Tegahan Suka Berdebat Menurut Kitab Ayyuhal Walad Dan Bidayatul Hidayah
TEGAHAN SUKA BERDEBAT MENURUT KITAB AYYUHAL WALAD DAN
BIDAYATUL HIDAYAH
Muhammad Nuruddin Bashah
Muqaddimah
Berdebat asal hukumnya harus berdasarkan keperluan dakwah
surah al Nahl ayat 125. Namun ia mudah bertukar makruh dan haram apabila debat
bertukar menjadi bertengkar pada bukan tempatnya. Selain dilarang dalam agama,
bertengkar juga memberi kesan kepada emosi dan kesihatan mental. Kesan bertengkar
terhadap kesihatan mental boleh
dikaitkan dengan peningkatan tekanan, kebimbangan (anxiety), kemurungan
(depressi), dan kehilangan harga diri (termalu). Pergaduhan berterusan boleh
meningkatkan hormon tekanan seperti kortisol dan adrenalin, menyebabkan gejala sakit
fizikal seperti sakit kepala dan masalah tidur. Selain itu, pergaduhan kerap
juga boleh mencetuskan gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan,
serta merosakkan hubungan dengan orang lain. Hujah yang tidak dapat
diselesaikan boleh menyebabkan perasaan tidak berharga dan hilang keyakinan
diri. Selain itu, masalah kesihatan
mental pun dapat bertambah teruk akibat pergaduhan yang kerap. Oleh itu,
penting untuk mengelakkan pertengkaran berlebihan dan belajar menyelesaikan
konflik dengan cara yang sihat, seperti komunikasi terbuka dan mencari
persefahaman bersama. (Bernama, 2023)
Bahan rujukan awal marilah kita teliti makna hadis berikut.Daripada
Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ
هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ
“Tidaklah suatu kaum
itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka
berdebat”. [Riwayat al-Tirmizi (3176) dan Ibn Majah (47)]
Isunya adakah Islam menghalang berdebat? Bukankah Imam al
Syafie, Imam Hanafi, para mutakallimin, ulama’ hadis juga berjidal (berdebat)
serta berhujah untuk menyebarkan ilmu mereka? Debat bagaimana yang dicela Islam melalui
nas-nas yang agak banyak boleh diperolehi? Kita tahu mereka berdebat, yang kita
tak tahu ialah akhlak mereka. Kita seolah-olah tidak terkesan atai sincronizedengan
akhlak mereka semasa berdebat.
Hadith di atas menyatakan bahawa mereka yang mendapat hidayah
tidak akan tersesat selagi mereka tidak gemar berdebat. Perdebatan sepatutnya
untuk menegakkan kebenaran dan memberi ilmu kepada orang lain. Penting untuk
sentiasa mengikut jalan hidayah dan menghindari perdebatan kosong yang boleh
menjauhkan seseorang dari kebenaran. Sifat ta'assub dan perdebatan tanpa adab
adalah tidak disokong dalam agama.
Dalam bahasa arab berdebat ada beberapa kalimah yang hampir
sama.
Bertengkar : المِرَاء
Berdebat dan
membantah: الجِدال
Pertengkaran,
perkelahian lisan, permusuhan lisan: الخُصُومة
Ciri-ciri
debat menjadikan kita sesat:
Debat dalam bentuk bukan dengan ihsan
وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى
هِىَ أَحْسَنُ ۚ
Maksudnya:
berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
Surah an-Nahl (125). Jika tiada ciri ayat ini bermakna debat itu bukan lagi
ihsan sebaliknya membuahkan pertengkaran.
Debat dengan unsur bertengkar
وعن عبد الله بن عمرو بن
العاص رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: " …..وإذا خاصمَ فجرَ " ((متفق عليه)).
Nabi sebut 4 tanda munafik ....dan apabila dia bertengkar
(debat), dia berkelakuan jahat (tidak berhemah, biadab, menghina)."
Debat yang keras sehingga mengeraskan hati walupun debat
ilmu.
Imam Malik
rahimahullah berkata,
الْمِرَاءُ فِي الْعِلْمِ
يُقَسِّي الْقُلُوبَ وَيُوَرِّثُ الضَّغَائِنَ
“Berdebat
dalam ilmu akan membuat keras hati dan mewariskan dendam.” (Mukhtashar Tarikh
Dimasqa Hal)
Debat yang mengakibatkan banyaknya musuh bertambah hari
ke hari.
Nabi Sulaiman
‘A.S berkata kepada anaknya,
يَا بُنَيَّ، إِيَّاكَ
وَالْمِرَاءَ، فَإِنَّ نَفْعَهُ قَلِيلٌ، وَهُوَ يُهِيجُ الْعَدَاوَةَ بَيْنَ
الْإِخْوَانِ
“Wahai
anakku, tinggalkanlah mira’ (jidal, mendebat karena ragu-ragu dan menentang)
itu, karena manfaatnya sedikit. Dan ia membangkitkan permusuhan di antara
orang-orang yang bersaudara.” (Syu’abul Iman: 8076 Al-Baihaqi)
Debat yang menghasilkan taasub.
