Taiping Dinobat Sebagai Bandar Ketiga Terbaik Dunia
BANDAR Taiping dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018 yang berlangsung di Berlin, Jerman, kelmarin.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, beliau gembira dengan kejayaan dicapai dan ia kejayaan bersama seluruh komuniti termasuk agensi berkenaan dalam memastikan kelestarian bandar itu.
Menurutnya, anugerah berprestij dan bertaraf dunia itu pertama kali diterima bandar itu walaupun sebelum ini sudah menerima beberapa anugerah lain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Harapan saya semua agensi yang melaksanakan undang-undang berkaitan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan perlu terus komited melaksanakan tanggungjawab masing-masing supaya bandar ini terus dilestarikan.
“Seluruh penduduk dan komuniti bandar ini perlu terus berusaha memastikan kawasan bandar ini sentiasa bersih, terpelihara dan terhindar dari kekotoran sampah serta kerosakan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Abd Rahim mewakili MPT menerima anugerah itu di ITB Berlin, Jerman kelmarin dan majlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing serta Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim.
Pada anugerah itu, Ljubijana di Slovenia dinobatkan sebagai pemenang pertama manakala Vancouver di Kanada memenangi tempat kedua.
Abd Rahim berkata, MPT menghantar penyertaan anugerah itu pada awal 2018 selepas ia dicadangkan seorang panel juri Asean Clean Tourist City Award yang melawat bandar itu dan melihat kelebihan serta keunikan dari aspek eko-pelancongan.
Katanya, dalam penyertaan itu, MPT mengemukakan laporan dan input beberapa kawasan lestari serta kekal dipelihara seperti Hutan Paya Larut Matang, Kampung Dew, Kuala Sepetang, Kuala Trong, Bukit Larut, Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping & Night Safari serta Batu Kurau.
Sumber: cempedakcheese.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/03/taiping-dinobat-sebagai-bandar-ketiga.html