The Herald Dan Paderi Andrew Biadap Dr Mahathir
Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan niat sebenar Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang terus menyakitkan hati umat Islam apabila berdegil mahu gereja-gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah.
Sambil membidas sebarang perbuatan tidak menghormati keputusan mahkamah, Dr. Mahathir menegaskan, paderi tersebut perlu mengutamakan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama bagi mengelakkan berlaku huru-hara termasuk pembunuhan seperti di negara luar.
“Penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak, telah lama (digunakan) tak apalah, tapi di sini (Semenanjung) apa sebab tiba-tiba nak digunakan?
“Kita suruh belajar Bahasa Kebangsaan pun tak belajar, nak bercakap Bahasa Kebangsaan pun tak, tiba-tiba dalam perkara ini nak guna sangat Bahasa Kebangsaan, pasal apa, ada niat apa?” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Seminar Pengarah Korporat Keenam sempena Ulang Tahun Ke-50 Tabung Haji di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.
(Baca: Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian)
Dr. Mahathir mengulas kenyataan Andrew yang tetap tidak berganjak daripada pendirian supaya gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan yang menggunakan bahasa Melayu.
Dr. Mahathir berkata, isu pengunaan Kalimah Allah dirujuk ke mahkamah oleh pihak gereja namun apabila keputusan dibuat, mereka tidak mempedulikan.
“Kita jangan menyakitkan hati orang. Tapi dia (Andrew) sengaja, dah mahkamah kata jangan pun, (dia) tak peduli. Ini tak menghormati mahkamah,” katanya.
Tegasnya, paderi tersebut perlu sedar selama ini terdapat banyak kesalahan yang dilakukan orang bukan Islam tidak ditegur oleh umat Islam kerana menghormati sensitiviti serta atas dasar kebebasan beragama.
Malah, Dr, Mahathir turut mengakui, sewaktu bergelar Perdana Menteri, beliau tidak menegur kesalahan orang bukan Islam yang membina empat rumah ibadat dalam satu kawasan kecil disebabkan mahu menjaga sensitiviti.
“Di Malaysia kita tengok, orang bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka sebaliknya di sesetengah negara bukan Islam, masjid tidak boleh didirikan,” katanya.
Justeru katanya, Andrew digesa menghormati keputusan mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi bahasa Melayu.
“Sama ada boleh digunakan atau tidak perkataan Allah dalam agama adalah perkara lain, yang harus kita utamakan adalah sensitiviti masyarakat,” jelasnya.
Semoga memberi manfaat.
-Sentiasapanas.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.sentiasapanas.com/2014/01/the-herald-dan-paderi-andrew-biadap-dr.html