Sukan Sea Wan Kuzain Akhirnya Sertai Latihan Skuad Kim Swee
PETALING JAYA, 18 Nov — Pemain yang ditunggu-tunggu, Wan Kuzain Wan Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, akhirnya menyertai latihan pasukan Bawah 22 (B-22) kebangsaan, hari ini.
Pemain 21 tahun yang lahir di Carbondale, Illinios, Amerika Syarikat itu, sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah dokumentasi dan juga pasportnya.
Bagaimanapun pemain tengah setinggi 178 sentimeter yang bermain untuk Sporting Kansas City di Liga Bola Sepak Utama Amerika (MLS), tiba di Malaysia untuk menyertai persiapan menghadapi Sukan Sea 2019.
“Ini sesuatu yang amat bermakna … Setiap kali anda bermain untuk pasukan kebangsaan, anda bukan sahaja mewakili diri ataupun keluarga, anda mewakili seluruh negara. Harapannya saya akan dapat tunjukkan dan pakai jersi ini dengan bangganya.
“Tidak sabar untuk memulakan latihan dan lihat bagaimana. Saya akan lakukan yang terbaik, kerja keras, bersaing, dan lakukan apa yang saya boleh dan akan lihat apa yang akan terjadi,” katanya kepada wartawan ketika sesi latihan di Arena MPSJ, Subang Jaya di sini hari ini.
Wan Kuzain berhasrat membantu pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee, untuk memenangi semula pingat emas Sukan Sea, selepas tewas kepada Thailand pada edisi 2017.
“Saya rasa setiap kali kita bermain bola sepak dan mana-mana pasukan pun mahu untuk menang, saya tidak lihat sebab kenapa kita tidak boleh (menang). Semua (dalam pasukan) baik dan mesra, saya telah memperkenalkan diri kepada semua, sehingga kini semuanya baik.
“Saya mahu tunjukkan diri saya sebagai seorang pemain yang tenang, pengatur di bahagian tengah… saya boleh bermain pada mana-mana posisi, sama ada bertahan, tengah ataupun serangan, boleh menentukan pergerakan permainan dan memulakan gerakan. Boleh menentukan gerakan akhir, mencipta peluang dan yang paling penting sekali, seorang yang akan menjadi rakan sepasukan yang baik dan bekerja keras,” katanya mengambarkan dirinya.
Sementara itu Kim Swee percaya pengalaman Wan Kuzain akan dapat dimanfaatkan pasukan kebangsaan dalam masa panjang.
“Kita perlu berikan beliau masa kerana dia baru tiba. Pertamanya, tentu sekali kita mahu lihat bagaimana dia boleh berkombinasi dengan pemain lain atas padang dan kita tahu yang pemain tengah dari pasukan kebangsaan akan sertai kita selepas perlawanan menentang Indonesia (pada Selasa), apabila pemain ini sertai kita, kombinasi antara mereka amat penting sekali.
“Pada masa yang sama, di luar padang di mana beliau perlu bergaul dengan masyarakat tempatan atau bersama pemain dan ini amat penting untuk pembinaan pasukan dalam padang,” katanya.
Kim Swee kini mempunyai 25 pemain, manakala tujuh lagi akan menyertai pasukan selepas tamat tugas mereka bersama pasukan kebangsaan pada Rabu, dijangka menamakan senarai terakhir 20 pemain hujung minggu ini sebelum berlepas ke Manila.
“Jadi semua akan bekerja keras, di mana anda tahu hanya 20 pemain yang akan terpilih ke Manila. Saya tidak boleh bawa semua orang, dan saya tidak mahu mempunyai kumpulan pemain yang besar, di mana ia tentunya akan berikan saya sedikit masalah dalam latihan dan menumpukan kepada semua pemain.
“Pada minggu terakhir persediaan, saya perlu lihat beberapa posisi, di mana perlu pastikan yang kita perlu ada pemain yang stabil, di satu atau dua posisi,” katanya.
Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar pada Isnin, diikuti Filipina (29 Nov), Timur Leste (2 Dis) dan Kemboja (4 Dis). Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Memorial Rizal, Manila.
— BERNAMA
Please follow and like us:
0
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://beautifulnaara.blogspot.com/2019/11/sukan-sea-wan-kuzain-akhirnya-sertai.html