Tiada Siapa Akan Percaya Santiago Kritik Alasan Peranan Terhad Jkm Ketika Bencana
Jason Thomas -December 21, 2021
Sukarelawan dari pejabat Charles Santiago bersama bantuan makanan untuk mangsa banjir di Klang. Ahli Parlimen itu mengkritik JKM atas usahanya yang tidak mencukupi. (Gambar Facebook Charles Santiago)PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menolak penegasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa peranannya dalam bencana terhad kepada pusat pemindahan sementara (PPS).
Jabatan itu mendapat kecaman kerana tidak menyediakan makanan bagi mereka yang terkandas di rumah dalam kejadian banjir terburuk yang melanda Selangor dalam beberapa dekad ini.
“Tiada siapa yang akan percaya alasan ini,” kata Santiago kepada FMT.
“Saya rasa mereka tidak sepatutnya menggunakan kemalasan atau ketidakcekapan sebagai alasan untuk berkata, ‘Ini bukan kerja kami’.
“Kita sedang dalam krisis sekarang. (Mangsa) adalah pembayar cukai yang terperangkap di dalam rumah. Kita perlu capai mereka,” tambah Ahli Parlimen DAP yang mewakili Klang sejak 2008 itu.
Santiago berkata, JKM tidak berpandangan jauh dengan cuma menumpukan bantuan kepada mangsa di PPS kerana hanya “kumpulan yang sangat kecil” berada di sana.
Sebahai salah satu daerah yang paling teruk terjejas banjir di Selangor, Klang mempunyai jumlah mangsa banjir tertinggi yang ditempatkan di PPS negeri itu, iaitu 18,858 orang.
Setakat 10 pagi semalam, seramai 32,044 orang ditempatkan di PPS.
Berdepan kritikan ia tidak membantu mereka yang terperangkap di rumah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang menyelia JKM, semalam berkata, peranan jabatan itu ditakrifkan menerusi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut arahan tersebut, MKN memandatkan peranan JKM semasa bencana adalah untuk menyediakan dan menyelenggara PPS untuk mangsa.
Ia juga bertanggungjawab menyediakan bantuan makanan, pakaian dan keperluan asas lain serta menyusun senarai mangsa bagi tujuan pemulihan, bimbingan dan nasihat atau kaunseling.
“Jika begitu (arahannya), menteri harus menasihati MKN untuk menukar arahan itu.
“Itu peranan menteri, bukan membuat alasan,” katanya.
Sambil menyatakan bahawa ribuan mangsa terperangkap di rumah dan terpaksa mencari perlindungan di surau, Santiago berkata, beliau tahu mengenai sebuah surau yang bukan PPS tetapi menempatkan kira-kira 1,000 mangsa banjir.
“Itu lebih ramai daripada beberapa PPS,” katanya.
Beliau turut membangkitkan mengenai kekurangan tindak balas JKM dalam mengagihkan makanan dan minuman di PPS dan kawasan kritikal lain kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat di Parlimen semalam, katanya.
Pejabatnya telah mengagihkan sekurang-kurangnya 7,000 hingga 8,000 pek bantuan makanan di Klang sejak tiga hari lepas, selain turut menyediakan pakaian, lampin, barangan runcit, roti dan buah-buahan kepada mangsa banjir.
Bagaimanapun, seperti yang dimaklumkannya kepada Ismail, tanpa “sokongan kuat” JKM, “mustahil” untuk memenuhi keperluan semua mangsa di Klang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/12/tiada-siapa-akan-percaya-santiago.html