قُلْ يٰٓاَهْلَ الْكِتٰبِ
لَا تَغْلُوْا فِيْ دِيْنِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوْٓا اَهْوَاۤءَ
قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوْا مِنْ قَبْلُ وَاَضَلُّوْا كَثِيْرًا وَّضَلُّوْا عَنْ
سَوَاۤءِ السَّبِيْلِ ࣖ
“Katakanlah (Muhammad), “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu
berlebih-lebihan dengan cara yang tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu
mengikuti keinginan orang-orang yang telah tersesat dahulu dan (telah)
menyesatkan banyak (manusia), dan mereka sendiri tersesat dari jalan yang
lurus.” (Al Maidah 77)
Salah laku debat banyak berlaku hingga debat dan berhujah
bertukar menjadi majlis:
Mengaibkan
Memperleceh peribadi (falasi berleluasa)
Menganjing dan mengejek
Menurut Syeikh Muhammad Abu Zahrah, terdapat 3 konsep
perdebatan dalam Islam: Al-Munazarah untuk mencapai kebenaran, Al-Jadal untuk
menekan lawan dan menentukan keputusan, dan Al-Mukabarah untuk mengalih topik
atau mencapai tujuan yang tidak membantu kepada kebenaran.
Al-Mukabarah merujuk kepada perdebatan yang tidak bertujuan
mencapai kebenaran, tetapi untuk mengalihkan topik atau mendapatkan populariti.
Ini bertentangan dengan perdebatan Islam yang seharusnya mencari kebenaran
melalui dialog yang beradab. Al-Mukabarah sering kali berfokus pada persaingan
daripada penemuan ilmu, menjadikannya lebih sebagai pertunjukan daripada
pencarian kebenaran. Inilah metod yang paling banyak dalam politik dan diamal
juga oleh para asastizah atas nama menegakkan kebenaran.
Kaedah ada menyebutkan
bahawa:
الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ
الوَسِيلَةَ.
Tujuan (yang baik)
tidak menghalalkan cara (salah) yang digunakan seseorang.
Akibat ghairah mahu menegak kebenaran kita bertengkar dengan
kasar sesama Islam ia amat merosakkan agama kita.
Cukuplah pihak ahli politik melakukan debat di Parlimen dan
ia kekal berpahala selagi mana debat itu tida disebar luas sebagai bahan
mengapikan perpecahan umat Islam. Kita sebagai rakyat biasa sedaya upaya elakkan
berdebat dan bertengkar.
Berbeza pandangan dalam agama sejauh mana perlu berdebat?
Al-Qur’an menyebut berhubung dengan perbezaan pendapat ini
melalui Surah Hud 118-119,
وَلَوْ شَآءَ
رَبُّكَ لَجَعَلَ ٱلنَّاسَ أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ
١١٨ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ
خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ ٱلْجِنَّةِ
وَٱلنَّاسِ
“Jikalau Tuhanmumu
menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka
senantiasa berikhtilaf (berselisih pendapat). Kecuali orang-orang yang diberi
rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka … .”
Realiti yang berlaku hari ini jelas menunjukkan perbezaan
pendapat juga wujud di kalangan umat Islam dan jika Allah SWT mahu, Allah Maha
Berkuasa untuk menjadikan umat Islam mempunyai satu pandangan saja.
Kita perhatikan bentuk debat yang paling banyak berlaku dalam
masyarakat kita.
Debat isu bidaah, isu aqidah 1000 tahun silam.
Menurut Ketua Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya (UM), Dr Saadan Man, isu bidaah yang dilihat tidak ada
noktahnya,dan isu bidaah sudah
dibahaskan ulama silam sejak ribuan tahun dahulu dan isu ini dianggap sebagai isu kitar semula atau ulang
tayang itu tidak akan ada kesudahan selagi ia diperdebatkan oleh pihak yang
menyokong dengan yang menentang. (Hasliza, 2016).
Sekiranya ia dijalankan atas matlamat mencari kebenaran, maka
ia merupakan satu jalan yang harus, malah ada ketikanya boleh menjadi sesuatu
yang dituntut. Dalam konteks tradisi keilmuwan, perdebatan berlaku dalam
kalangan ilmuwan mengenai mauduk-mauduk besar yang menyangkut hal-ehwal agama
dan peradaban. perdebatan penting antara Abu Sa’id al-Sirafi dengan Abu Bishr
Matta bin Yunus tentang keutamaan antara dan nahu bahasa dan logik di hadapan
Wazir di Baghdad pada tahun 932M. (Mohd. Farid, 2020). Alangkah baiknya debat
ilmu yang tiada nokhtah, ilmu khilafiyah, ilmu tinggi-tinggi tidak dibuka
kepada awam. Asatizah sekarang semakin tidak boleh mengawal nafsu berdebat dan
berhujah sehingga orang awam menganjing agama sendiri akibat terukut ikut sikap
para agamawan sendiri.
Debat hal rumahtangga sehingga ke media sosial.
