Taiping Sambutan Hari Konservasi Harimau Gajah Peringkat Kebangsaan
Add Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) melihat gajah sempena Majlis Sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan di Zoo Taiping semalam
Teks Ucapan PerasmianSAMBUTAN HARI KONSERVASI HARIMAU DAN GAJAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2020
8 OGOS 2020ZOO TAIPING & NIGHT SAFARI, PERAK
Terima kasih saudara/saudari Pengacara Majlis
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
YANG BERHORMAT TUAN AHMAD SAIDI MOHAMAD DAUDPengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak
YANG BERBAHAGIA DATUK ZURINAH PAWANTEHKetua SetiausahaKementerian Tenaga dan Sumber Asli
YANG BERBAHAGIA DATO' ABDUL KADIR BIN ABU HASHIMKetua PengarahJabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)
YANG BERUSAHA ENCIK KHAIRUL AMIR BIN MOHAMAD ZUBIRYang DipertuaMajlis Perbandaran Taiping
YANG BERUSAHA DR. KEVIN LAZARUSPengarahZoo Taiping & Night Safari
YANG BERBAHAGIA DATO' FEIZAL BIN MUSTAPHA,PengerusiEXIM Bank Malaysia
YANG BERUSAHA ENCIK SHAFIE BIN SHAMSUDDINPengarah UrusanAEON Co. (Malaysia) Bhd
Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
Dif-dif jemputan
Tuan-Tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Majlis Perbandaran Taiping kerana menjemput saya hadir untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan Sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan 2020 pada pagi ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Tuan Ahmad Saidi bin Mohamad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak kerana sudi meluangkan masa untuk bersama-sama kita pada pagi ini
Hadirin yang dihormati sekalian,
2. Majlis kita pada pagi ini sangat bermakna kerana ia merupakan majlis sambutan bersempena Hari Harimau Sedunia (Global Tiger Day) yang disambut pada 29 Julai dan Hari Gajah Sedunia (World Elephant Day) yang disambut pada 12 Ogos setiap tahun. Sambutan ini diadakan bagi mempromosi dan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan memulihara harimau dan gajah
3. Dalam kita menyambut Hari Konservasi dua spesies ikonik Malaysia ini, negara kita juga masih dan sedang berhadapan dengan penularan wabak pandemik COVID-19. Di peringkat antarabangsa dan negara, para penyelidik dan para ahli ekonomi berpandangan pandemik kali ini telah memberi peluang kepada manusia untuk membuat refleksi dan penelitian terhadap impak aktiviti manusia dan peranan manusia dalam menjaga keseimbangan alam semula jadi
4. Pada peringkat awal tanggungjawab saya sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli, antara perkara utama yang telah saya perjuangkan ialah untuk mendapatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan iaitu dana prihatin kebajikan hidupan liar sebanyak RM8.3 juta untuk zoo dan pameran tetap (ZPT) yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan memerlukan bantuan bagi menjamin kelangsungan hidupan liar dalam ZPT termasuk harimau dan gajah
5. Kita juga amat prihatin terhadap insiden-insiden konflik manusia dan hidupan liar yang tular di media seperti kemunculan harimau kumbang di UiTM Kuala Pilah, anak gajah sesat di Jalan Kota-Mersing, gajah menyerang gerai buah-buahan di Johor dan gajah merosakkan kereta di kawasan Gerik. Kemalangan jalan raya yang membabitkan hidupan liar juga menunjukkan trend yang semakin meningkat
6. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Sarawak Forestry Corporation tetap komited dalam menyokong segala usaha pemuliharaan spesies hidupan liar di Malaysia sama ada dalam bentuk in-situ atau ex-situ
7. Usaha ini juga sedang dan akan dipergiatkan terutamanya untuk spesies endemik dan ikonik di Malaysia seperti Harimau Malaya, Gajah Asia, Tapir Malaya, Orang Utan dan lain-lain. Selain itu, Kementerian saya juga akan menumpukan segala sumber dan tenaga bagi memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang merupakan habitat asal spesies ikonik ini dipelihara menerusi pelaksanaan Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) dengan kerjasama setiap Kerajaan Negeri yang terlibat
Hadirin yang dihormati sekalian,
