Team Liquid Id Sekat Hajat Srg Di M6
KUALA LUMPUR – Impian pasukan Selangor Red Giants (SRG) untuk mengukir sejarah di pentas Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (M6) berkecai selepas tewas 0-3 kepada Team Liquid ID (TLID) dari Indonesia dalam perlawanan final lower bracket sebentar tadi.
SRG yang merupakan satu-satunya wakil negara yang bertahan dalam kejohanan ini, terpaksa berpuas hati di tangga ketiga dunia selepas gagal memanfaatkan momentum cemerlang hasil kemenangan bersih 3-0 ke atas pasukan Russia, Team Spirit pada perlawanan sebelah petang tadi.
SRG yang dibarisi Muhd Qayyum Ariffin (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) serta dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent) mempamerkan permainan cukup seimbang pada awal pertempuran.
Bagaimanapun, TLID dilihat lebih bijak mengawal strategi dengan memperoleh tiga kali Lord dan mencatatkan 21 kills untuk mengutip mata pertama dalam masa 25 minit.
IMPIAN Selangor Red Giants (SRG) untuk mengukir sejarah di M6 berkecai selepas tewas 0-3 kepada Team Liquid ID (TLID) dari Indonesia.
Pada perlawanan kedua, SRG cuba bangkit namun mereka gagal mengatasi kepantasan TLID yang memanfaatkan hero Moskov dikendalikan Sultan Muhammad (Aeronshikii) untuk memerangkap strategi lawan sebelum menutup permainan kedua dalam hanya 18 minit selepas mendapatkan Lord seawal minit ke-10.
Memasuki perlawanan terakhir, strategi SRG dilihat serba tidak menjadi selepas TLID menguasai sepenuhnya permainan sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan bersih 3-0 dalam tempoh 18 minit, sekali gus menempah tiket ke pentas akhir.
Jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado (Arcadia) berkata, masa rehat yang terhad menjadi salah satu faktor pasukan tidak dapat memberikan aksi terbaik malam ini.
“Stamina sentiasa menjadi salah satu faktor dalam menghadapi kejohanan. Saya tidak mahu menjadikannya alasan kerana kemenangan di IESF juga memberikan kami kelebihan dari segi momentum.
AKSI pasukan SRG ketika berjuang menentang Team Liquid ID (TLID) dari Indonesia.
“Namun, jika bercakap tentang kekurangan, mungkin salah satu kelemahan adalah kurangnya masa untuk berehat. Saya masih ingat, selepas berakhir IESF, sebaik sahaja kami tiba di Malaysia pada hari yang sama, kami tidak berehat dan terus menjalani latihan pada waktu petang.
“Jadi, pemain kami benar-benar tidak mendapat rehat yang cukup. Saya rasa ini boleh menjadi faktor, tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan kerana tidak dapat memberikan yang terbaik dalam kejohanan ini.
“Apapun, sebagai jurulatih saya berbangga dengan pemain saya dan sayangnya kami tidak dapat melengkapkan The Golden Road untuk melakar gelakaran keempat musim ini,”katanya.
Sebagai rekod, SRG tampil dengan kejayaan luar biasa musim ini apabila memenangi tiga gelaran utama iaitu Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-14, kejohanan Mid Season Cup (MSC) di Riyadh, Arab Saudi dan Kejohanan Dunia IESF 2024.
Hasil keputusan tersebut, kini hanya dua pasukan yang tinggal dalam perebutan gelaran juara dunia MLBB 2024 dan TLID akan berdepan pasukan Filipina, Fnatic ONIC PH dalam perlawanan akhir esok. -KOSMO! ONLINE
Source link
The post Team Liquid ID sekat hajat SRG di M6 appeared first on Edisi Viral Plus.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://plus.edisiviral.com/team-liquid-id-sekat-hajat-srg-di-m6/