T21j16 Aina Ditahan Wad Di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Nyaris Disahkan Covid 19
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ Hari ini batuk Aina dan Aidan semakin teruk. Nafas Aina semakin kuat dan ada wheezing. Batuknya tak lepas dan beberapa kali dia nak muntah tetapi tidak muntah.
Kami mengambil keputusan untuk bawa Aina dan Aidan ke klinik berhampiran Wakaf Bharu. Sebenarnya dari malam semalam kami nak bawa mereka berdua ke klinik tetapi hujan lebat.
Bawa Aina dan Aidan ke Klinik Primer Wakaf BharuKami memilih untuk bawa Aina dan Aidan ke Klinik Primer Wakaf Bharu. Kami pernah ke klinik ini ketika ia terletak di Bulatan Wakaf Bharu. Kali ini Klinik Primer Wakaf Bharu berpindah ke Pasir Pekan kerana lokasi lamanya telah diambil untuk pembinaan jejantas menyeberangi Bulatan Wakaf Bharu dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Pengkalan Kubor.
Aina disahkan positif Covid-19Ketika Mummy mahu daftarkan Aina dan Aidan di kaunter pendaftaran Klinik Primer Wakaf Bharu, kami dimaklumkan bahawa Aina dan Aidan perlu melalui ujian swab (ujian calit) terlebih dahulu sebelum dibenarkan berjumpa doktor kerana mereka berdua menunjukkan tanda-tanda Covid-19.
Ujian calit dilakukan di lorong belakang Klinik Primer Wakaf Bharu secara pandu lalu.
Master diarahkan mengisi borang maklumat peribadi Aina dan Aidan. Kami ambil ujian calit menggunakan RTK dengan harga MYR 80 seorang.
Agak mengejutkan Aina dan Aidan tidak menangis dicucuk hidung ketika ujian dijalankan cuma tersentak kepala kerana terkejut ataupun sakit. Mengalir air mata Aidan manakala Aina bersin beberapa kali. Tedi pun tak rasa Tedi sanggup menjalani ujian calit itu.
Master membayar melalui pindahan akaun ke akaun Maybank milik Klinik Primer Wakaf Bharu.
Kemudian kami disuruh menunggu di depan klinik di dalam kereta. Tidak beberapa lama kemudian pihak klinik Primer Wakaf Bharu menelefon Master dan memaklumkan bahawa Aina positif Covid-19 manakala Aidan negatif.
Keputusan ini mengejutkan kami dan agak memeningkan kepala, kerana Aidan terlebih dahulu sakit berbanding Aina. Juga agak tidak logik Aina seorang sahaja yang positif kerana sebelum bergerak balik ke Kelantan pada hari Rabu lalu Master dan Mummy telah melakukan ujian kendiri RTK dan mendapat keputusan negatif Covid-19.
Pihak Klinik Primer Wakaf Bharu tidak mahu memeriksa keadaan Aina dan Aidan, jadi mereka "nasihatkan" kami balik ke rumah dan kuarantin kendiri sementara menunggu pegawai KKM hadir ke rumah.
Kami bertanyakan mengenai keadaan Aina yang semakin lemah tetapi nasihat yang sama masih diberikan iaitu supaya kami balik dan tunggu di rumah.
Bawa Aina ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 Kota BharuKami tidak berpuas hati kerana keadaan Aina sudah semakin lemah. Akhirnya kami membawa Aina ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ2) di kota Bharu setelah Mummy mendapatkan nasihat beberapa orang kawannya.
Setibanya di HRPZ2 sekitar jam 2:30 petang, Master letakkan kereta secara menghadang kereta lain di tempat letak kereta sebelum pergi ke Kaunter Triage di Wad Kecemasan HRPZ2. Master maklumkan secara ringkas mengenai keadaan Aina yang lemah dan telah disahkan positif Covid-19 di Klinik Primer Wakaf Bharu. Pegawai bertugas dengan tenangnya menyuruh Master bawa kereta ke situ dan turunkan Aina.
