Tak Kisah Bergelumang Najis Pemuda Raih Rm7 000 Sebulan Jual Telur Itik
DUNGUN – Meskipun mempunyai diploma dalam bidang seni bina, pemuda dari Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, di sini lebih selesa memilih kerjaya sebagai penternak itik penelur sejak lima tahun lalu.
Ahmad Tarmizi Hashan, 28, berkata, dia menceburi bidang itu kerana minat sejak kecil dan jelas bidang berkenaan memberi pulangan bersih lumayan iaitu sekitar RM,5000 hingga RM7,000 sebulan berbanding bekerja makan gaji.
“Memang perlu bergelumang dengan najis dan bau busuk menguruskan itik pada setiap hari, tetapi ia jauh lebih berbaloi berbanding berkerja di pejabat dalam suasana selesa menggunakan diploma dimiliki sekarang.
“Sejak kecil, saya menanam minat dalam bidang penternakan, lagipun bidang ini mampu memberi pulangan besar berbanding makan gaji iaitu antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan,” katanya.
Menurutnya, dia menternak sebanyak 1,700 ekor itik dengan menghasilkan lebih 1,200 biji telur sehari bergantung kepada keadaan cuaca.
Katanya, telur itik itu akan diproses menjadi telur masin dan bagi tempoh sebulan mampu mengeluarkan lebih 36,000 biji telur masin untuk diedarkan di 30 kedai di empat daerah iaitu Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu dan Marang.
“Saya memperuntukkan RM15,000 sebulan bagi memastikan semua itik peliharaan memperoleh makanan berkhasiat, sekali gus menghasilkan telur banyak dan berkualiti tinggi.
“Saya hanya menggunakan dedak itik 100 peratus bagi memastikan itik produktif mengeluarkan telur berkualiti tinggi dan tak kisah berbelanja lebih sedikit.
“Sesetengah penternak memberi sisa makanan restoran kepada itik kerana ingin berjimat, tetapi perbuatan itu sedikit sebanyak dapat menjejaskan pengeluaran telur ternakan mereka,” katanya.
Katanya, dia berasa bertuah kerana bidang penternakan dijalankannya itu turut mendapat sokongan bapanya, Hashan Abu bakar, 65, dan abang, Ahmad Azwan, 38.
“Kegiatan ini pasti tidak lancar sekiranya ayah dan abang tidak membantu kerana banyak tugasan yang perlu dibuat ketika menguruskan itik antaranya memberi makan, mengutip telur di reban sebelum menjalani proses membersihkan serta menyediakan telur untuk dijadikan telur masin.
“Telur masin itu pula dijual mengikut gred A, B dan C berharga RM33 hingga RM36 untuk 50 biji. Telur yang diproses menjadi telur masin biasanya mengambil masa selama dua hingga tiga minggu sebelum boleh dijual kepada pelanggan,” katanya.
Ahmad Tarmizi berkata, dia bercadang menambah jumlah itik pada masa akan datang berikutan permintaan diterima semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, permintaan tinggi mendadak ketika Ramadan dan musim tengkujuh menyebabkan hasil dikeluarkan tidak mampu menampung permintaan.
Sementara itu, Hashan berkata, daya tahan penyakit ternakan itu lebih kuat berbanding ayam menyebabkan itik tidak cerewet untuk diuruskan, malah seekor itik mampu mengeluarkan telur sehingga usia dua tahun setengah.
Katanya, kebiasaannya itik mati kerana faktor usia, tetapi mereka tidak akan biarkan ia mati begitu sahaja kerana itik yang menjangkau usia dua tahun setengah akan dijual sebagai itik pencen kepada peniaga di pasar dengan harga RM6 seekor.
The post Tak kisah bergelumang najis, pemuda raih RM7,000 sebulan jual telur itik appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/tak-kisah-bergelumang-najis-pemuda-raih-rm7000-sebulan-jual-telur-itik/