Tidak Tamat Sekolah Bukan Bermaksud Gagal
KUALA LUMPUR: Tidak pernah menganggap masalah keciciran dalam pelajaran sebagai kekangan untuk meneruskan hari-hari biasanya, anak muda ini tekad mengubah nasib diri dengan menyertai kursus jangka pendek MyFuture Youth Plus (MFYP) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.
Iqmal Hakim Abdullah, 19, dari Rembau, Negeri Sembilan baru sahaja tamat kursus dalam bidang automotif iaitu pengendalian jentera eskavator di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Rembau berkata peluang mengikuti kursus jangka pendek diguna sebaik mungkin untuk meneruskan minat pembelajarannya dalam bidang itu.
“Saya belajar hingga Tingkatan 4 sahaja, sekarang bekerja sebagai operator di Nestle Rembau. Saya dapat tahu mengenai program ini melalui perkongsian WhatsApp, dan mohon sendiri, alhamdulillah diterima masuk.
“Saya minat bidang kejenteraan ini sejak kecil, dan sekarang saya sedang mengumpul maklumat untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini. Pegawai di IKTBN ada memberi info dan cadangan mengenai saluran pendidikan yang boleh saya cuba nanti,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi ‘Meet&Greet’ peserta Program MFYP di bangunan Parlimen, semalam.
Iqmal Hakim adalah antara 96 belia yang telah dilatih sejak program ini dimulakan 1 April lepas dan dijangka lebih 700 belia bakal mendapat manfaat menerusi program ini yang berlangsung sehingga Julai ini.
Sementara itu, seorang lagi belia iaitu A.N. Tamotaran Nair, 18, dari Bandar Kinrara, Puchong berkata kursus tersebut membantu mendedahkan dirinya dalam bidang servis penyaman udara di samping memberi idea kepadanya untuk menceburi bidang tersebut.
“Memang susah untuk dapat kerja lepas tamat sekolah, dan hasrat saya hanya untuk menjadi individu yang lebih berdikari dan membantu mengubah nasib keluarga dan dengan kursus ini saya jadi lebih yakin,” katanya yang menamatkan kursus di IKTBN Sepang.
MFYP merupakan projek rintis oleh Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), pertubuhan bukan kerajaan dan institusi latihan kemahiran swasta yang menawarkan peluang dan alternatif kepada belia tanpa kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang tercicir daripada alam persekolahan.
Inisiatif KBS ini bertujuan memaksimumkan potensi belia dengan memberi peluang kepada lebih ramai belia mendapat kemahiran, menceburi bidang keusahawanan dan meningkatkan minat mereka untuk menceburi bidang kemahiran selari dengan hasrat kerajaan.
Program ini sekali gus menyumbang kepada gejala sosial negatif terutama dalam kalangan belia berisiko dan golongan terpinggir.
Pelaksanaan program ini adalah secara berperingkat dengan penawaran 70 kursus percuma oleh 21 ILKBS (IKTBN, Institut Kemahiran Belia Negara dan Akademi Kemahiran Belia Golf) di seluruh negara.
Antara kursus yang ditawarkan ialah asas fotografi, kimpalan, pastri, jahitan, automotif, dan multimedia.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berucap dalam program tersebut berkata KBS amat menitikberatkan untuk membantu belia dalam usaha memartabatkan suara anak muda.
“Golongan yang tercicir daripada persekolahan tidak harus dilabel sebagai mereka yang tiada masa hadapan. Nasihat saya pada adik-adik, jangan sesekali mengaku kalah dan sentiasa fikir langkah ke hadapan.
“Saya berharap kalian diserap dalam alam pekerjaan dan menjadi modal insan terbaik dan seterusnya peluang ini (kursus) dapat diterjemahkan dalam bentuk kejayaan terbaik,” katanya.
Belia yang berminat untuk memiliki sijil kursus modular ini boleh melayari http://kemahiran.kbs.gov.my/ms atau hubungi ILKBS berdekatan. – BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2019/04/tidak-tamat-sekolah-bukan-bermaksud.html