8.40 pagi baru sampai di Taman Eko Rimba Bukit Mertajam. Bila tau dekat, jadi berlengah-lengah pulak 😁. Untuk mendaki ke puncak Bukit Cherok Tokun, kita perlu masuk ke taman eko rimba ni. Tiada bayaran masuk dikenakan. Ruang parkir yang luas ada disediakan, juga percuma. Ada kelebihan juga bila datang lewat gini, dapatlah ruang parkir di dalam sebab pengunjung dah mulai beredar. Biasa orang beriadah kan mula awal pagi
Dari ruangan parkir kita perlu berjalan kaki ke dalam lagi. Gambar ni saya ambil semasa balik, jalan ke depan tu ke arah ruangan parkir. Berhampiran tempat saya ambil gambar ni ada tandas, bayaran 30 sen dikenakan. Tapi keadaan di dalamnya sangat tak memuaskan walaupun ianya tandas berbayar
Jalan lagi ke depan, kita akan bertemu jalan tar begini. Kat sebelah kanan tu macam ada jalan entah ke mana, Insya Allah lain kali explore. Menurut info, ada dua cara untuk kita sampai ke puncak Bukit Cherok Tokun - melalui jalan tar ni atau melalui laluan hutan. Disebabkan ini kali pertama saya ke sini dan hasil carian tak membuatkan saya yakin untuk melalui laluan hutan, maka saya memilih untuk melalui jalan tar. Insya Allah tak kan sesat la kan. Catatan masa bermula di sini
Tempat ni nampaknya sangat meriah dengan pengunjung, termasuklah orang-orang tua berbangsa Cina. Sesekali nampak ada juga kanak-kanak yang datang bersama keluarga. Lokasi ni juga menjadi tumpuan mereka yang aktif dengan sukan berbasikal. Jadinya kena jalan elok-elok sebelah tepi sebab kadang-kadang ada basikal naik/turun
Bertemu ulat gonggok saiz besar
Nampak ada pondok rehat, kami berhenti rehat di sini. Baru 40 minit perjalanan dah terasa sangat lelah 😄. Berbeza sungguh rupanya bila mendaki di jalan tar, terasa lebih seksa
Bekalan kami - roti sapu peanut butter 4 keping, ORS (oral rehydration salts) campur dengan air sejuk dan sebekas kecil kismis & kacang badam. Bawa juga sebotol lagi air minuman dan sebotol air paip dengan muncung sesuai untuk keperluan mendesak (kot la nak membuang air tak boleh tahan kan...haha). Kami rehat di sini agak lama jugak, hampir 15 minit
Keadaan jalan tar di sini bercerun dan berkelok begini. Di sepanjang jalan juga terdapat beberapa lokasi tanah runtuh yang ditutup dengan kanvas. Nampak seperti runtuhan lama
Tiba di satu pondok rehat yang besar. Nampak ada juga tandas. Kat sini memang ramai yang sedang duduk berehat. Kat sebelah sana tu nampaknya jalan untuk laluan hutan. Bila dah tiba di pondok besar ni bermakna dah tak terlalu jauh untuk kita sampai ke puncak bukit
Berhenti rehat di tepi jalan untuk entah kali ke berapa 😂. Walaupun tadi katanya tak terlalu jauh dari pondok, tapi tetap terasa jauh bila kita perlu berjalan secara mendaki. Sepanjang perjalanan tadi dah beberapa kali kami bertanya orang-orang tentang jarak ke puncak, sebab saya tak jumpa sebarang papan tanda info. Sempat juga berbual ringkas dengan dua kumpulan remaja (rupa-rupanya pertama kali naik juga). Masing-masing pun dah tak larat nak teruskan perjalanan, ada yang berpatah balik dan hanya sebahagian terus bersemangat. Saya? Sebenarnya pun terasa nak berpatah balik
Masya Allah. SubhanAllah😍. Jumpa pemandangan indah ni di sebelah kanan jalan, terus jadi bersemangat semula untuk teruskan perjalanan! Dengan harapan dapat melihat pemandangan lebih indah di Pelantar Pemandangan
Alhamdulillah...terasa lega sangat bila jumpa papan tanda ni. Termasuk sekali gambar basikal orang, tuannya seorang lelaki Cina sedang berbual ringkas dengan suami saya
Untuk ke Pelantar Pemandangan, kita akan melalui jalan hutan. Tapi tak jauh mana pun
Tiba di kawasan Pelantar Pemandangan
Alhamdulillah! Sampai jugak. Kat bawah tu yang kita nampak macam tasik adalah Empangan Mengkuang. Sayangnya pemandangan tak berapa jelas, entah berkabus atau jerebu
Orang yang memberi saya kata-kata semangat untuk teruskan perjalanan supaya tercapai misi nak ke Pelantar Pemandangan ni. Juga sabar je ikut saya yang kejap-kejap berhenti tepi jalan 😅
Disebalik pemandangan indah tadi, ada dua perkara yang menganggu saya di Pelantar Pemandangan ni. Pertama - gelagat sekumpulan perempuan warga asing yang membuka muzik agak kuat sambil joget bergelek 🙄, membuatkan saya tak mampu berlama-lama di situ. Cuma ambil gambar sikit tanpa mencari sudut yang cantik dan tak dapat menghayati keindahan dari puncak setinggi sekitar 421 meter tersebut. Kedua - sampah botol minuman dan pek makanan yang bersepah. Entah ‘monyet’ mana yang makan dan minum di sini, kalau manusia mesti tau buang sampah di tempat sepatutnya 😡
Rekod trip kali ini. Tempoh masa sebenar kami berada di sini adalah sekitar 3 jam (ada kalanya waktu berhenti rehat saya pause jam, jadinya tak masuk rekod). Masuk pukul 9 pagi dan keluar pukul 12 tengah hari. Lebih tepat lagi, naik mengambil masa 2 jam dan turun 1 jam. Punyalah lama saya ambil masa untuk naik 😆|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |