Suv Terbalik Seorang Pekerja Pusat Kecantikan Maut Nahas Tiga Kenderaan Di Jalan Gambang Kuantan

KUANTAN: Seorang pekerja pusat kecantikan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Ativa dipandunya terbabit nahas melibatkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat Batu 10, Jalan Kuantan-Gambang di sini pada Khamis.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10.15 malam itu, melibatkan Perodua Ativa, Proton Iswara dan Volkswagen Golf.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Nor Aspadora Azmi, 24, beralamat dari Bandar Indera Mahkota 2 di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Penumpang SUV terdiri dua remaja perempuan berusia 11 dan 14 tahun yang juga sepupu mangsa dilaporkan cedera," katanya.
Menurutnya, pasangan suami isteri berusia 27 dan 38 tahun bersama tiga anak mereka berusia tiga hingga 10 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Iswara selamat.
"Lelaki berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Volkswagen Golf turut terselamat dalam nahas itu," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa bersama dua sepupunya dipercayai dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke arah bandar Kuantan.
"Proton Iswara dinaiki lima sekeluarga pula dari arah bandar Kuantan menghala ke Sungai Lembing manakala Volkswagen Golf dipandu penghantar barang dari arah Jaya Gading menghala ke arah bandar Kuantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, SUV dipandu mangsa dipercayai terbabas melanggar kereta Proton Iswara yang sedang membelok ke kanan dan sebuah lagi kereta yang membuat pusingan U ketika lampu isyarat hijau," katanya.
Beliau berkata, akibat pelanggaran tersebut, SUV dipandu mangsa terbalik di pembahagi jalan.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpangnya yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.
"Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. #SinarHarian
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2025/04/suv-terbalik-seorang-pekerja-pusat.html