Tidak cukup berdebat di pejabat, bertengkar di media sosial,
balik ke rumah perdebatan berlaku antara
suami dan isteri mengenai pelbagai perkara yang berkait kehidupan berkeluarga
pula. Bertengkar lidah dalam
keluarga boleh memberi kesan besar kepada kehidupan keluarga, menjejaskan
hubungan antara ahli keluarga dan kesejahteraan emosi mereka. Pertengkaran ini
boleh menyebabkan tekanan emosi dan psikologi kepada semua ahli keluarga
terutamanya kanak-kanak yang boleh memberi kesan kepada perkembangan mental dan
emosi mereka. Ia juga boleh menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara suami
dan isteri atau antara ibu bapa dan anak-anak, mengubah cara mereka
berinteraksi dan mewujudkan jarak emosi. Kanak-kanak yang menyaksikan
pertengkaran mungkin meniru tingkah laku dalam hubungan masa depan mereka, yang
membawa kepada kesukaran dalam memupuk hubungan yang sihat. Adalah penting
untuk menyelesaikan konflik dengan cara yang membina untuk mengelakkan kesan
jangka panjang terhadap hubungan keluarga dan kesejahteraan anak-anak.
Debat hal politik sehingga semua hal menjadi isu
perpecahan
Debat asalnya isu yang benar dan ada asasnya bertukar menjadi
maki hamun, mengejek-ngejek dan mengeraskan hati para penyokong masing-masing.
Langsung tidak bertepatan kata-kata hikmah daripada Imam al-Syafie RA:
مَا جَادَلْتُ أَحَدًا
إِلَّا تَمَنَّيْتُ أَنْ يُظْهِرَ اللهُ الْحَقَّ عَلَى لِسَانِهِ دُوْنِيْ
“Aku tidak akan berdebat dengan seseorang
melainkan aku engharapkan Allah SWT
mengzahir kebenaran di atas lidahnya berbanding diriku”. (Noor, 2017)
مَا نَاظَرْتُ أَحَدًا
قَطُّ عَلَى الْغَلَبَةِ
Maksudnya: “Aku tidak pernah berdebat untuk mencari
kemenangan”. (Noor, 2017)
Politik selalunya mengadakan debat untuk menang isu.
Berjaga-jaga wahai ahli politik Islam agar kita tidak melampau dalam aktiviti
debat dan berhujah.
Kenapa ikut Imam Ghazali
Imam Al-Ghazali menekankan kepentingan
mengawal pertuturan bagi mengelakkan kerosakan akhlak dan perpecahan sosial. Beliau
mengenal pasti banyak bahaya yang
berkaitan dengan bercakap berlebihan, perdebatan, dan gosip. Al-Ghazali
mengesyorkan "berdiam diri secara aktif," hanya bercakap yang baik
dan bermanfaat, sebagai cara untuk mengelakkan bahaya ucapan. Berdiam diri
bukanlah untuk menjadi seorang yang pasif tetapi sebagai cara untuk menumpukan perhatian kepada
mengingati Allah dan mengelak daripada bercakap kosong. (Mansur, D.,2018).
Imam
Al-Ghazali mengenal pasti banyak bahaya
yang berkaitan dengan penggunaan lisan, yang jika tidak dikawal boleh memberi
kesan negatif baik dari segi moral dan sosial. Berikut adalah senarai tersebut:
Bercakap berlebihan: Bercakap tanpa tujuan yang jelas.
Menfitnah.
Perbincangan panjang tentang perkara palsu:
Membincangkan isu yang tidak berguna.
Hujah sia-sia: Terlibat dalam hujah yang tidak
produktif.
Pertengkaran: Menangani konflik lisan yang merosakkan.
Mengeluarkan suara dari kerongkong anda dengan
mengada-adakan menjadi fasih: Cuba untuk berbunyi pintar tanpa bahan.
Menyebut perkara yang keji: Menggunakan kata-kata kasar
atau makian.
Melaknat.
Hiburan atau puisi sia-sia): Menghabiskan masa dengan
hiburan yang sia-sia.
Bergurau: Bercakap dengan cara yang tidak serius, yang
boleh menyinggung perasaan orang lain.
Mengejek: Menghina orang lain melalui jenaka.
Menyebarkan rahsia: Mendedahkan maklumat yang sepatutnya
dirahsiakan.
Janji palsu: Berjanji tetapi tidak menepatinya.
Mengumpat: Bercakap buruk tentang orang lain di belakang
mereka.
Bergaduh satu sama lain: Mencipta perpecahan antara
orang lain.
Bahaya memuji: Memberi pujian yang tidak ikhlas atau
berlebihan.
Mengatakan sesuatu yang tidak penting: Menghabiskan masa
bercakap tentang perkara remeh.
Larangan suka berbantah-bantah dan bertengkar dalam Bidayatul
Hidayah
Bidayatul Hidayah sebuah kitab arab
sering dijadikan rujukan dalam pendidikan di pondok khususnya dalam konteks
pengajaran akhlak dan tasawuf. Buku ini bukan sahaja berfungsi sebagai panduan
beribadat, tetapi juga sebagai alat untuk membentuk akhlak dan akhlak pelajar.
