Sugarbook Ada Unsur Perbodoh Eksploitasi Wanita
              ainulillia Seolah satu ‘jual beli’ serah tubuh kaum hawa dengan balasan duit
BANGI – Aplikasi mencari pasangan dalam talian ‘Sugarbook’ yang mencetuskan  kontroversi ketika ini amat bertentangan dengan konsep pengupayaan  wanita, tegas Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustazah  Suriani Sudi.
Menjelaskan  mengenai pengupayaan wanita, beliau berkata, ia sepatutnya memberi  kebebasan kepada wanita untuk mengejar impian dan cita-cita selari  dengan syariat, boleh menuntut ilmu, boleh bekerja serta memegang  jawatan di samping tidak mengabaikan tanggungjawab asasi di rumah.
“Tetapi  konsep ‘sugar daddy’ dalam aplikasi Sugarbook ini bukan satu usaha  pengupayaan wanita, malah adalah antara unsur memperbodohkan dan  eksploitasi wanita. 
“Ia seolah-olah satu ‘jual beli’ serah tubuh wanita dengan balasan duit,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Sugarbook  ialah aplikasi yang didakwa boleh menghubungkan ‘sugar daddy’ atau  ‘sugar mommy’ dengan ‘sugar baby’ dari negara ini dan seluruh Asia.
Panggilan  ‘sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ merujuk kepada lelaki atau wanita  berusia lagi berharta yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan  lain kepada temannya yang lebih muda iaitu ‘sugar baby‘ sebagai  pertukaran kepada jalinan hubungan.
Selepas  isu itu tular, pengasas aplikasi Darren Chan tampil mengeluarkan  kenyataan, menjelaskan bahawa Sugarbook tidak wajar diharamkan oleh  kerajaan kerana bukan mempromosi aktiviti pelacuran sebaliknya sebagai  platform seluas-luasnya kepada kaum wanita memilih pasangan hidup tanpa  sebarang halangan.
Darren  berkata, inisiatif memperkasakan wanita adalah mencakupi usaha  menggalakkan wanita meningkatkan keupayaan mereka memilih pasangan hidup  dengan bebas.
Kelmarin,  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan paparan visual  iklan luar LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara dihentikan dan  diturunkan.
DBKL berkata, paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Mengulas  lanjut, Ustazah Suriani berkata, pihaknya maklum bukan sekadar Sugarbook  tapi terdapat pelbagai lagi aplikasi dan laman web di luar sana yang  mengeksploitasi wanita. 
“Wanita  Isma membantah sekeras-kerasnya aplikasi-aplikasi sebegini. Wanita Isma  menyeru kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  untuk memantau rapat pergerakan medium-medium sebegini dan diharamkan di  Malaysia,” tegasnya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/sugarbook-ada-unsur-perbodoh.html