Tfc Kutip Tiga Mata Penting Benam Kelantan 2 1
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) terus berada di kalangan pasukan terbaik Liga Super 2024/2025 selepas meraih tiga mata penuh dengan mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.
Skuad Penyu yang mempamerkan dominasi sejak wisel permulaan dibunyikan melancarkan pelbagai serangan awal untuk menguji ketangkasan penjaga gol KDN FC, Mohammad Fikri Che Soh.
Terengganu akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-11 menerusi Muhammad Alif Zakaria yang bijak melepaskan rembatan susulan selepas sepakan percuma kapten pasukan Muhammad Safawi Rashid terkena benteng pertahanan Kelantan.
Pada babak kedua, gol susulan oleh Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang dihasilkan daripada sepakan Safawi Rashid yang terkena tiang gol pada minit ke-58 telah dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Namun, Safawi Rashid, tidak mensia-siakan peluang apabila bijak menyambut umpanan daripada Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-65 untuk menggandakan kelebihan gol buat Terengganu.
Ketika Terengganu hampir pasti menutup peluang Kelantan untuk mencipta jaringan, Oday Ali Abdalrahim Kharoub berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada saat akhir perlawanan (90+5).
Keputusan itu menyaksikan Terengganu kekal di kedudukan keempat dengan mengumpul 24 mata, hanya dua mata di belakang pasukan tangga ketiga, Sabah.
Sementara itu, di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), hasrat Perak FC untuk melakar kemenangan kedua di laman sendiri tidak kesampaian apabila terikat 1-1 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Sebaik babak pertama bermula, kedua-dua pasukan tampak seimbang apabila mengatur gerakan bagi mencari gol awal dengan tuan rumah lebih banyak mencipta peluang namun gagal menghasilkan gol.
Bersambung babak kedua, anak buah Yusri Che Lah terus menggandakan asakan dan berjaya menghasilkan gol pembukaan pada minit ke-71 menerusi Clayton Da Silva selepas pengadil perlawanan Mohd Fusser Mad Sallih memberikan sepakan penalti melalui VAR.
Tersentak dengan jaringan itu, pengendali (KDA) FC Victor Andrag mengubah taktikal perlawanan dan akhirnya berjaya menghasilkan gol penyamaan menerusi Amirul Hisyam Awang Kecik pada masa kecederaan (90+2).
Pemain Kuching City FC Moses Atede Jona melakukan rembatan sambil dihalang pertahanan Sabah FC Gabriel Schmegel Wotter Peres pada saingan Liga Super di Stadium Negeri semalam. – Gambar BERNAMA
Sementara itu, Sabah FC merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Selangor selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas tuan rumah Kuching City FC dalam aksi sengit yang berlangsung di Stadium Negeri Sarawak.
Kuching City agresif mencipta peluang namun ketumpulan penyudah dan ketangkasan penjaga gol Sabah menyaksikan anak buah Aidil Sharin Sahak buntu tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan.
Memasuki babak kedua, kebuntuan akhirnya terlerai apabila Saddil Ramdani meletakkan Sabah FC di depan menerusi jaringan pada minit ke-66 manakala pada minit ke-82, The Cats menyamakan kedudukan menerusi Zahrul Nizwan Joe Kifli.
Kegembiraan tuan rumah hanya seketika apabila Gabriel Peres menggandakan gol buat Sabah pada minit ke-86 apabila berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Farhan Roslan.
Pada penghujung perlawanan menyaksikan Peres dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan namun iabah FC kekal mempertahankan kemenangan sehingga wisel penamat.
Sabah terikat 29 mata dengan Selangor namun skuad Sang Badak yang sudah beraksi lebih satu perlawanan berbanding Gergasi Merah memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan.
Dalam pada itu, Penang FC akhirnya menamatkan badi kekalahan empat kali berturut-turut apabila berjaya menumpaskan pasukan di tangga ketujuh liga, PDRM FC 2-0 di Stadium Bandaraya.
Bermain dalam cuaca hujan, pasukan pelawat dilihat lebih banyak menguasai bola sebaik perlawanan dimulakan namun insiden pada minit lapan telah menyebabkan PDRM FC kehilangan pemain pertahanan apabila Amir Saiful dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan susulan pergelutan dengan Nabil Latpi.
Tidak mensia-siakan peluang, tuan rumah meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-38 menerusi tandukan Rodrigo Dias hasil hantaran Mohamad Al Hafiz dari arah kanan padang.
Babak kedua menyaksikan PDRM FC cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan dengan melakukan beberapa percubaan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Tuah nyata tidak menyebelahi PDRM FC apabila pasukan kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail menambah jaringan pada minit ke-55 hasil rembatan pemain tengah Nik Akif Syahiran yang menewaskan penjaga gawang PDRM FC, See Tian Keat.
Hujan lebat berterusan memaksa perlawanan ditangguhkan hampir 30 minit pada minit ke-86. Sebaik perlawanan disambung semula, kedua-dua pasukan cuba mengasak untuk mencari gol namun keadaan padang yang bertakung menyukarkan pergerakan pemain.
Kedudukan kekal hingga ke wisel penamat, sekali gus menyaksikan Penang FC berjaya naik satu anak tangga ke tangga ke-10 liga.
Source link
The post TFC kutip tiga mata penting, benam Kelantan 2-1 appeared first on Edisi Viral Plus.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://plus.edisiviral.com/tfc-kutip-tiga-mata-penting-benam-kelantan-2-1/