Tanda Tanda Slow Learner Pada Anak Sekolah Rendah
Sebelum ini, kami nafikan sahaja. Semakin lama, tanda-tanda slow learner jelas pada anak. Allahuakbar, berdosanya kami sebelum ini pada anak kerana nafikan hak mereka. Sempat kami minta maaf dengan anak. Kami seisi keluarga baru tahu bahawa anak ‘Slow Learner’ atau lembam adalah kategori pemegang kad OKU juga. ‘Slow Learner’ bukan cacat. Cuma tahap pembelajaran agak perlahan berbanding anak-anak yang normal. Sebagai contoh, pelajar ini tidak boleh menyerap banyak ilmu dalam satu masa pembelajaran. Hanya satu sahaja subjek. Setiap pembelajaran perlu diulang-ulang beberapa kali kepada anak yang ada masalah ini.
Artikel lain : Hebatnya rezeki Allah, untuk kami .
Artikel lain : Masa Terhad sebagai Ghostwriter
Jika nak bercerita, sampai esok pun tidak sudah ya. Ujian terhadap semua benda bernyawa ada ujiannya tersendiri. Termasuklah manusia. Kerana ujian tidak mengenal kedudukan, taraf perkahwinan, jantina dan pekerjaan. Baca pun dah penat kan? apatah lagi bahu yang memikulnya. Dalam perkahwinan ada ujiannya tersendiri iaitu dari pasangan, mentua, anak-anak dan kesihatan serta kematian.
Table of ContentsDalam surah Al-Baqarah, pada ayat 286 iaitu : Tidak membebani umatnya dengan ujian
At-Taubah ayat 40 : tentang kesedihan dengan ujian AllahUjian dari anak-anakSemakin membimbangkan dengan tanda-tanda Slow LearnerPujuk hati : Reda dan Terima seadanya
Dalam surah Al-Baqarah, pada ayat 286 iaitu : Tidak membebani umatnya dengan ujian
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya.
(Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
At-Taubah ayat 40 : tentang kesedihan dengan ujian Allah
“Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah selalu bersama kita.”
Ujian dari anak-anak
Ujian selama 13 tahun perkahwinan, kami diuji dengan anak-anak. Allahuakbar! rasa nak menangis pun dah kering airmata. Permulaan nak hadapi terlalu berat, sehinggakan kami terduduk. Masing-masing mencari punca terjadinya begini. Namun, setelah kami reda. Hati kami tenang setenangnya. dan menerima seadanya dengan ujian ini. Sekarang proses untuk bantu anak lelaki kami, bukan mencari siapa yang salah. Sehinggakan boleh menyebabkan tekanan melampau terhadap anak dan juga kami sebagai ibu ayah.
Anak kami kali ini yang nombor 3 iaitu Muhammad Arif Furqan. Di kala umurnya 9 tahun, kami dapati dia adalah kategori ‘slow learner’ iaitu lembam. Betapa hancurnya hati kami suami isteri. Keputusan tersebut muktamad diberikan oleh seorang doktor yang melakukan ujian saringan di IIUM Klinik Kesihatan Keluarga.
Ujian yang mengesahkan dia adalah kanak-kanak ‘Slow Learner’ kerana gagal untuk membaca suku kata.
Bertambah hancur hati, apabila doktor juga beritahu, anak puan akan menerima kad OKU. Nasib baik saya tiada dalam sesi ujian saringan, kerana saya ke Klinik Kesihatan untuk urusan cucuk baby 4 bulan Muqarrabin. Saya harap, suami kuat ketika menerima berita tersebut secara ‘LIVE’ .
Semakin membimbangkan dengan tanda-tanda Slow Learner
Cikgu di sekolah pun tidak sanggup lagi untuk mengajar anak. Jadi, cikgu tersebut yang membuat keputusan untuk kami ( suami isteri ) bawa anak ke Klinik tersebut dengan surat rujukan dari sekolah rendah. Sebab sebelum ini kami denial, ye lah sebab tidak ketara. Mungkin saya dan suami fikir anak tidak mahu belajar disebabkan persekitaran di rumah. Rumah untuk berehat, dan sekolah untuk membuat kerja-kerja sekolah.
