Singa Lebih Mengaum Dari Harimau Malaya Bazookapenaka
Lazimnya apabila diberi pilihan di antara berita buruk dan berita baik, ramai yang cenderung kepada yang terkemudian itu dahulu.
Baiklah, Malaysia dijangka meningkat satu anak tangga ke kedudukan ke-158 dalam ranking dunia terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hasil dua persembahan terpujinya dalam dua aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 bulan ini.
Hadamkannya kerana di sebalik itu, kita akan dipintas tetangga seberang Tambak, Singapura, yang akan melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-156, didorong oleh pencapaian skuad Singa itu yang lebih mengagumkan.
Realitinya, dalam pada Harimau Malaya memberi keasyikan dalam dua perlawanan pra-Piala Dunianya bulan ini, kita seakan-akan terlepas pandang apa yang berlaku di kem ‘sahabat paling rapat, seteru paling ketat’ kita itu.
Keseluruhannya, 40 negara Asia – lapan daripadanya anggota ASEAN — terlibat dalam aksi kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 pada dua hari perlawanan yang berlangsung 5 dan 10 September lalu.
Sambil kebanyakannya bukan di luar jangkaan, terdapat beberapa yang menuntut lebih perhatian kerana kejutan yang melingkarinya.
Menurut laman foxsportsasia.com, keputusan dua daripada perlawanan berkenaan akan menimbulkan impak besar dalam ranking dunia terbaru FIFA yang akan diumumkan Khamis depan.
Dalam pada itu, seperti diutarakan FootyRankings, tiada negara yang akan mengalami nasib lebih buruk daripada Myanmar yang tewas mengejut 1-0 kepada Mongolia dalam perlawanan pertama, disusuli kekalahan 0-2 kepada Jepun dalam perlawanan berikutnya.
Lantaran itu, Myanmar kendalian Miodrag Radulovic dari Montenegro, yang mengisi tangga ke-135 dunia dalam senarai pada 25 Julai lalu, dijangka tergelincir 11 anak tangga ke tangga ke-146.
Menuruti merudumnya kedudukan negara itu dengan kejatuhan kedua terbesar ialah Indonesia, yang dijangka turun sembilan anak tangga ke tangga ke-168 gara-gara dua kekalahan berturut-turutnya dalam Kumpulan G.
Malaysia turut berperanan dalam hal itu apabila menundukkan skuad Garuda berkenaan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) 3-2 hingga mencetus rusuhan penyokong tuan rumah, yang kini akan dipanjangkan untuk perhatian dan tindakan FIFA.
Cuma, skuad di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe itu harus kini lebih menyesali kekalahan tipis 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa lalu, kerana jika meraih seri sekurang-kurangnya – apatah lagi dengan lawan di ranking ke-65 dunia itu – Harimau Malaya akan lebih keberuntungan.
Di mana Malaysia sedikit kerugian, Singapura yang kini dikendalikan jurulatih Jepun, Tatsuma Yoshida, ternyata lebih mensyukuri ketentuan.
Kerana di sebalik Harimau Malaya menang satu dan kalah satu, Singa Singapura pula seri satu dan menang satu daripada kedua-dua saingan pembukaannya – berdepan lawan di ranking lebih tinggi daripadanya.
Menyusuli keputusan 2-2 dengan Yaman (142) di Stadium Nasional, 5 September lalu, skuad yang diketuai Hariss Harun itu mengejutkan ramai dengan menundukkan Palestin (102) 2-1 ihsan jaringan Shakir Hamzah dan Safuwan Baharudin di Stadium Jalan Besar, Selasa lalu.
Malah, empat mata yang diraih itu melonjakkan mereka ke tangga teratas Kumpulan D yang turut mengandungi Arab Saudi dan Uzbekistan.
Barangkali akan ada yang beranggapan tetangga terdekat itu masih perlu menghadapi Arab Saudi (68) dan Uzbekistan (84) tapi masakan kita terlupa Malaysia juga harus melepasi halangan Thailand (115) dan Vietnam (97) tanpa kedua-duanya menawarkan laluan mudah.
Selebihnya, Kemboja bimbingan Keisuke Honda – seri 1-1 dengan Hong Kong di samping tunduk 0-1 kepada Bahrain — akan kekal di tangga ke-170 sambil Filipina – tewas 2-5 kepada Syria dan menang 4-1 ke atas Guam – tidak berganjak di tangga ke-125.
Vietnam, yang seri 0-0 dengan Thailand, akan turun dua anak tangga ke kedudukan ke-99 manakala skuad Gajah Perang itu yang membenam Indonesia 3-0 di Jakarta, Selasa lalu, akan meningkat sedikit ke tangga ke-113.
Natijahnya, Harimau Malaya hendaklah lebih menghargai dan memanfaatkan peluang di depan gol andai mahu memanjat lebih tinggi atau merelakan Singa yang mengaum lebih garang. – Hishamuddin Aun/stadiumastro
(Visited 104 times, 106 visits today)
Comments
comments
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://mediaterjah.com/2019/09/singa-lebih-mengaum-dari-harimau-malaya-bazookapenaka/