebaliknya hanya mengetatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta menghadkan aktiviti sosial sahaja, maka inilah juga pendekatan Malaysia.
Melalui hantaran di laman sosial Facebook beliau, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata: “Bak kata pepatah, marahkan nyamuk, kelambu dibakar”.
“Dalam kesungguhan kita mencegah penularan COVID-19, kita tidak seharusnya mengorbankan pertumbuhan ekonomi dan juga nasib golongan rentan.
“Secara amnya, kedua-dua PKP telah berjaya mengurangkan kes COVID-19 dengan ketara tetapi PKP 2.0 mencapai sasarannya tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.⠀
Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata pendekatan PKP 2.0 yang lebih bersasar berserta langkah-langkah proaktif kerajaan telah meletakkan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi dengan suku pertama 2021 mencatatkan penguncupan yang lebih kecil — Januari 2021: -3.5 peratus; Februari 2021: -3.6 peratus dan pertumbuhan positif pada Mac 2021 iaitu pada 6 peratus.
Penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) -0.5 peratus pada suku pertama 2021 juga merupakan satu peningkatan berbanding penguncupan -3.4 peratus pada suku keempat 2020, sekali gus meletakkan Malaysia pada landasan pemulihan pada 2021, dengan andaian sektor ekonomi utama akan dapat terus beroperasi.
Menurutnya, sekiranya tindakan penutupan ekonomi secara menyeluruh seperti PKP 1.0 diambil, ia akan mengakibatkan negara tergelincir daripada landasan pemulihan ekonomi dan menggugat kemungkinan Malaysia untuk mencapai pertumbuhan 6.0-7.5 peratus bagi tahun 2021 seperti yang diunjurkan pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).⠀
Tengku Zafrul berkata PKP 2.0 juga tidak menyebabkan peningkatan kadar pengangguran yang ketara — Dis 2020: 4.8 peratus; Jan 2021: 4.9 peratus; Feb 2021: 4.8 peratus dan semakin pulih pada bulan Mac 2021: 4.7 peratus atau 753,200 yang menganggur.
Beliau mengakui bahawa PKP 1.0 telah berjaya mengurangkan dengan ketara kes COVID-19 namun ia telah memberi impak yang mendalam terhadap ekonomi dan mengakibatkan kehilangan pekerjaan dengan anggaran kesan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara.
Susulan pelaksanaan PKP 1.0 dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020, ekonomi negara telah menguncup — Mac 2020: -5.9 peratus ; April 2020: -28.8 peratus; Mei 2020: -19.7 peratus.
“Sekali gus, Malaysia telah merekodkan penguncupan KDNK paling besar dalam sejarah negara dan prestasi paling buruk di rantau ASEAN pada suku kedua 2020, mencatatkan -17.1 peratus.
“PKP 1.0 juga telah mengakibatkan pengangguran meningkat daripada 3.2 peratus atau 511,700 penganggur pada Januari 2020 dan mencapai tahap 5.3 peratus atau 826,100 penganggur pada Mei 2020 (pengangguran tertinggi sejak krisis komoditi pada akhir 1980-an),” katanya.
Ini berbeza berbanding dengan pengurangan kes di bawah PKP 2.0 yang telah dicapai dengan impak kerugian yang lebih rendah terhadap ekonomi iaitu sebanyak RM300 juta sehari, ujarnya.
Hari ini, Kementerian Kesihatan mengumumkan terdapat sejumlah 4,865 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari pada Selasa sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 479,421 kes dengan jumlah kematian seramai 1,947 orang. – Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/tidak-tutup-ekonomi-semasa-pkp-elak.html