Foto 1 | Inilah rupa bangunan Tokyo Camii dengan seni bina Turki. Masjid ini terletak di pinggir jalan besar, tiada pagar memisahkan bangunan masjid dengan bangunan di sekitarnya
Foto 2 | Pintu masuk utama bangunan masjid. Bahagian tingkat bawah menempatan ruang legar, perpustakaan, dewan aktiviti, kafe & kedai produk halal, tandas dan tempat wuduk
Foto 3 | Tandas dan ruang wuduk muslimah. Terdapat rak untuk kita letak kasut dan beg. Juga disediakan tisu tebal untuk kita lap keringkan kaki sebelum pakai kasut menuju ke dewan solat di tingkat atas
Foto 4 | Selesai ke tandas dan berwuduk, saya naik ke tingkat atas - dewan solat. Kebetulan semasa menaiki tangga tadi saya bertemu dengan orang Malaysia - seorang perempuan muda. Bila ada kawan, kuranglah rasa kekok saya nak lalu di hadapan jemaah lelaki (ruang dalam dewan solat dah penuh, jadi orang lelaki memenuhi bahagian luar)
Foto 5 | Pintu kecil menuju ke ruang solat muslimah. Buka kasut dan tinggalkan di luar sini
Foto 6 | Lepas tu kena naik tangga sekali lagi. Tangganya bentuk spiral dan kecil saja, perlu berhati-hati melangkah. Foto di atas saya ambil semasa menuruni anak tangga (selesai solat)
Foto 7 | Di sinilah ruang solat muslimah yang terletak di bahagian paling atas di dalam dewan solat. Ruangnya berbentuk memanjang. Semasa saya tiba, ruang muslimah sudah pun hampir penuh. Syukurlah saya masih dapat tempat. Masing-masing berbaik hati bergerak duduk rapat-rapat bagi memberi ruang kepada muslimah yang baru tiba
Foto 8 | Selesai solat Jumaat, saya dan para musafir yang lain terus bangun bagi menunaikan solat qasar Asar (buat solat jamak Jumaat dengan Asar). Selesai solat Asar, tak lama kemudian barulah imam memulakan bacaan doa.
Foto 9 | Beginilah rupa dewan solat Tokyo Camii. Begitu indah mempesona dengan seni bina Turki
Foto 10 | Bahagian kubah masjid. Kalau dapat rakam foto dari bawah tentu lagi cantik. Saya cuma sempat memotret dari ruang solat muslimah, agak sukar nak dapatkan sudut foto yang menarik
Foto 11 | Atas - lukisan simbolik hubungan Turki - Jepun. Bawah - ruang perpustakaan dan pameran
Foto 12 | Sudut berfoto yang menempatkan bendera Turki dan Jepun. Untuk info - Turki merupakan negara Islam pertama yang mempunyai hubungan diplomatik secara rasmi dengan Jepun sejak tahun 1890.
Foto 13 | Paparan waktu solat dan aktiviti masjid sepanjang bulan Disember 2024. Solat Jumaat dibuat pada pukul 12.45 tengah hari, lewat berbanding waktu Zohor supaya sesuai dengan masa rehat orang bekerja.
Foto 14 | Dewan untuk pelbagai aktiviti masjid. Pada mulanya kami sangka di sini letaknya kafe masjid sebab nampak orang ramai sedang makan dan minum. Rupa-rupa mereka sedang menikmati hidangan selepas solat Jumaat yang disediakan secara percuma (kalau tak silap pemahaman kami)
Foto 15 | Menara masjid - megah berdiri menjadi simbolik perkembangan agama Islam di Jepun
Foto 16 | Keadaan jalan raya di hadapan masjid, tak banyak kenderaan lalu-lalang. Ketika kami di sini, langit berwarna biru cerah dengan udara sejuk. Sesekali angin bertiup menerbangkan dedaun kering penghujung musim luruh. Terasa indah suasana di sini
Foto 17 | Foto bangunan Tokyo Camii yang menampakkan menara dan kubah masjid
Foto 18 | Dah berada di luar ni, barulah saya perasan papan tanda kafe & kedai. Pintu masuknya terletak di bahagian tepi belakang bangunan masjid. Bila dah masuk, baru nampak ada laluan ke kafe dari bahagian dalam bangunan
Foto 19 | Atas - antara produk jualan di kedai ini. Saya perasan, banyak produk keluaran Jepun, Turki dan Indonesia. Bawah - antara makanan yang dijual di kafe. Kafe dan kedai berada di ruang yang sama
Foto 20 | Kami beli burger, pistachio baklava, sejenis manisan dalam bekas mangkuk dan secawan kopi. Harga semua ni sebanyak 2,721 yen. Kami duduk makan di deretan meja kecil yang disediakan di luar ruang kafe|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |