Terima Kasih Mak Ratu Cantik Thailand Cium Kaki Ibu Yang Bekerja Sebagai Pengutip Sampah
Adalah menjadi tanggungjawab seorang anak untuk menghormati ibu bapa dan membalas segala jasa serta pengorbanan mereka kerana telah membesarkan kita. Tidak kira walau apa pun keadaan mereka, menjadi kewajipan setiap anak untuk menghormati ibu bapa dan orang lebih tua.
Seorang gadis cantik dari Thailand bernama Khanitta ‘Mint’ Phasaeng telah memenangi pertandingan ratu cantik ‘Miss Uncensored News Thailand’ pada tahun 2015. Pada ketika itu, fotonya yang menunjukkan dia sedang menunduk dan melulut sambil mencium kaki ibunya bagi memohon restu dan mengucapkan terima kasih kerana telah membesarkannya menjadi tular di media sosial.
Tanpa berasa malu dan teragak-agak, Mint yang begitu menyayangi ibunya telah pulang ke kampung halaman untuk memberi penghormatan kepada ibunya dengan melutut dan mencium kakinya menurut tradisi Thai. Mint memakai tiara dan selempang ratu cantik yang baru dirangkulnya ketika melakukan upacara penghormatan tersebut.
Stesen Radio Thailand, Page Feel 96.5 Rayong telah memuat naik gambar-gambar tersebut di media sosial dan ia menjadi tular.
Ramai netizen telah memuji tindakan dan sikap Mint yang tidak malu menunjukkan latar belakang keluarganya yang susah. Apa yang lebih membanggakan ialah cara penghormatannya dengan menurut tradisi Thai adalah penghormatan tertinggi yang sepatutnya diberikan kepada semua ibu bapa dan orang lebih tua di Thailand dan ia perlu menjadi contoh buat golongan muda yang lain.
Mint sudah biasa hidup susah dan sering membantu ibunya yang bekerja sebagai pengutip sampah. Pekerjaan ibunya itu menjadi sumber utama mata pencarian keluarga yang telah dapat membesarkan Mint dan adik-beradiknya yang lain.
Kata Mint, “Saya berasa bangga dengan pekerjaan ibu. Kerja mengutip sampah itu adalah satu pekerjaan yang jujur dan mulia. Saya dapat membesar dengan sempurna, cukup makan dan dapat menghabiskan persekolahan kerana pekerjaan ibu yang mengutip sampah setiap hari demi menyara kehidupan saya.”
Tambahnya lagi, “Ia mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah orang, tetapi bagi ibu dan saya, setiap sen wang yang kami perolehi adalah amat berharga. Apa yang saya miliki hari ini adalah jasa dan pengorbanan ibu. Saya dan ibu melakukan kerja yang jujur dan mulia, jadi tidak perlu bagi saya untuk berasa rendah diri atau malu.”
Mint hidup dalam kemiskinan selepas ibunya bercerai sejak dia masih kecil lagi, dan Mint tidak dapat meneruskan pengajian pada peringkat lebih tinggi kerana tidak mampu dan kekurangan dana.
Mint berkata dia berasa bagai tidak percaya ketika diumumkan memenangi pertandingan ratu cantik selepas para hakim membuat keputusan. Baginya kemenangan itu bagai satu mimpi yang menjadi kenyataan.
Sikap Mint memberi pengajaran dan mengingatkan kita supaya tidak pernah lupa akan jasa ibu bapa dan asal-usul serta sentiasa berpijak di bumi nyata walaupun setelah memperolehi kejayaan di dalam kehidupan.
The post Terima Kasih Mak : Ratu Cantik Thailand Cium Kaki Ibu Yang Bekerja Sebagai Pengutip Sampah appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suaraviral.org/terima-kasih-mak-ratu-cantik-thailand-cium-kaki-ibu-yang-bekerja-sebagai-pengutip-sampah/