Dalam banyak masyarakat, buku ini dipelajari sebagai sebahagian daripada proses
pengukuhan iman dan amal soleh. Bidayatul Hidayah merupakan karya yang sangat
berpengaruh dalam tradisi Islam di Malaysia dan Indonesia dan dalamnya, Imam
al-Ghazali berharap setiap individu dapat mencapai permulaan hidayah dan
menjadi insan yang lebih baik.
Matan Bidayatul Hidayah menyatakan:
الرابع: المِراءُ
والجدالُ ومناقشةُ الناسِ في الكلام؛ فذلك فيه إيذاءٌ للمخاطَبِ وتجهيلٌ له وطعنٌ
فيه، وفيه ثناءٌ على النفسِ وتزكيةٌ لها بمزيد الفِطَنَةِ والعلمِ. ثم هو مشوشٌ
للعَيش، فإنك لا تُماري سفَيها إلا ويُؤذيكَ، ولا تُماري حليمًا إلا ويَقليكَ ويحقُدُ
عليك، فقد قال صلى اللّه عليه وسلم: "من تَرَكَ المراءَ وهو مُبطلٌ بُنِى
اللّه له بيتا في رَبَضِ الجنّة، ومن تَرك المراء، وهو مٌحِقٌّ بُنِى اللّه له
بيتا في أعلى الجنّة"
Keempat: Berbalah, berdebat, dan berbincang dengan orang
dalam pertuturan, di dalamnya terdapat kemudaratan kepada yang dituju, memperbodohkan
terhadapnya dan terdapat fitnah dalamnya,
dan di dalamnya terdapat pujian untuk diri sendiri dan meensucikan dirinya dan
menambah-nambah dirinya pandai dan berilmu. Kemudian bertengkar mengeruhkan hidup,
kerana bila bertengkar dengan orang
bodoh dia akan menyakitimu dan jika bertengkar dengan orang sabar suatu hari
nanti dia pun akan hilag sabar dan dendam denganmu. Kerana itu Rasulullah
bersabda dalam hadis:
من ترك المراء
وهو مبطل بنى اللّه له بيتا في ربض الجنّة، ومن ترك المراء، وهو محقّ بنى اللّه له
بيتا في أعلى الجنّة
“Sesiapa yang meninggalkan pertengkaran sedang dia salah, Allah
akan membina untuknya sebuah rumah di pinggir syurga, dan sesiapa yang
meninggalkan pertengkaran sedang dia benar, Allah akan membina untuknya sebuah
rumah di bahagian yang paling tinggi dari syurga”. (Al Ghazali, 2016)
Namun penulis
ada menyemak hadis yang lebih tepat bagi matan di atas adalah daripada Sunan al-Tirmizi.
Penulis tidak katakan Imam Ghazali salah menulis matan hadith, cuma setakat kemampuan penulis menyemaknya,
matan di bawah yang boleh ditakhrij hadis yang semakna dengan matan Imam al
Ghazali..
حَدَّثَنَا
عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ الْبَصْرِيُّ، حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي
فُدَيْكٍ، قَالَ حَدَّثَنِي سَلَمَةُ بْنُ وَرْدَانَ اللَّيْثِيُّ، عَنْ أَنَسِ
بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " مَنْ
تَرَكَ الْكَذِبَ وَهُوَ بَاطِلٌ بُنِيَ لَهُ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ وَمَنْ تَرَكَ
الْمِرَاءَ وَهُوَ مُحِقٌّ بُنِيَ لَهُ فِي وَسَطِهَا وَمَنْ حَسَّنَ خُلُقَهُ
بُنِيَ لَهُ فِي أَعْلاَهَا " . وَهَذَا الْحَدِيثُ حَدِيثٌ حَسَنٌ لاَ
نَعْرِفُهُ إِلاَّ مِنْ حَدِيثِ سَلَمَةَ بْنِ وَرْدَانَ عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ
.
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa menjauhi dusta sedang
dia memang bersalah, maka dibangunkan untuknya sebuah rumah di tepi syurga.
Barangsiapa menjauhi pertengkaran sedang dia berada di pihak yang benar, maka
dibangunkan untuknya sebuah rumah di tengah-tengahnya. Dan barangsiapa yang
berakhlak mulia. , sebuah rumah akan dibina untuknya di ketinggiannya.”
Sambung Bidayatul Hidayah lagi:
و لا يَنبغي أن يَخدعك
الشيطانُ ويقول لكَ أظهِرِ الحقَ ولا تُداهِن فيهِ، فإن الشيطانَ أبدا يستجِرُّ
الحُمقِىَ إلى الشَرِ في مَعرَضِ الخيرِ، فلا تكُن ضُحكَةً للشيطان فيسخَرُ منك؛
فإظهارُ الحقِ حَسَنٌ مع من يَقبلَه منك، وذلك بطريق النصيحة في الخفية لا بطريق
المضمَارَاةِ؛ وللنصيحةِ صفةٌ وهيئةٌ ويحتاج فيها إلى تلَطُفٍ، وإلا صارَت فضيحةً،
وكان فسادها أكثَرَ من صلاحِها.
