Tambadau Lakar Kemenangan Ketiga Berturut Turut
Maxsius (No.21) dipeluk oleh Luka dan Paunovic selepas membuat hantaran membolehkan Paunovic menjaringkan gol kedua Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa
TAMBADAU LAKAR KEMENANGAN KETIGA BERTURUT-TURUT
Tambadau Sabah mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana apabila menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 3-1 di Stadium Likas di sini malam tadi
Penyerang dari Brazil Luiz Carlos Junior menjadi wira Sabah dengan dua jaringan menarik, setiap satu pada babak pertama dan kedua
Pemain Sabah meraihkan jaringan ketiga ketika bertemu dengan PDRM di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan SAFA
Corak permainan Sabah begitu menarik sekali dan tidak keterlaluan dikatakan gawang PDRM hampir bolos setiap kali Sabah membuat serangan
Peluang pertama Sabah muncul seawal minit ke-empat apabila pemain sayap kanan Maxsius Musa dijatuhkan di luar kotak penalti PDRM
Tampil mengambil sepakan ialah Junior yang kali ini diturunkan setelah direhatkan dalam perlawanan Sabah menentang Sarawak di Kuching minggu lalu
Dan Junior tidak menghampakan apabila tendangan lencong kaki kirinya berjaya mengelirukan benteng pertahanan dan penjaga gawang Polis Willfred Anak Jabun untuk gol pembukaan Sabah
Baca: JDT ll, Sabah pimpin Liga Perdana 2019
Gol itu menyuntik semangat skuad Tambadau menjadikan perlawanan bertambah rancak dan pada minit ke-lapan Junior hampir menjaringkan gol kedua namun bola hasil tendangan libasnya yang menuju ke gawang terkena badan pertahanan PDRM dan keluar untuk tendangan sudut
Pada minit ke-19, sekali lagi sayap kanan lincah Sabah, Maxsius dijatuhkan di luar kotak penalti PDRM
Junior seakan mahu menendang bola namun membiarkan pemain tengah Luka Milunovic mengambil sepakan namun kali ini berjaya diselamatkan oleh Willfred
PDRM hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-28 melalui tendangan percuma ketua pasukan Shahurain Abu Samah tetapi tendangan kencangnya menuju ke penjuru atas sebelah kiri gol Sabah berjaya ditangkis oleh penjaga gawang Rozaimie Rohim
Maxsius cuba melepaskan diri daripada pemain pertahanan PDRM. Gambar SNT/Ihsan Safa
Gol kedua yang dinanti-nantikan penyokong Sabah hadir pada minit ke-42 apabila Maxsius akhirnya berjaya melepaskan diri daripada pertahanan PDRM untuk membuat hantaran lintang dari sebelah kanan yang disambar dengan cantik oleh Rodoljub Paunovic menewaskan Willfred Anak Jabun
Skuad Tambadau memulakan babak kedua dengan garang dan berjaya menambah jaringan melalui gandingan Paunovic dan Junior hanya dua minit selepas ianya dimulakan
Pertahanan PDRM tidak mampu berbuat apa-apa bila Paunovic meluru mendapatkan bola di sebelah kiri padang sebelum membuat hantaran leret tepat kepada Junior yang hanya perlu menguis bola untuk menewaskan penjaga gol PDRM
Kedudukan 3-0 kekal sehinggalah minit ke-52 apabila tendangan percuma yang diambil oleh ketua pasukan, Shahurain berjaya menemui pemain pertahanan PDRM Redzouic Argzim untuk menewaskan Rozaimie dengan mudah dan menjaringkan gol pertama mereka
Ketinggalan 3-1, PDRM berusaha menambah jaringan dan mereka hampir mendapatkannya pada minit ke-69 namun sekali lagi Rozaimie bertindak cemerlang menyelamatkan tandukan berbahaya Shahurain
Gandingan pertahanan Sabah yang diketuai Ketua Pasukan Rawilson Batuil bersama Taesu Park, Dendy Lowa dan Randy Baruh @ Samson berjaya mengekang kemaraan PDRM terutama penyerang tinggi lampai, Patrick Ronaldinho Wleh
Dengan baki 10 minit permainan, Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating mengeluarkan Junior dan menggantikan dengan Mafry Balang
Beberapa minit kemudian, Maxsius yang tercedera dalam kotak penalti sendiri turut dikeluarkan dan diganti oleh Justin Samaan
Ini dilihat sebagai taktik berhati-hati oleh Jelius melindungi barisan penyerangnya daripada mengalami kecederaan
Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan Muhd Faiz Jamaludin.-SabahNewsToday
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://buletinsabahfa.blogspot.com/2019/03/tambadau-lakar-kemenangan-ketiga.html