Tak Nampak Anak Bulan Dengan Mata Kasar Ramai Pilih Berpuasa Hari Ini
kosmo.com.my
Oleh KOSMO!
10 April 2024
Gambar hiasan
PETALING JAYA – Segelintir umat Islam di negara ini memilih untuk meneruskan ibadah puasa hari ini apabila mendakwa mereka tidak melihat hilal (anak bulan) melalui mata kasar, semalam.
Tinjauan Kosmo! di Facebook mendapati, rata-rata memutuskan demikian susulan penampakan bulan baharu itu tidak jelas ekoran cuaca buruk dan awan tebal.
“Petang (semalam) mendung dan hujan. Ikut sunnah, anak bulan kena jelas dengan mata, bukan dengan peralatan canggih. Jadi genapkan berpuasa 30 hari,” kata Amirul.
“Sesuai dengan sabda Rasulallah SAW yang mana, kalau (hilal) tertutup oleh awan, hujan dan mendung serta tidak boleh dilihat mata orang kebanyakan, maka sempurnakan puasa 30 hari,” jelas Awin Sultan.
“Alhamdulillah. Saya pun yakin dan insya-Allah saya turut genapkan puasa 30 hari ini,” ujar Nor Asma.
Bagaimanapun, terdapat pengguna media sosial yang mempunyai pandangan berbeza dan memilih untuk mengikuti saranan pakar yang telah menetapkan perkara berkenaan.
“Saya berbeza pandangan kerana mufti sebut berpuasa 29 hari itu sah manakala 1 Syawal pula diharamkan untuk berpuasa,” jelas Amran.
Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di negara ini akan meraikan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas aktiviti cerapan dilaksanakan di 29 lokasi seluruh negara dikendalikan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan mufti negeri serta pakar falak, alim ulama dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).
Sebelum ini, umat Islam di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak mula menjalani ibadah puasa pada 12 Mac menjadikan jumlah hari berpuasa tahun ini sebanyak 29 hari.
– KOSMO! ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2024/04/tak-nampak-anak-bulan-dengan-mata-kasar.html