Syaitan tidak seharusnya memperdayakan
kamu dan menyuruh kamu kononnya menunjukkan kebenaran dan jangan berlemah
lembut padanya (musuh debat kamu), Sesungguhnya Syaitan selamanya akan menarik orang-orang bodoh kepada kejahatan
dengan buat kerja kebaikan, maka
janganlah kamu ditertawakan oleh Syaitan
lalu dia mengejek kamu; Menegak kebenaran itu adalah baik (jika) dengan mereka
yang menerimanya daripada anda, iaitu dengan cara nasihat secara rahsia, bukan
dengan cara bertengkar. Nasihat itu mempunyai caranya tersendiri dan perlukan
kelembutan, jika tidak ia menjadi pendedahan aib orang, dan kerosakannya lebih
banyak daripada kebaikannya.
Bidayatul Hidayah menegur keras sikap
ulama’ dan ahli ilmu akhir zaman yang suka bertengkar:
ومَن خَالطَ
متفقِهةَ العَصر غَلَبَ على طَبعِه المِرَاءُ والجِدالُ، وعَسُرَ عليه الصَمتُ، إذ
أُلقِىَ إليه علماءُ السوءِ أن ذَلك هو الفضلُ، والقُدرةُ على المُحَاجةِ
والمناقشةِ هو الذي يَتمدِحُ به. فَفِرَّ منهم فِراركَ من الأسدِ، واِعلم أن
المراءَ سببٌ المَقتِ عند اللّه وعند الخلقِ.
Dan sesiapa yang bergaul dengan ulama
kontemporari pada zaman itu, sifatnya dikuasai oleh berdebat dan berhujah, dan
diam adalah sukar baginya, kerana bagi ulama yang buruk bertengkar dan berhujah
adalah perbuatan terpuji , dan keupayaan untuk berhujah dan mengeluar hujah adalah terpuji. Maka larilah kamu daripada
mereka sebagaimana kamu lari daripada singa, dan ketahuilah bahawa perbalahan
(bertengkar itu) adalah punca kebencian di sisi Allah dan di sisi manusia
ciptaan. (Al Ghazali, 2016)
Larangan suka berbantah-bantah dan bertengkar dalam Ya
Ayyuhal Walad
Kitab Ayyuhal Walad merupakan karya
terkenal Imam Abu Hamid al-Ghazali yang mengandungi nasihat akhlak untuk
generasi muda. Ditulis atas permintaan murid-muridnya, buku ini mengandungi 24
nasihat penting merangkumi kehidupan rohani dan moral. Al-Ghazali menulis buku
ini sebagai panduan praktikal untuk membimbing pembaca khususnya generasi muda
untuk menjalani kehidupan mereka mengikut prinsip Islam yang betul. Nasihat
dalam buku ini merangkumi kepentingan mengamalkan ilmu dengan niat yang ikhlas,
menjauhi godaan dunia, menumpukan perhatian kepada kehidupan akhirat, dan
menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Imam al-Ghazali
menekankan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) sebagai langkah pertama untuk
mencapai kehidupan yang diredhai Allah.
“أَيُّهَا الْوَلَدُ،
إِنِّيْ أَنْصَحُكَ بِثَمَانِيَةِ أَشْيَاءَ، إِقْبَلْهَا مِنِّيْ لِئَلَّا
يَكُوْنَ عِلْمُكَ خَصْمًا عَلَيْكَ يَوْمَ القِيَامَةِ، تَعْمَلُ مِنْهَا
أَرْبَعَةً وَتَدَعُ مِنْهَا أَرْبَعَةً، أَمَّا اللَّوَاتِيْ تَدَعُ
Wahai anakku, sesungguhnya aku memberi nasihat padamu dengan
8 perkara, terimalah itu dariku agar ilmumu tidak menjadi musuh bagimu pada
hari kiamat, lakukanlah 4 perkara dari 8 perkara itu dan tinggalkan 4 perkara
dari 8 perkara itu. Adapun perkara-perkara yang harus kamu tinggalkan :
فَأَحَدُهَا - أَلَّا
تُنَاظِرَ أَحَدًا فِي مَسْأَلَةٍ مَا اسْتَطَعْتَ لِأَنَّ فِيْهَا آفَاتٍ
كَثِيْرَةً فَإِثْمُهَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهَا إِذْ هِيَ مَنْبَعُ كُلِّ خُلُقٍ
ذَمِيْمٍ كَالرِّيَاءِ وَالْحَسَدِ وَالْكِبْرِ وَالْحِقْدِ وَالْعَدَاوَةِ
وَالْمُبَاهَاةِ وَغَيْرِهَا، نَعَمْ لَوْ وَقَعَ مَسْأَلَةٌ بَيْنَكَ وَبَيْنَ
شَخْصٍ أَوْ قَوْمٍ وَكَانَتْ إِرَادَتُكَ فِيْهَا أَنْ يَظْهَرَ الْحَقُّ وَلَا
يَضِيْعَ جَازَ الْبَحْثُ لَكِنْ لِتِلْكَ الْإِرَادَةِ عَلَامَتَانِ
[Pertama]
janganlah kamu berdebat dengan seseorang dalam sesuatu masalah semampu kamu,
kerana di dalamnya terdapat banyak bahaya, dosanya lebih besar daripada
manfaatnya, kerana ia merupakan punca setiap akhlak yang tercela seperti riya',
hasad (iri hati). ), kesombongan, dendam, permusuhan, kesombongan, dan
lain-lain. Ya, jika ada masalah antara kamu dan antara seseorang atau kumpulan,
dan keinginan kamu di dalamnya adalah untuk perkara hak untuk menjadi jelas dan
menghapuskannya, maka tidak mengapa untuk membincangkannya, tetapi keinginan
seperti itu mempunyai tanda-tanda:
إِحْدَاهُمَا أَلَّا تُفَرِّقَ بَيْنَ أَنْ
يَنْكَشِفَ الْحَقُّ عَلٰى لِسَانِكَ أَوْ عَلٰى لِسَانِ غَيْرِكَ،
Salah satunya
ialah kamu tidak boleh membeza-bezakan kebenaran yang terungkap pada lidah kamu
atau pada lidah orang lain.
