Sop Mengelirukan Kompaun Tinggi Menjejas Perniagaan Ph
Pakatan Harapan (PH) menyokong kebimbangan Industries Unite, kumpulan mewakili 110 persatuan perniagaan dengan 3.3 juta perniagaan dalam sidang media mereka baru-baru ini bahawa pelaksanaan kompaun tinggi dan Prosidur Operasi Standard (SOP) Covid 19 yang mengelirukan menjejaskan perniagaan.
Menurut kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH, kesan negatif tindakan-tindakan terbaharu kerajaan Perikatan Nasional itu kelihatan berbekas terhadap sentimen pengguna dan kekurangan pendapatan perniagaan sejak beberapa bulan lalu.
“Kami menyokong banyak dari isu-isu yang dibangkit dalam sidang media tersebut terutama berkait isu kedudukan kompaun yang telah dikenakan di sisi undang-undang, tindakan penguatkuasaan yang terlalu tegas terhadap individu dan syarikat, masalah SOP yang kurang jelas atau mengelirukan serta kesan negatif tindakan-tindakan ini terhadap sentimen pengguna dan operasi perniagaan.
“Kami juga prihatin berkaitan isu keperlembagaan pengenaan kompaun terhadap individu pada ketika perincian kesalahan belum lagi dimuktamadkan,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Menurut mereka lagi, Peguam Negara perlu meneliti isu penguatkuasaan undang-undang ketika perincian kesalahan tidak ditetapkan dari sudut pandang Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan asasi.
Majlis Setiausaha juga menggesa Kerajaan PN untuk menjelaskan bagaimana perubahan dasar dan undang-undang ini telah membantu mengurangkan kes Covid-19 dengan cara yang bersasar, berkesan serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada kehidupan ekonomi rakyat Malaysia terutama dari kalangan B40.
“Sebagai contoh, apakah bukti bahawa nilai asal kompaun RM1,000 untuk mereka yang tidak mematuhi SOP di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) tidak berkesan dalam usaha mengurangkan jangkitan Covid-19, dan apa yang telah membuatkan kerajaan percaya bahawa meningkatkan nilai ini kepada RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi syarikat akan menjadikan usaha mengekang penularan Covid-19 lebih berkesan?
“Kami menggesa kerajaan untuk menunjukkan langkah-langkah yang diambil secara saintifik dan berasaskan data dalam merangka SOP.
“Sebagai contoh pada hari ini kita masih tidak tahu bagaimana berbilion-bilion daftar masuk “MySejahtera” diguna untuk menjejak dan mengenalpasti mereka yang berkemungkinan pesakit positif Covid-19 dan bagaimana data ini diguna untuk mengenalpasti lokasi yang berpotensi menularkan Covid-19.
“Sebagai contoh pada November 2020 (dalam perbahasan) di Parlimen, dilaporkan bahawa hanya 4% kes positif Covid-19 dijejak menggunakan aplikasi MySejahtera,” kata kenyataan itu lagi.
Majlis Setiausaha juga melahirkan kebimbangan kerana sehingga hari ini rakyat masih belum melihat bukti bahawa data dari aplikasi MySejahtera dimanfaatkan secara berkesan pada waktu PKP / PKP 2.0 untuk mengekang penularan virus Covid.
“Kami juga menggesa Kerajaan untuk bersikap berperikemanusiaan dalam tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada agar sebagai contoh, pembasuh pinggan yang miskin tidak akan dikenakan kompaun RM10,000 hanya kerana mereka terlanggar SOP dalam keadaan yang tidak menjejas keselamatan orang lain,” kata mereka.
Menurut mereka lagi, Ahli-ahli Parlimen PH komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dan Negeri untuk memberi input serta cadangan bagaimana dasar untuk mengekang penularan Covid-19 dapat dirangka atau dilaksana dengan lebih baik.
Tegas Majlis Setiausaha, kebanyakan dari dasar-dasar dan proses-proses yang tidak dirangka dengan baik boleh dielak sekiranya pindaan undang-undang dibincang dengan teliti serta dibahas di Parlimen.
“Rasional tidak memanggil sidang Parlimen untuk memudahkan pindaan undang-undang sedia ada yang sepatunya membantu mengawal penularan Covid-19 terbukti tidak benar. Maka kami menggesa Parlimen bersidang semula segera sebagai salah satu cara untuk menyelamatkan negara, dari sudut kesihatan dan juga ekonomi, dengan menggubal undang-undang dan dasar-dasar yang lebih berkesan,” kata mereka.
Tambah majlis itu, tanpa kebertanggungjawaban Parlimen masalah sedia ada akan berlarutan seperti yang disebut Datuk David Gurupatham, wakil Industries Unite, serta menjadi norma di mana, “Semua jelas bahawa semuanya tidak jelas.”
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan Dr Ong Kian Ming.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/31793