Tiada Wang Dan Tempat Tinggal Penarik Beca Terdesak Cari Kerja Lain
  Predeep Nambiar

Penarik beca di Lebuh Pitt, George Town, Pulau Pinang.GEORGE TOWN: Penarik beca di Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang  pendapatan akibat sekatan pergerakan selama 3 bulan yang menyebabkan  tiada orang atau pelancong asing di jalanan.
Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang berkata, ramai daripada mereka  terpaksa tinggal di beca kerana tidak mampu menyewa bilik atau rumah,  dengan ada yang tidak mampu membeli makanan, tetapi mereka memerlukan  wang untuk membeli ubat.
Presiden persatuan itu, Abdul Latiff Mohd berkata walaupun terdapat  bantuan tunai daripada kerajaan persekutuan dan negeri, wang itu  bagaimanapun tidak mencukupi dan kebanyakan daripada lebih 300 penarik  beca sangat miskin serta terdesak.
“Kami tidak kisah kerja sebagai tukang sapu jalan, penjaga bangunan  atau kerja rencam lain buat masa ini,” katanya ketika ditemui di luar  Masjid Kapitan Keling di Lebuh Pitt semalam.

Abdul Latiff Mohd
Majlis Bandaraya Pulau Pinang memberi bayaran insentif RM20 setiap  minggu kepada semua penarik beca, manakala kerajaan negeri memberi  bayaran “one-off” RM500 kepada 318 penarik beca baru-baru ini.
Latiff, 73, berkata kebanyakan penarik beca ialah warga emas dan  semua beca di George Town disewa daripada sebuah syarikat yang  mengenakan bayaran RM2 sehari.
Dahulu, kebanyakan penarik beca boleh meraih sekurang-kurangnya  RM1,000 hingga RM1,300 sebulan, dengan 75% daripada pelancong asing.
Katanya, keadaan lebih baik apabila kapal persiaran berlabuh kerana warga asing membayar tambang dan tip dengan dolar AS.
   Sebaliknya, beliau berkata, penduduk tempatan hampir tidak pernah  menaiki beca walaupun ia merupakan mod pengangkutan tertua di Pulau  Pinang.
“Sekarang kami bergantung kepada kemurahan hati orang asing. Kami  meminta sedikit wang atau makanan. Kebanyakan ahli kami sekarang tinggal  di beca mereka.”
Latiff berkata, terdapat kira-kira 120 penarik beca aktif yang  kebanyakannya mengenakan bayaran RM40 hingga RM60 sejam untuk  mengelilingi Tapak Warisan Dunia George Town.

Bagi penarik beca di Pulau Pinang, tiada pelancong bermakna
tiada pendapatan.Penarik beca, Bakri Abdullah, 60, berkata: “Hari ini sukar mencari  RM1 atau RM2. Saya sanggup buat apa saja, sapu jalan, longkang.”
Seorang lagi penarik beca, Mohd Ibrahim Mohd, 67, berkata beliau pernah mendapat RM20 hingga RM60 sehari dahulu.
Latiff berkata, kumpulannya terbuka kepada cadangan seorang ahli  perniagaan lebih baik untuk mereka bekerja sebagai tukang sapu sementara  dengan majlis perbandaran.
“Sekurang-kurangnya kita ada kerja dan mempunyai sedikit wang sehingga keadaan bertambah baik.”
Ahli perniagaan, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, yang membantu  penarik beca di Lebuh Pitt dari semasa ke semasa, berharap majlis  perbandaran akan mengambil penarik beca sebagai pembersih.
“Hampir 75% pelanggan mereka ialah warga asing, bagaimana mereka mahu  bertahan sehingga akhir tahun tanpa sebarang bantuan? Saya rasa  kerajaan Pulau Pinang perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan kerja di  majlis perbandaran bagi mereka. Saya nampak kesanggupan mereka.”
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/tiada-wang-dan-tempat-tinggal-penarik.html