Tiada Perubahan Besar Barisan Skuad Harimau Malaya Tiada Seorang Pun Pemain Sri Pahang Fc Tersenarai

KUALA LUMPUR: Tiada perubahan besar dalam senarai barisan pemain skuad kebangsaan yang dipanggil Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski bagi aksi berdepan Cape Verde dan Vietnam.
Berdasarkan senarai yang diumumkan hari ini, Cklamovski memanggil 38 pemain yang mana dia mengekalkan 25 pemain dari skuad ketika menentang Nepal pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, 25 Mac lalu.
Beberapa nama yang kurang minit permainan seperti Nathaniel Hong Wan dan Junior Eldstal turut tersenarai sekali gus mencetuskan persoalan mengenai percaturan yang mahu dilakukan pengendali dari Australia itu.
Malah, meskipun beraksi di pentas akhir Piala Malaysia, tiada pemain Sri Pahang yang dipanggil kecuali hanya Sergio Aguero yang diletakkan dalam senarai bersedia.
Cklamovski bagaimanapun memiliki alasan tersendiri mengapa dia menyenaraikan pemain seperti Hong Wan dan Eldstal selain tidak memanggil pemain Sri Pahang.
"Saya menerima soalan yang sama (mengenai pemain kurang minit permainan) ketika kem latihan pertama dahulu. Mohamadou Sumareh datang ke kem dan menunjukkan prestasi yang amat baik, namun kali ini dia tidak tersenarai.
"Hong Wan sudah menjalani latihan beberapa minggu sebelum musim berakhir bersama JDT. Dia berlatih dengan baik dan bersedia sepenuhnya. Saya melihat sesi latihannya.
"Junior pula berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Saya lihat sesi latihan di JDT dan juga kelab lain. Tahap intensiti dan semangat yang ditunjukkan sangat bagus dan itulah yang saya mahukan.
"Mereka (pemain Sri Pahang) bermain dengan baik dan saya menghormati usaha serta prestasi mereka sepanjang tahun ini. Mereka menunjukkan prestasi yang baik dan bersaing untuk merebut tempat," katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.
Kem latihan pusat kali ini akan berlangsung dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula 18 hingga 26 Mei 2025 akan berlangsung di Johor Baharu sebelum latihan diteruskan di Kuala Lumpur dari 27 Mei hingga ke hari perlawanan.
Malaysia dijadual berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 29 Mei ini sebelum sekali lagi menentang lawan sama untuk perlawanan latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 Jun ini.
Dua aksi itu sebagai persiapan Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Kumpulan F kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, 10 Jun ini.
Seramai 28 pemain akan melapor diri pada 18 Mei diikuti lapan pemain (25 Mei), manakala Dion Cools dan Hector Hevel akan melaporkan diri pada 1 Jun, sekali gus menyaksikan dua pemain itu terlepas aksi pertama menentang Cape Verde. #BeritaHarian
Senarai 38 pemain Harimau Malaya
Fasa 1 (19 Mei 2025)
Penjaga gol
Muhammad Azri Ghani, Muhammad Haziq Nadzli, Rahadiazli Rahalim, Syed Muhammad Nasrullhaq Syed Bidin
Pertahanan
Muhammad Aiman Hakimi Othman, Muhammad Alif Ahmad, Daniel Ting, Dominic Tan, Gabriel Palmero, Harith Haiqal Adam Afkar, Quentin Cheng, Muhammad Safwan Mazlan, Muhammad Shafizan Arshad, Ubaidullah Shamsul Fazili, Ahmad Zikri Khalili
Tengah
Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, Hong Wan, Muhammad Abu Khalil, Nazmi Faiz Mansor, Nooa Laine, Stuart Wilkin, Syamer Kutty Abba
Penyerang
Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Fergus Tierney, Haqimi Azim Rosli, Paulo Josue, Safawi Rasid
Fasa 2 (25 Mei 2025)
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, La'vere Corbin Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Junior Eldstal, Afiq Fazail, Romel Morales, Endrick Dos Santos
Fasa 3 (1 Jun 2025)
Dion Cools, Hector Hevel
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2025/05/tiada-perubahan-besar-barisan-skuad.html