Tiada Apa Apa Akan Berlaku Sebabnya Umno Tak Mungkin Berani Nak Lakukan Apa Apa
31 May 2025
Beberapa orang bertanya kepada saya, apakah hubungan UMNO dan PKR akan terputus berikutan tindakan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan keluar UMNO dan menyertai PKR?
Walaupun ada beberapa pemimpin UMNO ternampak marah dan kecewa dengan tindakan luar biasa Tengku Zafrul yang tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana hubungan antara dua parti yang sama-sama berada dalam kerajaan – percayalah – tiada apa-apa akan berlaku.
Saya berpandangan tiada apa-apa akan berlaku kerana UMNO tidak mungkin berani melakukan apa-apa.
Lihat saja komen Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengenainya di mana beliau sekadar mengatakan perbuatan Tengku Zaftul itu sebagai tindakan tidak beretika saja.
Selebihnya beliau lebih fokus mahu kouta kerusi menteri yang dipegang Tengku Zafrul sekarang diserahkan semula kepada UMNO bagi mencukupkan tujuh kerusi sebagaimana sebelum ini.
Tidak ternampak langsung beliau melenting dan marah atas perbuatan itu, walhal Tengku Zafrul adalah Ahli MT UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, pernah bertanding dalam PRU15 atas tiket UMNO dan sudah tentu keberadaannya sebagai menteri selama ini juga adalah atas kouta UMNO.
Begitu juga dengan dua pemimpin kanan UMNO iaitu Timbalan Presiden, Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Johari Ghani.
Mohamad dipetik sebagai berkata, tindakan Tengku Zafrul bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana semua orang katanya, ada hak memilih parti pilihan masing-masing.
Malah beliau menyifatkan tindakan Tengku Zafrul keluar UMNO dan menyertai PKR, dua parti yang sama-sama berada dalam kerajaan perpaduan sebagai dinamika politik semasa.
Johari pula yakin hubungan UMNO dan PKR tidak terjejas dengan apa yang dilakukan Tengku Zafrul itu.
Bahkan katanya, UMNO dan PKR perlu terus bekerjasama demi kepentingan negara.
Daripada reaksi tiga pemimpin utama UMNO itu, langsung tidak ternampak mereka marah, jauh sekali mengecam Tengku Zafrul dan ini memperlihatkan seolah-olah bagi mereka, tindakan Tengku Zafrul keluar UMNO dan menyertai PKR itu bukanlah suatu pengkhianatan, tetapi sekadar penghijrahan.
Yang marah-marah, melenting, mengecam Tengku Zafrul, mahu Anwar dan PKR diberi teguran keras serta mencadangkan dikaji hubungan parti itu dalam kerajaan hanyalah pemimpin UMNO peringkat bahagian dan negeri yang pasti suara mereka tidak lebih hahyalah ibarat angin lalu.
Kenapa pemimpin utama UMNO tidak melenting dan marah?
Besar kemungkinan ianya disebabkan sudah ada persefahaman antara Zahid Hamidi dengan Anwar Ibrahim dalam isu Tengku Zafrul ini sebelum Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu membuat keputusan rasmi keluar UMNO dan menyertai PKR.
Tanpa ada persefahaman, tidak mungkin Tengku Zafrul boleh membuat pengumuman itu semalam, sedangkan ura-ura beliau mahu meninggalkan UMNO itu sudah pun berbangkit sejak sekian lama.
Bak kata orang zaman sekarang, dua pemimpin berkenaan mungkin sudah lama merancang, pemimpin UMNO di bawah saja yang lalai dan tidak sedar.
Selepas ini – buat kali kedua, percayalah – UMNO akan membuat ketetapan menerima dengan baik keputusan Tengku Zafrul itu sambil mendoakan kesuksesannya bersama wadah baru iaitu PKR.
Jika ada PRK selepas itu di mana Tengku Zafrul akan bertanding mewakili PKR atas tiket PH – buat kali ketiga, percayalah juga – UMNO akan membuat ketetapan agar parti itu mesti bekerja keras bagi memenangkan bekas Ahli MT UMNO itu demi perpaduan dan kestabilan kerajaan yang dipimpin oleh Anwar.
Yang bising-bising akan jadi diam dan akhirnya wala’ dengan pendirian UMNO, sama seperti wala’nya ahli dan penyokong Pas kepada keputusan pemimpin mereka.
Semuanya akan khalas sebagaimana dirancang. – ShahbudinHusin 31Mei2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/05/tiada-apa-apa-akan-berlaku-sebabnya-umno-tak-mungkin-berani-nak-buat-apa-apa/
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/06/tiada-apa-apa-akan-berlaku-sebabnya.html