Tanggungjawab Bersama Cegah Wabak Penyakit
Wabak penyakit melanda negara adalah ujian untuk semua. Setiap rakyat bertanggungjawab melakukan apa termampu untuk membendung wabak daripada terus merebak.
Di pihak kerajaan sangat serius mengekang penularan wabak Covid-19, tetapi terpaksa berhadapan dengan kelompok yang enggan memberikan kerjasama dan mempersendakan arahan yang dikeluarkan kerajaan.
Golongan ini dengan bangganya mempersoalkan takut kepada Allah SWT atau virus apabila didesak supaya mengambil langkah pencegahan.
Tindakan itu secara jelas bertentangan dengan konsep Islam yang menganjurkan umatnya berikhtiar untuk mencegah wabak.
Allah SWT mengurniakan akal kepada manusia untuk berfikir, berusaha dan bertawakal. Oleh itu, setiap usaha termasuk rawatan perlu dilakukan dan mendahulu akal fikiran sebelum bertawakal kepada Allah SWT.
Sesungguhnya setiap penyakit ada penawarnya. Untuk mendapatkan penawarnya kena dilakukan sesuatu tindakan atau usaha. Berserah hanya kepada Allah SWT tanpa berusaha, itu bukan penawar penyakit. Oleh itu, kita perlu berusaha mencari ubat sebelum sesuatu penyakit itu merebak menjadi lebih buruk.
Ubat ini sebagai penyebab untuk menyembuhkan penyakit dan wasilah (perantara) sembuhnya segala penyakit. Pada masa sama, banyakkan berdoa kepada Allah SWT supaya setiap penyakit dihidapi sembuh.
Usaha dan ikhtiar ini tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Perbuatan tidak mahu mencegah wabak penyakit adalah perbuatan zalim terhadap diri sendiri dan orang lain. Kita ditegah memudaratkan diri sendiri dan orang lain dengan apa cara sekalipun.
Menjadi satu kesalahan besar sekiranya individu yang positif dengan virus, tetapi tidak berterus terang dengan perkara itu (penyakit) kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
Tidak diharuskan (haram) memudaratkan diri sendiri kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Allah SWT menegah hamba-Nya mencampakkan diri dalam kebinasaan. Firman Allah SWT bermaksud: “Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Sesungguhnya Allah SWT Maha Penyayang. Justeru Allah SWT menegah kita melakukan sebarang perbuatan yang boleh menyebabkan mudarat dan lebih-lebih lagi menyebabkan kematian.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat 29 bermaksud: “Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sambungtitik.blogspot.com/2020/03/gtj.html