Semakin hari, sikap anak semakin jelas dengan tanda-tanda ‘slow learner’ . Paling ketara, dia akan bertanya setiap masa jika mahu solat fardhu. Apa yang ditanya ialah “macam ni ke kiblat?” . Jika solat fardhu 5 waktu sehari, 5 kali itu lah dia akan tanya.
Pada mulanya, saya marah lah juga. Kadang menangis mengadu pada suami. Kenapa macam ni anak?
Saya tanya, “Kenapa tidak boleh mengingat ni?” sebab makan terlalu banyak gula-gula lah ni yang dibeli depan sekolah. Kemudian, anak saya terdiam. Rupa-rupanya bukan disebabkan pemakanan tidak seimbang iaitu gula-gula setiap hari. Tetapi, masalah ingatannya.
Di sini lah saya semakin bimbang, makin jelas kelihatan tanda-tanda. 1 lagi, kalau tengah makan sekeluarga di meja makan kami. Arif letakkan pinggan nasi nya di sebelah kiri, sementara itu dia pergi ke dapur basan untuk mengambil airnya. Manakala sebelah kanan ada pinggan lain kakaknya.
Sekembalinya dari dapur, dia menangis dan berebut yang katanya sebelah kanan pinggan adalah miliknya. Haih! lucu pun kadang tu, saya lah kena jelaskan kepada Arif. “Awak lupa ni Arif. Ni pinggan awak sebenarnya.” settle masalah pergaduhan kecil anak-anak.
Tanda-tanda Slow Learner lain pada anak saya : Suka bertanya banyak kali, sentiasa beri arahan sebab dia tidak boleh membuat keputusan dengan sendiri, lebih cenderung melukis dari menulis dan membaca.
Pujuk hati : Reda dan Terima seadanya
Sering kali saya ingatkan diri, pasangan dan anak-anak. Dalam rumah ini, kita ada anak syurga. Nak marah, tahan dulu dan nasihatkan Arif Furqan baik-baik. Jangan pulaukan dia, ejek dan hina sekalipun.
Pernah terkilan dengan cikgu sekolahnya, kerana Arif ada bercerita kepada saya bahawa cikgunya mengatakan anak saya cacat. Allahuakbar! dari perbualan tersebut, muka anak saya berubah. Kata-kata tersebut satu hinaan buatnya. Dek kerana itu juga, anak saya semakin kerap dibuli oleh rakan-rakannya setelah ketahui perkara sebenar.
Sebagai ibu saya memujuknya kembali dengan mengatakan untuk bersabar, dan tidak lama lagi akan bertukar ke sekolah yang bersesuaian dengan masalahnya itu. Saya juga betulkan keadaan di mana, “awak tak cacat pun, sempurna. Ada tangan, kaki, mata dan cukup anggota tubuh. Cuma awak ni lambat sikit berfikir. Itu aje.” Dengar penjelasan saya, terus air muka Arif berubah senyum. Masya-Allah.
Saya sebagai ibu juga rasa sedih, marah dan geram terhadap cikgu tersebut. Malas nak panjangkan cerita, mungkin anak saya yang tersilap faham agaknya. Cikgu tersebut mungkin terlalu penat mentalnya mengajar anak saya.
Kini, baru saya faham kenapa orang gelarkan anak syurga buat mereka. Setakat ini, saya sudah mempunyai 2 orang anak syurga iaitu Muhammad Muqarrabin dan Arif Furqan .
Ketika menaip artikel ini, berombak juga lah dada dan sesekali sapu juga airmata saya.
Kami seisi keluarga baru tahu bahawa anak ‘Slow Learner’ adalah kategori pemegang kad OKU juga.
Arif Furqan akan bertukar ke sekolah pendidikan Khas iaitu di Sungai Karang, setelah kad OKU telah siap dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Dengan ujian ini, sedikit sebanyak hubungan kekeluargaan kami semakin utuh. Bukan itu sahaja, semakin kami reda dengan ujian Allah kerezekian kami semakin lancar. Janji-janji Allah tidak pernah salah. Allah maha baik! Cuma itu lah, mental kami suami isteri perlu kuat dengan ujian-ujian mendatang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.ehbelogaku.com/tanda-tanda-slow-learner-pada-anak/