Takut Harimau Penduduk Tak Ke Kebun Selama 3 Minggu
February 5 , 2022 KEHADIRAN pak belang di kawasan Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman, Terengganu ternyata meresahkan penduduk setempat.
Kemunculan haiwan berkenaan turut menyebabkan sebilangan penduduk hilang mata pencarian kerana takut untuk keluar ke kebun sejak tiga minggu lalu.
Seorang penduduk, Ab Rahim Mat Akil, 60, berkata, rata-rata penduduk di sini sudah tidak masuk ke kebun sehingga lewat petang, malah ada yang terus meninggalkan kebun dan tidak duduk di pondok yang dibina kerana bimbang ancaman harimau.
Bagaimanapun, Ab Rahim berkata, dia terpaksa juga memberanikan diri ke kebun duriannya yang terletak tiga kilometer (km) dari rumah kerana bimbang tanaman itu musnah berikutan cuaca panas dan tidak menentu buat masa ini.
“Sudah tiga minggu ada kesan harimau belang dilihat di kawasan berhampiran kampung ini menyebabkan kami hidup dalam ketakutan.
“Sebelum ini, selepas waktu Asar saya masih berani turun ke kebun tetapi sekarang saya takut. Biasanya saya akan ke kebun jam 9 pagi dan pulang ke rumah sekitar 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, pada Rabu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chabang, Yusof Ghani, 58, berkata, penduduk kampung kini berdepan ancaman harimau selepas ternakan penduduk yang terletak 500 meter dari kawasan mereka tinggal dibaham harimau.
Terbaharu katanya, ada penduduk mendakwa terserempak dengan harimau belang kira-kira 100 meter daripapada kawasan rekreasi di Hutan Lipur Air Terjun Menderu di kampung itu, petang Sabtu lalu.
“Selepas kejadian terserempak harimau, malam itu anjing peliharaan penternak di kawasan kampung pula ditemukan mati dengan kesan gigitan pada bahagian badan,” katanya.
Menurut Yusof, keadaan itu menyebabkan kawasan air terjun itu ditutup sejak Selasa kerana terdapat kesan tapak harimau sebesar enam inci di kawasan sekitar.
“Biasanya harimau akan aktif memburu pada waktu pagi, petang atau malam. Kita percaya harimau yang berkeliaran ini dua beranak di mana ibunya dianggarkan seberat 100 kilogram dengan ketinggian 1.06 meter,” katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang petanda menunjukkan harimau itu mendekati jerat yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak dua minggu lalu.
“Kes serangan harimau terhadap ternakan di kawasan ini sudah biasa berlaku di kampung ini dan kawasan sekitar namun biasanya harimau ini adan beredar daripada kawasan ini setelah mendapat hasil tangkapan.
“Tetapi, kali ini sudah masuk tiga minggu kesan harimau ini masih lagi dilihat ada di kawasan ini. Lebih-lebih lagi apabila harimau ini dilihat berada berdekatan dengan kawasan rekreasi yang dikunjungi orang ramai di kampung ini.
“Situasi ini menimbulkan kebimbangan penduduk untuk keluar rumah dan mencari rezeki hasil tanaman di kebun,” katanya.
Pada 14 Januari lalu, seorang penternak lembu menemukan seekor lembu peliharaan mati dalam keadaan ngeri dengan kepala terputus dipercayai dibaham harimau belang di kampung berkenaan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/02/takut-harimau-penduduk-tak-ke-kebun.html