8. Harimau dan gajah merupakan antara hidupan liar yang terancam dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) telah menyenaraikan harimau dan gajah sebagai Appendix 1 iaitu spesies yang tidak boleh diimport dan dieksport kecuali untuk tujuan seperti penyelidikan dan zoo di mana permit import dan eksport perlu dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pengurusan (Management Authority) negara pengimport dan pengeksport. International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Threatened Species mengkelaskan kedua-dua hidupan liar ini sebagai ‘Sangat Terancam’ (Critically Endangered)
9. Di Malaysia, Harimau Malaya merupakan spesies ikonik negara yang menjadi simbol dalam Jata Negara. Harimau Malaya turut dijadikan sebagai ikon oleh pelbagai agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta. Harimau Malaysia menjadi lambang keberanian, integriti dan perpaduan nasional
10. Walau bagaimanapun, kita akan kehilangan Harimau Malaya buat selama-lamanya jika usaha tidak diambil untuk melindungi dan meningkatkan populasi Harimau Malaya. Menurut dapatan awal Survei Harimau Kebangsaan Pertama (First National Tiger Survey – NTS) yang dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia melibatkan kawasan kajian seluas 44,000 kilometer persegi, populasi Harimau Malaya dianggarkan kurang daripada 200 ekor. Data ini menunjukkan populasi Harimau Malaya berada pada tahap yang sangat membimbangkan dan diancam kepupusan. NTS yang bermula pada tahun 2016 dijangka selesai pada Oktober tahun ini dan bilangan sebenar populasi Harimau Malaya akan saya umumkan secara rasmi pada penghujung tahun ini selepas semua data dianalisis.
11. Untuk makluman hadirin sekalian, populasi Gajah Asia di Semenanjung Malaysia pula dianggarkan kurang daripada 1,100 ekor. Sementara Gajah Pygmy di Sabah pula dianggarkan kurang daripada 2,000 ekor. Daripada jumlah tersebut, hanya terdapat tidak lebih 120 ekor gajah liar di Perak
12. Pengurangan populasi Harimau Malaya dan gajah adalah disebabkan beberapa faktor seperti pengurangan kawasan habitat dan keliaran akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah. Selain itu, Harimau Malaya dan Gajah juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap
Hadirin yang dihormati sekalian,
13. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memandang serius keperluan untuk memastikan kelangsungan hidup harimau dan gajah. Pelbagai usaha telah dilaksanakan melalui National Tiger Conservation Action Plan 2008-2020 (NTCAP) dan National Elephant Conservation Action Plan ((NECAP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri, agensi-agensi penguatkuasaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
14. KeTSA juga telah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu dibuat penambahbaikan ke atas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] agar lebih responsif kepada keperluan semasa dan meningkatkan lagi konservasi hidupan liar. khususnya yang melibatkan tindakan penguatkuasaan. Pindaan Akta 716 dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini. Pindaan yang dilaksanakan ke atas Akta 716 antaranya merangkumi:
(i) menambah peruntukan kawalan terhadap aktiviti perdagangan dan promosi atas talian (online) bagi hidupan liar seiring dengan perkembangan teknologi semasa; dan
(ii) meningkatkan penalti bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta 716 dengan meningkatan hukuman penjara daripada minimum tiga (3) tahun hingga ke maksimum 15 tahun dan meningkatkan denda daripada RM500,000.00 kepada RM1 juta
15. Dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara Harimau Malaya, suka saya menyatakan di sini bahawa Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ yang dimulakan pada tahun 2019 akan dilaksanakan secara berterusan bagi memantapkan penglibatan semua pihak dalam menyokong usaha Kerajaan untuk menyelamatkan Harimau Malaya
16. Di samping itu, KeTSA juga sedang membangunkan Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (National Tiger Conservation Centre - NTCC) di Lanchang, Pahang bagi menyokong program konservasi Harimau Malaya. Pusat konservasi ini dijangka siap dan beroperasi pada tahun 2021
Hadirin yang dihormati sekalian,
17. Bagi meningkatkan konservasi gajah pula, KeTSA menerajui inisiatif dengan membangunkan santuari gajah sebagai usaha meningkatkan kawasan perlindungan yang khusus untuk konservasi gajah. Pada masa ini, terdapat tiga (3) pusat pemuliharaan gajah yang telah ditubuhkan iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang; Pusat Konservasi Gajah Sg. Deka; Terengganu dan Santuari Gajah Johor (JES)
