Terbukti Pas Selama Ini Sokong Perasuah
Pas selama ini ibarat menyokong perbuatan rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak, selepas bekas Perdana Menteri itu dibuktikan bersalah atas pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.
Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin berkata, ini dibuktikan melalui tindakan Pas yang sentiasa ‘istiqamah’ menyokong ahli Parlimen Pekan itu.
“Sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak mengambil alih pentabdiran negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, perompak tersohor itu mungkin masih lagi memimpin negara.
“Pas selama ini penuh ‘istiqomah’ menyokong Najib Razak.
“Walau akan dilakukan pelbagai justifikasi selepas ini, kenyataannya jelas bahawa Pas sama ada secara langsung atau tidak langsung turut menyokong rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali (gambar) memutuskan Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.
Najib, 67, berdepan masing-masing tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Beliau didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang antara lain boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.
“Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” kata Mohd Nazlan.
Sementara itu, Shazni berkata, episod perbicaraan yang panjang dengan pelbagai helah dilakukan oleh pasukan pembelaan Najib selama ini, ternyata masih gagal membela salahlaku yang dilakukan beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Namun katanya, keputusan mahkamah hari ini membuktikan Najib yang kini menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyalahgunakan kuasa untuk merompak harta kekayaan negara.
“Besar harapan rakyat agar lebih banyak kes rasuah dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman yang setimpal.
“Kekayaan negara yang dirompak seharusnya dikembalikan kepada rakyat dan bukannya menjadi ‘keuntungan’ kepada pesalah rasuah,” katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/28960