وَالثَّانِيَةُ أَنْ
يَكُوْنَ الْبَحْثُ فِى الْخَلَاءِ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ أَنْ يَكُوْنَ فِى
الْمَلَاءِ
Kedua,
hendaknya pembahasan itu diadakan di tempat sepi lebih kamu sukai daripada di
tempat ramai (terbuka yang boleh mengaibkan). . (Ghazzālī
& Nadwi,, 1998)
Tambah Imam
al Ghazali lagi berkenaan sikap sengaja menimbulkan soalan untuk menimbulkan
permusuhan.
ثُمَّ اعْلَمْ أَنَّ
مَرَضَ الْجَهْلِ عَلٰى أَرْبَعَةِ أَنْوَاعٍ : أَحَدُهَا يَقْبَلُ الْعِلَاجَ
وَالْبَاقِى لَا يَقْبَلُ، أَمَّا الَّذِيْ لَا يَقْبَلُ الْعِلَاجَ فَأَحَدُهَا
مَنْ كَانَ سُؤَالُهُ وَاعْتِرَاضُهُ عَنْ حَسَدِهِ وَبُغْضِهِ، فَكُلَّمَا
تُجِيْبُهُ بِأَحْسَنِ الْجَوَابِ وَأَفْصَحِهِ وَأَوْضَحِهِ فَلَا يَزِيْدُ لَهُ
ذٰلِكَ إِلَّا بُغْضًا وَعَدَاوَةً وَحَسَدًا، فَالطَّرِيْقُ أَلَّا تَشْتَغِلَ
بِجَوَابِهِ،
Kemudian, ketahuilah bahawa penyakit kebodohan tergolong atas
4 jenis, salah satunya tidak boleh menerima ubat dan selebihnya boleh menerima ubat.
Adapun orang yang tidak dapat menerima ubat : Pertama, orang yang pertanyaannya
dan pertentangannya kerana sifat hasad (dengki) dan amarahnya (emosinya).
Setiap kali kamu menjawabnya dengan jawaban yang paling baik, paling fasih, dan
paling jelas, maka demikian itu tidak akan bertambah kecuali amarah,
permusuhan, dan dengki. Maha jalan keluarnya adalah kamu hendaknya tidak sibuk
untuk menjawabnya. (Ghazzālī & Nadwi,, 1998)
Ada kaedah menyokong matan Imam al Ghazali di atas.
“تَرْكُ
الْجَوَابِ عَلَى الْجَاهِلِ جَوَابٌ
Meninggalkan jawapan kepada pertanyaan si jahil adalah jawapan juga kepadanya.
Jika kita teruja menjawab semua orang
awam atau yang bernada jelek makan persoalan itu menyebabkan kita:
Naik Ammarah.
Meluap-luap ingin bercakap atau
menaip jawapan di media sosial.
Marah apabila jawapan kita tidak
diendahkan.
Akhirnya menjatuhkan martabat ilmu
yang sedang kita bahas itu pula.
Kehebatan orang yang diam
Lalu Imam
Syafi'i berkata :
ﻭَﺍﻟﻜَﻠﺐُ ﻳُﺨْﺴَﻰ ﻟَﻌَﻤْﺮِﻯْ
ﻭَﻫُﻮَ ﻧَﺒَّﺎﺡُ
"Apakah kamu tidak melihat bahawa seekor singa itu
ditakuti lantaran ia pendiam? Sedangkan seekor anjing dibuat permainan karena
ia suka menggonggong (bising) ?" (Diwan As-Syafi’i karya Yusuf Asy-Syekh
Muhammad Al-Baqa’i) (Rozi, 2018)
Rasulullah
saw pernah ditanya tentang siapakah sebaik-sebaik seorang Muslim itu, maka
jawab baginda Nabi:
مَنْ سَلِمَ
الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
“(Mereka) yang memberikan rasa aman kepada saudara Muslim-nya
daripada gangguan lisan dan tangannya.” (riwayat Bukhari)
Mulut orang beriman semestinya tidak merosakkan masyarakat
walaupun konon dia seorang berilmu.
