Tak Habis Lagi Bab Addendum Saya Ulang Siarlah Disorokkah Addendum Itu
(Tulisan asal 15 Januari 2025)

Dalam satu perbincangan hangat di kalangan pimpinan Keadilan sendiri, saya sudah memberi satu analogi, Ketua Cabang punya kuasa prerogatif (mutlak) untuk melantik Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Setiausaha Pengelola Cabang contohnya, tetapi persoalannya, bolehkah perlantikan ini dibuat di luar mesyuarat Cabang?
Titah Addendum sudah disahkan ada, diserahkan oleh Tuanku Al-Sultan Abdullah semasa baginda masih bergelar Yang di-Pertuan Agong kepada Peguam Negara. Masalahnya titah ini bertarikh 29 Januari 2024, sedang keesokan harinya, 30 Januari 2024 adalah hari terakhir Tuanku Al-Sultan Abdullah bersemayam di Istana Negara, bahkan pada 30 Januari itu juga berlangsung Majlis Istiadat Keberangkatan Balik YDPA ke Negeri Pahang. Peguam Negara yang menerima Titah Addendum itu kemudiannya menyerahkan titah tersebut kepada Agong yang baru, Tuanku Sultan Ibrahim.
Jelas Titah Addendum tidak pernah melalui dan memasuki mesyuarat Lembaga Pengampunan. Oleh kerana itu ada sebab mengapa kerajaan (Menteri Wilayah berada dalam Lembaga Pengampunan) tidak pernah memberi komen tentang persoalan Titah Addendum itu, kerana mereka tidak punya kapasiti untuk memberi komentar, pertama kerana titah tersebut tidak pernah sampai ke Lembaga Pengampunan, kedua kerana titah tersebut sudah berada di tangan Agong yang baru, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengampunan. Menteri-menteri ini, waima Perdana Menteri sekalipun tidak boleh bertindak mendahului YDPA (semasa).
Perkara 42(1) dan (2) memang memberi kuasa prerogatif kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Tetapi Perkara 42 bukan hanya wujud dengan dua fasal. Perkara 42(4) menyatakan, "Kuasa yang disebut dalam Perkara ini--
(a) adalah, setakat yang kuasa itu boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, antara fungsi yang peruntukan berkenaan dengannya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Fasal (3) Perkara 40."
Maka ia mesti dibaca bersama dengan Perkara 40(3) iaitu, Undang-Undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya.
Kumpulan orang selain Jemaah Menteri ini adalah Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 42(11).
Lalu saya, berdasarkan kepada fakta-fakta di atas percaya bahawa Peguam Negara telah bertindak secara jujur hati (bona fide) bila menyerahkan Titah Addendum itu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baru demi menjaga kemurnian dan integriti institusi Raja Berperlembagaan itu sendiri. Disorokkah ia?
Kalau ada yang mahu berkata ia disorok sekalipun, tanyalah kepada Bendahara Paduka Raja, kenapa sorokkan Hang Tuah di Hulu Melaka? Padahal titah Raja adalah untuk menghukum bunuhnya. Derhakakah Bendahara? Padahal dia sedang mempertahan kemuliaan dan kedaulatan Rajanya.
~~~~~~ tamat tulisan asal ~~~~~~
Persoalannya, selagimana Yang di-Pertuan Agong sekarang tidak memanggil mesyuarat Lembaga Pengampunan dan membincang serta membuat keputusan berkait dengan titah addendum ini, bagaimana pihak kerajaan mahu melaksanakannya?
Zukri Aksah
Timbalan Ketua Cabang
Keadilan Indera Mahkota
#keadilan25 #keadilan25tahun #neoreformia #DSAIPM10 #MalaysiaMadani #kamikeadilan #KerajaanMadani #AkuKeadilan #PMX #Adendum #Addendum #DemiPertiwi #harapan #UMNOMalaysia
Anwar Ibrahim Dr Wan Azizah Wan Ismail Najib Razak Parti Keadilan Rakyat Keadilan Pahang Pakatan Harapan UMNO Online MyMadani Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/07/tak-habis-lagi-bab-addendum-saya-ulang.html