Shahrir Strategi Francais Muhyiddin Punca Pn Kalah Di Nenggiri
malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 18, 2024 10:15 AM
Veteran Umno Shahrir Samad membidas Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung prestasi buruk partinya dalam pilihan raya kecil (PRK) Nenggirri
Dalam catatan di Facebook, Shahrir menyoal Muhyiddin berhubung langkahnya untuk "francaiskan" Bersatu dalam kempen PRK Nenggiri, yang menurutnya sesuatu yang luar biasa bagi mana-mana parti politik.
"Muhyiddin selaku pengerusi PN dan Presiden PPBM telah francaiskan penyertaan PPBM dalam PRK DUN Nenggiri kepada PAS dan (bekas ahli parlimen Ketereh) Annuar Musa.
"Ini adalah suatu yang luar biasa bagi mana-mana parti politik. Lebih-lebih lagi bagi pemimpin utamanya yang sampai hari ini masih terkilan sehingga mengungkit keputusan Agong tidak melantiknya sebagai PM selepas PRU15," kata Shahrir, yang pernah menjadi ahli parlimen Johor Bahru enam penggal dan memegang tiga portfolio menteri.
Dia merujuk kepada strategi PN di Nenggiri yang secara rasmi ditandingi oleh Bersatu melalui calon Mohd Rizwadi Ismail yang menyertai parti itu daripada PAS hanya dua hari sebelum hari penamaan calon - sementara calon yang dicadangkan Bersatu diketepikan.
"Calon Bersatu yang melompat dari PAS adalah kerana tiada tokoh Bersatu yang boleh dipercayai," katanya.
"(PN guna) lambang PAS dan bukan lambang PN.
"Annuar yang lama terkenal seluruh Kelantan sebagai ‘ore parti’ memainkan peranan terpenting dalam kempen PRK ini. Lagi terbukti Bersatu di Kelantan lompong dan kosong," katanya.
Berdasarkan keputusan rasmi, bahagian undi PN di kerusi DUN Kelantan menyusut daripada 53.3 peratus pada pilihan raya negeri tahun lepas kepada 38.7 peratus.
PRK Nenggiri diadakan selepas speaker Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong, berikutan Bersatu menamatkan keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN memenangi PRK itu dengan majoriti 3,352 undi.
“ Mengapa PAS bermain sorok-sorok? Ambil francais dari Bersatu! Letak ahlinya sebagai calon lompat!
"Jangan main sembunyi-sembunyi lagi! Jangan malu-malu!
Mara ke depan! Kan dah ada tu Dr Sam (Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar) sebagai calon PM," kata Shahrir lagi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi pula menyifatkan langkah PN untuk melantik Annuar sebagai pengarah operasi pilihan raya bagi PRK Nenggiri merupakan punca kekalahan gabungan itu.
“Annuar adalah liabiliti bukan aset.
“Dia patut buat soft landing dan tinggalkan cita-cita jadi calon. Fokus saja pada NGO Muafakat Nasional menyatukan ummah.
“Pengajaran kepada PAS jangan guna katak Umno untuk malukan Umno. Isu DAP tidak lagi berkesan. Nenggiri adalah medan terakhir mamainkan isu DAP," kata Puad di Facebook.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2024/08/shahrir-strategi-francais-muhyiddin.html