Nabi s.a.w
telah memberikan amaran tujuan guna ilmu untuk berdebat orang jahil:
عَنْ كَعْبِ بْنِ
مَالِكٍ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ طَلَبَ العِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ
العُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ
النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ.
(maksudnya): Daripada Ka’b bin Malik R.A., katanya: Aku
mendengar RasululLah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk
menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu
tersebut wajah orangramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam
neraka”. (Riwayat al-Tirmizi)
Istilah لِيُمَارِيَ بِهِ
السُّفَهَاءَ untuk bertengkar dengan orang jahilialah berhujah dan bertengkar dengan mereka (orang
jahil) secara sombong dan membanggakan
diri (konon dia paling tahu)”.
Dari Abu
Hurairah ra, sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda;
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ
بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ،
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka
hendaklah ia berkata baik atau diam. (riwayat Bukhari).
Kita rasa kita sahaja mampu ubah orang lain
Bertengkar
ini wujud kerana kita merasakan tanggungjawab untuk memahamkan SEMUA manusia
keliling kita secepat mungkin. Sebenarnya kita hanyalah perlu menasihati sesuai
dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 272:
لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ
وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ
“Bukanlah
kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi
petunjuk siapa yang dikehendaki-Nya” (Amenudden,
2019)
Dalam rangka
menasihati, kita disuruh menasihati dengan hikmah sebagaimana firman Allah SWT
dalam Surah An-Nahl, ayat 125:
اُدْعُ إِلَى سَبِيْلِ
رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِيْ هِيَ
أَحْسَنُ
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan
pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (Amenudden, 2019)
Kerana itu golongan Baba, guru pondok mereka mengelak dari
majlis debat dan berpidato balas, mereka istiqamah mengajar sesuatu topik dari
asas hingga lumat sahaja dan kebenaran pasti terangkat keana bilangan murid
yang faham itu akan meningkat dan akan menimbulkan lebih banyak majlis seumpama
itu juga kelak. Mereka tidak galak berPodcast, berforum, berbalas hujah di
facebook. Mereka konsisten kaedah talaqqi musyafahah.
Petua menyebarkan kebenaran berdasarkan ayat 199 al A’raf
Allah
subhanahu wa ta'ala berfirman :
خُذِ العَفْوَ وَأْمُرْ
بِالعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الجَاهِلِيْنَ
"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan
yang makruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang jahil" (QS.
Al-A’raf: 199). (Rozi, 2018)
Maafkan musuh hujah kita sebelum kita berhujah
Ceritakan kebenaran kita (ajak maruf) kerana kita yakin
ajakan kita itu benar.
Jika mereka mendesak dan melampau batas adab jangan
berhujah lagi sebaliknya diamkan diri sahaja.
Penutup: Teruskan dakwah secara beradab.
Imam Al-Ghazali menekankan keutamaan
berdiam diri sebagai aspek penting terapi spiritual dalam tasawuf. Terdapat
beberapa keutamaan berdiam diri menurut Al-Ghazali. (Mansur, D.,2018).
Imam Al-Ghazali juga menyatakan bahawa
dalam percakapan terdapat banyak bencana, manakala dalam diam ada keselamatan.
Melalui diam, seseorang dapat mengelakkan pelbagai bahaya yang ditimbulkan oleh
ucapan, seperti gosip, fitnah, dan perkataan yang tidak berfaedah. Diam
dianggap sebagai satu bentuk zikir. Dengan mengawal lidah dan memilih untuk
berdiam diri, seseorang itu boleh lebih fokus kepada ibadah dan zikir kepada
Allah. Ini membantu untuk menjaga hati daripada terjerumus ke dalam dosa dan
meningkatkan kedekatan kepada Allah. Berdiam diri secara aktif, bercakap hanya
perkara yang baik dan berfaedah, boleh mengeratkan hubungan sosial. Dengan
mengawal pertuturan, seseorang menjadi lebih disenangi oleh orang lain,
seterusnya dapat membina persahabatan dan mengeratkan ikatan persaudaraan.
Dengan mengelakkan perbualan yang tidak
perlu, individu boleh mencapai ketenangan dalaman. Berdiam diri membantu
menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan, terutamanya dalam dunia yang
penuh tekanan.
Berdiam diri membantu seseorang untuk
lebih fokus kepada nilai kerohanian dan akhlak mulia. Ini adalah sebahagian
daripada usaha untuk mencapai keredhaan Allah dan kebahagiaan di dunia dan
akhirat. Justeru, menurut Al-Ghazali, diam bukanlah perbuatan pasif, tetapi
amalan aktif yang mendatangkan banyak faedah rohani dan sosial.