Triage adalah pemeriksaan awal yang dilakukan ke atas pesakit untuk menentukan tahap kecemasan kes mereka.
Master berbuat sedemikian, para petugas memeriksa keadaan Aina, manakala Master beredar untuk meletakkan kereta. alhamdulillah tiba-tiba sahaja ada satu petak parkir kosong membolehkan Master terus meletakkan kereta di sana.
Aina tidak demam, tetapi paras oksigennya tidak bagus. Aina dibawa ke Zon Kuning dan diberikan terapi nebulizer terlebih dahulu sebelum diuji Covid-19 menggunakan RTK. Doktor telah periksa laporan ujian swab daripada Klinik Primer Wakaf Bharu dan katanya keputusan ujian itu sah. Tidak beberapa lama kemudian Aina diletakkan di Zon Merah.
Master dan Aidan menuggu di luar jauh dari Wad Kecemasan, selalunya sebelum ini kalau ke Wad Kecemasan Hospital Putrajaya, Master yang akan uruskan pendaftaran tetapi pada kali ini Master tak tergamak langsung nak bawa Aidan ke sana kerana ada ramai manusia. Master memilih untuk menunggu di Fever Center yang kurang orang.
Sekitar jam 3:13 petang Aina dan Mummy juga terpaksa buat ujian calit. Keputusan dijangka diperolehi dalam masa satu jam.
"kuat aina ni..swab tak nangis..cucuk utk ambik darah and pasang line smp 3 kali..sikit pun dia tak nangis" - MummyDoktor kata Aina wajib ditahan dalam wad melihatkan kepada keadaannya.
Pada jam 3:38 petang keadaan Aina sudah stabil dan hanya menunggu keputusan ujian RTK Covid-19. Aina dipakaikan salur oksigen, drip air di sebelah tangan, dan oksimeter di sebelah tangan yang lain.
Pada jam 4:03 suhu badan Aina mencecah 38.3 darjah Celsius. Mungkin kerana sakit dicucuk tangannya. Doktor pun kagum tengok Aina tidak menangis. Aina jawab tak sakit apabila ditanya doktor.
Doktor kata tak patut Klinik Primer Wakaf Bharu tu buat macam tu, sudahlah tak mahu periksa langsung keadaan Aina, dinasihatkan pula supaya kami hanya menunggu di rumah sedangkan sudah dimaklumkan keadaan Aina yang lemah.
Ketika itu sekitar jam 4:30 petang Master tergelak dengan keletah Aidan yang sibuk cerita pasal hidung dia dijolok semasa ujian calit tadi sambil menjolokkan jarinya ke hidung.
"Uncle buat hidung adik. Sakit hidung adik. Habis hidung adik. Habis hidung adik. Habis hidung adik" - Aidan.
Balik ke rumah Tok Abah kemas barangSekitar jam 4:58 petang Master dan Aidan balik ke rumah Tok Abah untuk kemas barang.
Keputusan ujian calit Mummy dan Aina telah diperolehi menunjukkan kedua-dua mereka negatif Covid-19. Tetapi doktor kata memandangkan Klinik Primer Wakaf Bharu kata Aina positif, maka Aina akan dianggap pesakit Covid-19. Kesannya ialah Aina akan dimasukkan ke wad untuk pesakit Covid-19 sedangkan Aina mungkin bukan positif Covid-19.
Sekitar jam 6 petang, doktor cuba cari isolation room tetapi semuanya sudah penuh. Jadi doktor usahakan untuk mengulangi ujian RTK tetapi menggunakan kit jenis lain. Memandangkan Aina ada jantung berlubang adalah berisiko tinggi untuk masukkan dia ke wad Covid-19, maka pihak hospital meluluskan ujian ke-2 ini.
"Aina nak call adik dia..dia duk ingat adik dia..dapat biskut dengan milo satni terus dia tanya mana adik punya..adik nak air yellow katanya" - Mummy
~20211016~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.interpretzz.com/2021/10/t21j16-aina-ditahan-wad-di-hospital.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Interpretzz+%28interpretZZ%29