Strok Punca Simptom Dan Jenis Jenisnya
Strok atau angin ahmar merupakan masalah kesihatan melibatkan kelumpuhan saraf yang berlaku disebabkan saluran darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian otak diganggu menyebabkan oksigen yang mencukupi tidak dapat dibawa ke bahagian otak tersebut.
Berikut kami kongsikan kepada anda penjelasan lebih lanjut dan terperinci berkenaan penyakit berbahaya yang boleh membawa maut ini. Untuk mengetahui lebih lagi tentang penyakit ini, pastikan anda terus bersama kami sehingga ke penghujung artikel.
Apa itu Strok?
Strok atau dikenali juga sebagai angin ahmar adalah keadaan prubatan yang berlaku apabila otak kehilangan bekalan darah sama ada kerana pembuluh darah tersumbat (trombosis), pembuluh darah menyempit (stenosis) ataupun pembuluh darah pecah yang menyebabkan pendarahan dalam otak.
Apabila bahagian otak tidak dapat menerima bekalan darah yang mencukupi, sel-sel otak akan kekurangan oksigen dan nutrien, dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian otak itu tidak berfungsi.
Untuk pengetahuan anda, angin ahmar ini adalah punca utama yang ketiga bagi kematian di Malaysia. Di seluruh dunia, penyakit ini adalah penyebab kedua paling biasa bagi kematian dan penyebab utama bagi kehilangan upaya orang dewasa.
Setiap tahun, jutaan orang menderita serangan strok. Ia juga antara empat penyebab utama kematian di negara-negara ASEAN, dengan jumlah kasar kematian antara 10.9/100,000 (Thailand) kepada 54.2 bagi setiap 100,000 (Singapura).
Jenis Strok Otak
Untuk pengetahuan anda, strok otak atau angin ahmar ini terdapat dua jenis, iaitu:
Strok iskemia
Angin ahmar jenis ini adalah yang paling biasa berlaku menyumbang kira-kira 90% kes. Ia berlaku apabila saluran darah yang membekalkan oksigen dan nutrien tersumbat. Beberapa punca angin ahmar jenis ini ialah:
Aterosklerosis: Pembentukan plak lemak di dinding arteri. Plak ini boleh menyempitkan arteri dan mengurangkan aliran darah ke otak. Plak juga boleh pecah, membentuk bekuan darah yang boleh menyekat arteri sepenuhnya.
Embolisme: Bekuan darah atau bahan lain yang terbentuk di bahagian lain badan dan bergerak melalui aliran darah ke otak, menyekat saluran darah di sana.
Penyakit Arteri Kecil: Kerosakan pada arteri kecil di dalam otak, sering disebabkan oleh tekanan darah tinggi yang tidak terkawal.
Strok hemoragik (berdarah)
Angin ahmar jenis ini, berlaku apabila salah satu saluran darah di otak pecah dan berdarah. Keadaan ini kemudian menghalang sebahagian otak daripada menerima oksigen yang mencukupi dan menyebabkan kerosakan.
Punca jenis ini berlaku selalunya disebabkan oleh Aneurisma otak iaitu pembengkakan abnormal pada dinding arteri di dalam otak. Aneurisma yang pecah boleh menyebabkan pendarahan yang teruk.

Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Tanda Sebelum Serangan/ Simptom Awal
Walaupun penyakit strok ini sering berlaku secara tiba-tiba, terdapat juga tanda-tanda amaran yang boleh dikesan sebelum serangan. Tanda-tanda ini boleh dikenal pasti menggunakan akronim B.E.F.A.S.T:
Balance (Keseimbangan)
Individu itu mengalami kesukaran untuk mengimbangkan diri sama ada sewaktu berjalan atau berdiri.
Eyes (Mata)
Individu itu mengalami penglihatan yang kabur.
Face (Muka)
Wajah mungkin jatuh ke sebelah dan individu tersebut mungkin tidak dapat tersenyum dengan betul.
Arm (Lengan)
Individu itu mungkin tidak dapat mengangkat kedua-dua lengan kerana lengan akan menjadi lemah atau kebas
Speech (Pertuturan)
Pertuturan mereka mungkin tidak jelas, atau mereka mungkin menggumam. Mereka juga mungkin tidak dapat memahami perkara yang diperkatakan kepada mereka.
Time (Masa)
Jika mana-mana simptom ini kelihatan, hubungi perkhidmatan kecemasan segera.

Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
Simptom awal ini merupakan petanda penting yang perlu diperhatikan bagi memastikan rawatan awal dapat dilakukan secepat yang mungkin.
Punca Angin Ahmar
Penyakit strok ini boleh berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah:
Hipertensi: Tekanan darah tinggi yang merosakkan saluran darah.
Kolesterol tinggi dan dislipidemia: Menyumbat saluran darah.
Diabetes: Meningkatkan risiko komplikasi vaskular.
Merokok: Merosakkan dinding saluran darah.
Fibrilasi atrium: Denyutan jantung tidak teratur yang menyebabkan pembentukan darah beku.
Gaya hidup tidak aktif dan pengambilan alkohol berlebihan: Meningkatkan risiko strok.
Faktor risiko lain termasuk usia lanjut, sejarah keluarga, dan pengambilan alkohol yang berlebihan.

Strok Separuh Badan
Strok yang menyebabkan lumpuh separuh badan, dikenali sebagai hemiplegia, biasanya berlaku akibat kerosakan pada satu sisi otak, sama ada disebabkan oleh salur darah tersumbat atau pecah (strok iskemik atau hemoragik). Berikut adalah gejala atau tanda anda mengalami strok jenis ini:
Mungkin disertai sakit kepala teruk, pening, atau keliru.
Lumpuh atau lemah pada satu sisi badan (contohnya, lengan, kaki, atau muka di sebelah kiri/kanan).
Kesukaran bercakap atau menelan (jika strok mempengaruhi bahagian otak yang berkaitan).
Gangguan koordinasi, deria, atau penglihatan pada satu sisi badan.
Langkah Pencegahan
Berikut adalah langkah-langkah pencegahan strok yang boleh anda ambil:
Kawal tekanan darah tinggi
Periksa tekanan darah secara berkala.
Ambil ubat seperti yang ditetapkan doktor dan kurangkan garam dalam diet.
Kawal pengambilan gula
Jika anda menghidap kencing manis, pantau tahap gula dalam darah dan ikut pelan rawatan yang diberikan doktor.
Elakkan daripada mengambil makanan manis secara berlebihan.
Kawal kolesterol
Makan makanan rendah lemak tepu dan kolesterol, seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan bijirin penuh.
Ikut nasihat doktor untuk ubat penurun kolesterol jika perlu.
Berhenti merokok
Merokok meningkatkan risiko strok. Dapatkan bantuan untuk berhenti, seperti kaunseling atau program sokongan.
Elakkan alkohol berlebihan
Hadkan pengambilan alkohol kepada tahap sederhana (contohnya, satu minuman sehari untuk wanita, dua untuk lelaki).
Amalkan gaya hidup sihat
Jaga indeks jisim badan (BMI) dengan diet seimbang dan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu (contohnya, berjalan pantas, berbasikal).
Pilih diet kaya dengan sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, dan lemak sihat (contohnya, minyak zaitun). Kurangkan makanan bergoreng, makanan segera, dan gula.
Urus stres dengan baik
Amalkan teknik relaksasi seperti meditasi, pernafasan dalam, atau hobi yang menyeronokkan.
Dapatkan tidur yang cukup (7-8 jam sehari).
Pemeriksaan kesihatan berkala
Lakukan pemeriksaan kesihatan rutin untuk memantau tekanan darah, kolesterol, dan risiko penyakit lain.

Sumber Maklumat:
The Malaysian Medical Gazette
Cleveland Clinic
Pantai Hospitals
Baca juga: 10 Tanda Kanser Usus yang Anda Perlu Tahu Sebelum Terlambat
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/strok/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=strok