Jumaat Bandar Puteri Jaya 16 Ogos 2024
Rujukan
Berbeza Pendapat Tanpa Perlu Bertelagah. RADIO IKIM INSPIRASI INFORIA ISLAMI. (n.d.). https://radio.ikim.my/berbeza-pendapat-tanpa-perlu-bertelagah/
Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran
24/07/2020,
& Dr. Mohd. Farid bin Mohd Shahran. (n.d.). Perdebatan Yang Baik
Membawa Kemajuan. Official Website: Institute of Islamic Understanding
Malaysia (IKIM). https://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2020/07/24/perdebatan-yang-baik-membawa-kemajuan/
Hasliza. (2016). Urus perbezaan Pendapat Secara Baik tidak
bawa perpecahan. https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2016/02/121330/urus-perbezaan-pendapat-secara-baik-tidak-bawa-perpecahan
Noor, U.M.M. (2017) Irsyad al-Hadith siri ke-112: Sikap
Suka Berdebat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1104-irsyad-al-hadith-siri-ke-112-sikap-suka-berdebat
Rozi. (2018, September 2). Jangan berdebat dengan orang-orang
bodoh. Jangan Berdebat dengan Orang-orang Bodoh | Hikmah ’.
https://www.laduni.id/post/read/44686/jangan-berdebat-dengan-orang-orang-bodoh
Rahman, A., & Halim, A. (2019). Kajian Tasawuf Di
Pesantren (Kajian Terhadap Pemikiran Tasawuf Al-Ghazali). Jurnal Pemikiran
Dan Ilmu Keislaman, 2(1), 43-58.
Amenudden, A. A. A. (2019, January 27). Bab: Sampaikan
Nasihat Dan Tinggalkan perdebatan. amenudden’s Blog.
https://amenudden.wordpress.com/2019/01/27/bab-sampaikan-nasihat-dan-tinggalkan-perdebatan/
Ghazali , .. (January 01, 2017). Adab Perbezaan Pendapat
Dalam Islam Menurut Taha Jabir Al-Alwani (1935 - 2016). Journal of Fatwa
Management and Research, 2017 Vol.9, pp.39-59, 2017 Vol.9, pp.39-59, 1.
Ghazzālī, & Nadwi, A. A. A. B. A. (1998). Ayyuhal
walad = Wahai Anakku Yang tercinta. Khazanah Banjariah.
Al Ghazali, A. H. M. (2016). Bidayatul Hidayah. Jabal Maraqy
Sdn. Bhd.
solihin solihin, & Deden Mansur. (2018). Terapi Diam
Dalam Tasawuf Al-Ghazali. Syifa Al-Qulub, 2, 12–20.
Hasanah, U. (2019). Terapi dalam Mengatasi Afaatul Lisan
menurut Konsep Imam Al-Ghazali (Doctoral dissertation, UIN Ar-Raniry Banda
Aceh).
TAMAM, B. Pemikiran pendidikan Al-Ghazali dalam kitab ayyuha
al-walad.
Zulfunun, M. (2019). Jidal (Debat) Sebagai Salah Satu Metode
Dakwah: Menimbang Dalam Perspektif Hukum Islam. Komunika: Journal of
Communication Science and Islamic Dakwah, 3(2), 108-115.
Syah, A. D. M., Sholikhudin, M. A., & Yusuf, A. (2023).
Konsep Pendidikan Karakter Al-Ghazali Dalam Kitab Ihya’Ulumuddin dan
Relevansinya Terhadap Projek Penguatan Profil Pelajar Pancasila. Mudir: Jurnal
Manajemen Pendidikan, 5(1), 118-135.
Maqfirah, M. (2014). MUJADALAH MENURUT AL-QUR’ AN (Kajian
Metodologi Dakwah). Jurnal Al-Bayan: Media Kajian dan Pengembangan Ilmu Dakwah,
20(1).
Mansur, D. (2018). Terapi Diam dalam Tasawuf
Al-Ghazali. Syifa al-Qulub: Jurnal Studi Psikoterapi Sufistik, 2(2),
68-74.
Saunri, J., Idris, M. R. M., & Bakar, S. S. A. Teori
Kesopanan dalam Debat Politik Politeness Theory in Political Debate. Satu
Kajian Kes BAB 5: Manifestasi Kepengarangan Harkat Maya dalam Menyantuni Seni
Bahasa 33 melalui Tiga Tahap Akal Budi BAB 6: Nilai Positif dan Negatif dalam
Bulan Islam sebagai Identiti Peradaban 44 Melayu, 83.
Bernama. (2023, June 4). Masalah kesihatan mental bertambah
teruk kerana media sosial. Astro Awani. https://www.astroawani.com/gaya-hidup/masalah-kesihatan-mental-bertambah-teruk-kerana-media-sosial-422364
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://laman-munawwarah.blogspot.com/2024/08/tegahan-suka-berdebat-menurut-kitab.html