Tak Patuh Award Bayar Balik Pengarah Syarikat Pengendali Umrah Didakwa
Dua pengarah yang juga suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya dan dibenar ikat jamin bersama syarat perlu melapor sekali setiap bulan di pejabat KPDN. (Gambar Bernama)PUTRAJAYA: Syarikat pengendali pakej umrah dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) supaya membayar balik tuntutan RM589,031 kepada 21 mangsa, tahun lalu.
Syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, yang diwakili pengarahnya Zulkarnain Endut, 43, dan isterinya, Mazuin Mustafa, 43, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-63, syarikat itu, Zulkarnain, dan Mazuin sebagai OKS pertama, kedua dan ketiga masing-masing dituduh atas 21 pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM589,031 kepada 21 mangsa yang menuntut wang itu.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat TTPM dan pertuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 itu membawa hukuman di bawah Seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, manakala syarikat itu dan dua pengarahnya diwakili Peguam Hanif Hassan.
Mahkamah menetapkan 26 Feb untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Sophian memohon mahkamah memberikan ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
“Kedua-dua OKS juga perlu melapor diri di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali setiap bulan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Hanif mewakili pasangan suami isteri itu membantah dengan menegaskan bahawa jumlah ikat jamin RM2,000 bagi setiap satu pertuduhan itu membebankan anak guamnya.
Selepas mendengar makluman dan hujah kedua-dua pihak, Majistret Irza Zulaikha membenarkan Zulkarnain dan Mazuin diikat jamin RM6,300 bagi kedua-dua OKS, selain syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Pada 8 Julai tahun lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dilaporkan berkata, lesen syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd digantung selama enam bulan berkuat kuasa mulai 10 Julai 2023 hingga 9 Jan 2024.
Pada 29 Nov lalu, media melaporkan polis menerima 399 laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah melibatkan syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerugian dianggarkan bernilai RM14.2 juta sejak Januari 2023. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/01/tak-patuh-award-bayar-balik-pengarah.html