Tangan Sabari Diikat Mulut Ditutup Sebelum Dicampak Ke Sungai Padang Terap
Oleh – Syeikh Baran
Polis hari ini mengesahkan pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di sini dengan tangan diikat dan mulut ditutup dengan menggunakan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, jasad mangsa bagaimanapun belum dijumpai dengan usaha mencari sedang giat dijalankan di lokasi berkenaan.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditangkap pada Jumaat lalu.
“Hasil soal siasat, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra.
“Mangsa dicampak dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes Orang Hilang itu berjaya diselesaikan dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan membunuh.
“Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari warga emas tersebut masih diteruskan oleh pihak Polis Diraja Malaysia dengan bantuan agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, Fisol berkata, pihaknya telah memaklumkan perkembangan siasatan kes tersebut kepada keluarga mangsa.
“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati serta menjaga sensitiviti pihak keluarga mangsa. Orang ramai juga diminta untuk membantu dengan menyalurkan maklumat berkaitan kejadian kepada polis,” tambahnya.
Dalam pada itu, operasi pencarian mangsa sedang giat dijalankan oleh pihak polis dengan bantuan unit penyelam Pasukan Polis Marin, anggota bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Difahamkan, operasi berdepan kesukaran berikutan jaringan sungai yang panjang serta berarus deras berikutan kawasan berkenaan juga merupakan lokasi banjir.
Anak mangsa, Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, dilihat berada di lokasi dan mendengar penerangan daripada pegawai polis mengenai kejadian.
Akhbar sebelum ini melaporkan Sabari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.
Kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.
Polis mengesahkan penahanan seorang wanita warga emas berusia 62 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan pesara Felcra itu.
Sumber – KOSMO! ONLINE.
The post Tangan Sabari diikat, mulut ditutup sebelum dicampak ke Sungai Padang Terap appeared first on My TV ONLINE.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://my-tv.online/2024/10/02/tangan-sabari-diikat-mulut-ditutup-sebelum-dicampak-ke-sungai-padang-terap/