Solat Tahajud Niat Panduan Doa Tahajjud Kelebihan
SOLAT TAHAJUD
Qiamullail atau bangun malam untuk mengerjakan ibadah seperti solat sunat tahajud, taubat, tasbih, hajat, membaca al-Quran, beristighfar dan berzikir sememangnya amat dituntut dalam Islam sebagai salah satu terapi diri yang amat berkesan.
Ini kerana, waktu yang paling mustajab berdoa memohon keampunan Allah SWT adalah pada waktu satu pertiga malam. Bermunajatlah kepada Allah SWT serta laksanakan solat tahajjud, taubat dan sebagainya pada waktu itu kerana solat malam adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan kita dengan Allah.
Tahukah anda, Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.
Sebelum tidur, berniat dan berazamlah untuk bangun berqiamullail kerana begitu banyak kelebihannya.
Jom kami kongsikan lebih lanjut tentang solat sunat yang cukup istimewa dan luarbiasa ini.
Pengenalan
PENGERTIAN
Pengertian Tahajjud ialah sembahyang sunat apabila terjaga daripada tidur malam walaupun tidur hanya sebentar.
WAKTU SOLAT TAHAJJUD
Sembahyang ini dilakukan selepas daripada waktu Isyak sehingga terbit fajar (Subuh). Sebaik-baiknya dilakukan pada waktu satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga ke fajar.
BILANGAN RAKAAT
Solat ini boleh dikerjakan sebanyak 2 / 4 / 6 / 8 atau 12 rakaat atau sebanyak yang mungkin mengikut kemampuan.
Sembahyang ini dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat secara bersendirian. Lakukanlah seberapa banyak yang termampu.
HUKUM
Hukum solat tahajud adalah sunat muakkad, iaitu amalan sunat yang sangat digalakkan.
KEUTAMAAN MENDIRIKAN SOLAT TAHAJJUD
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
(Surah Al-Isra’, Ayat 79)
Kelebihan Solat Tahajud
Antara kelebihan solat ini adalah:
Mendapatkan pengawasan Allah SWT dan menampakkan kesan-kesan ketaatan di wajahnya.
Dikasihi oleh para ahli ibadat dan orang- orang mukmin.
Percakapannya mempunyai hikmah, benar dan bijaksana.
Wajahnya bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
Dimudahkan hisab ke atasnya.
Senang melalui Titian Siratul Mustaqim umpama kilat yang menyambar.
Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
Jauh daripada kebinasaan.
Cara Mengerjakan Solat Sunat Tahajjud
LAFAZ NIAT SOLAT SUNAT TAHAJUD
اُصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Usolli Sunnatat-Tahajjudi Rak’ataini Lilaahi Ta’ala
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.”
BACAAN SOLAT SUNAT TAHAJUD
Pada rakaat pertama hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun atau mana-mana surah pilihan
Pada rakaat kedua hendaklah baca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas atau mana-mana surah pilihan
Doa Tahajjud
Selepas daripada salam, anda boleh membaca doa tahajud seperti berikut:
Bacaan rumi :
‘Allahumma Lakal-Hamdu Anta Qoyyimus-SamaWaa Tiwal-Ardhi Waman Fii-Hinna, Walakal Hamdu Laka Mulkus-Samaa Waa Tiwal-Ardhi Waman Fii-Hinna, Walakal-Hamdu NuuRus-Samaa Waa Tiwal-Ardhi, Walakal-Hamdu Antal-Haqq WaWa’-Dukal Haqq WaLiqoo-Uka Haqq WaQauLuka Haqq Wal-Jannatu Haqq WanNaRu Haqq, WanNabiyYuuna Haqq, WaMuHamMaDun Sollallahu ‘AlaihiWasallam Haqq, WasSa-‘ATu Haqq
AllaHumMa Laka AslamTu, Wabika Amantu, Wa ‘Alaika TawakKalTu Wa iLaiKa AnabTu Wabika KhoSomTu, Wa iLaiKa Hakamtu, FagFirLi MaaQadDamTu, WaMaa Akh-KhorTu WaMaa AsRarTu WaMaa A’-LanTu, AnTal MuQodDimu Wa Antal Mu-Akh-Khiru, Laa iLaha illa Anta
Maksudnya:
“Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
Takdir mampu diubah dengan tahajud. Doa sewaktu tahajud, ibarat panah yang tepat tikamannya. Bila kita ditimpa ujian, asingkan diri kita dengan dunia sementara waktu. Buat perubahan drastik dalam hidup kita. Banyakkan amal, doa dan bacaan Quran. Dan yang paling penting tahajud.
Ikhlas kerana Allah bukan mudah. Iman manusia turun dan naik. Saat ditimpa ujian, mereka meminta pertolongan, namun saat diberi kenikmatan mereka lupakan.
Check hati dan amal kita, adakah semua yang kita lakukan ini kerana Allah, atau sekadar melepaskan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
Semoga kita dapat mengerjakan secara istiqamah pada setiap malam walaupun hanya dilakukan 2 rakaat sahaja.
Rujukan: Bahagian Dakwah, JAKIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/solat-tahajud/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=solat-tahajud