18. Sebuah lagi pusat konservasi gajah akan dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Keduabelas (RMKe-12) iaitu Perak Elephant Sanctuary (PrES). Pusat ini mempunyai keluasan lebih kurang 200 ekar berhampiran kawasan Hutan Simpan Amanjaya dan Royal Belum. Inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian ini juga akan dapat mengurangkan isu gangguan gajah khususnya di Hulu Perak dan Kuala Kangsar serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui aktiviti ekopelancongan. Di samping itu, program Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi mengurangkan impak akibat konflik gajah akan diteruskan di bawah RMKe-12
19. Dengan penambahan pusat konservasi gajah ini, Kementerian dalam masa yang sama akan menambah baik perkhidmatan pengendalian gajah atau pun lebih dikenali sebagai Mahut dalam menjaga dan mengendalikan gajah-gajah di pusat-pusat konservasi ini. Tugasan menjaga dan pengurusan husbandri, usaha translokasi dan menyelamat gajah hanya boleh dilakukan oleh Mahut kerana ia memerlukan kemahiran dan komitmen yang tinggi dalam memahami kehendak gajah sepanjang masa
Hadirin yang dihormati sekalian,
20. Penguatkuasaan juga memainkan peranan penting dalam usaha melindungi dan memulihara harimau dan gajah serta hidupan liar yang lain. Usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan padu renjer hidupan liar. Mereka adalah barisan hadapan (frontliner) dalam menjaga sumber biodiversiti negara. Mereka sanggup berhadapan dengan pelbagai risiko termasuk kemalangan, kecederaan dan kematian dalam membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar
21. Bersempena dengan sambutan Hari Renjer Sedunia yang disambut pada 31 Julai setiap tahun, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada renjer di seluruh negara di atas jasa dan pengorbanan renjer-renjer dalam melindungi dan memelihara khazanah biodiversiti negara
22. Kita sangat bertuah kerana mulai tahun ini, Jabatan PERHILITAN telah mempertingkatkan kekuatan anggota renjer melalui pelantikan 100 orang Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan 100 Orang Asli sebagai renjer hidupan liar secara contract for service (CFS) di bawah Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3). Saya berkeyakinan, pengalaman dan kepakaran Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli dapat meningkatkan lagi keberkesanan penguatkuasaan. Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk BP3 di bawah Bajet 2020 dan suka saya menyatakan di sini bahawa Kementerian akan memohon kepada Kementerian Kewangan supaya BP3 diteruskan pada tahun hadapan di bawah Bajet 2021
23. Selain itu, penggunaan teknologi seperti geospatial akan diperluaskan bagi membantu renjer melaksanakan tugasan pemantauan dan penguatkuasaan secara lebih cekap dan berkesan. Bagi tujuan ini, KeTSA akan menyediakan latihan kepada renjer untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan aplikasi teknologi yang disediakan
Hadirin yang dihormati sekalian,
24. Konservasi harimau dan gajah bukanlah menjadi tugas Kerajaan semata-mata tetapi menjadi tanggungjawab kita semua. Usaha ini perlu melibatkan semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda supaya mereka dapat memahami dengan jelas peranan dan sumbangan yang boleh diberikan ke arah konservasi harimau dan gajah. Saya menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam konservasi harimau dan gajah
25. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak EXIM Bank Malaysia dan AEON Co. (Malaysia) Berhad yang sentiasa menyokong usaha-usaha konservasi hidupan liar. Tidak dilupakan ucapan terima kasih juga kepada Zoo Taiping di atas kesudian menjadi tuan rumah majlis kita pada hari ini. Semoga kerjasama erat ini boleh diperkukuhkan pada masa-masa akan datang
26. Saya juga ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada konservasi harimau dan gajah
27. Akhir kata, dengan lafaz bismillahirahmanirahim, saya dengan sukacita merasmikan Sambutan Hari Konservasi Harimau dan Gajah Peringkat Kebangsaan 2020
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Sekian, terima kasih
YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR NASARAHMENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI8 OGOS 2020
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/08/taiping-sambutan-hari-konservasi.html