Shafie Disukai Rakyat Musa Melepas
 ' Belang Bertempat '   

TIGA bulan selepas Parti Warisan membentuk kerajaan negeri Sabah  hasil beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang lompat parti,  presidennya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada Ogos 2018 memansuhkan  geran komunal.
Ketua Menteri itu menggantikan geran itu dengan pendekatan baharu iaitu geran individu.
Pemansuhan geran komunal membolehkan geran tanah akan dimiliki secara individu dan bukan lagi secara berkumpulan.
Geran individu yang diperoleh mensyaratkan pemilik tidak boleh  mencagar tanah ke bank dan selain pemilik geran individu tidak diberi  kuasa perundangan dalam urusan jual beli tanah (power of attorney).
Pembaharuan itu kata Mohd. Shafie juga adalah sebagai perlindungan kepada pemilik tanah agar tidak timbul tuntutan bertindih.
Itu antara langkah drastik Presiden Warisan itu dalam mendekati hati  penduduk Sabah, selaras dengan perjuangan Sabah for Sabahan yang  dilaungkan Warisan.
Bulan lalu iaitu 9 Julai di Keningau, Mohd. Shafie menyerahkan 2,300  geran individu melibatkan keluasan 6,425.51 hektar untuk penduduk 101  buah kampung di daerah ini.
Sebanyak 3,075.45 hektar daripadanya adalah hasil pemansuhan geran  komunal bagi 9 kampung di Sook di sini; 1,395.99 hektar pula adalah  hasil pengukuran tanah menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri  Sabah (Pantas); manakala 1,953.07 hektar lagi menerusi permohonan tanah.
Dekat dengan hati rakyat, yang menjadi motto perjuangan Warisan,  menyebabkan UMNO kelihatan menemui jalan sukar untuk menembusi pengaruh  Mohd. Shafie di mata penduduk Sabah.
Apatah lagi penguasaan Pantai Timur Sabah, khususnya kawasan-kawasan  parlimen di kawasan tersebut. Kawasan parlimen bagi Pantai Timur Sabah  meliputi Parlimen Kudat, Parlimen Libaran, Parlimen Sandakan, Parlimen  Batu Sapi, Parlimen Beluran, Parlimen Silam, Parlimen Semporna dan  Parlimen Tawau.
Daripada preskriptif etnik, Pantai Timur bermajoriti bumiputera Islam termasuk bajau etnik Mohd. Shafie.
Begitupun menurut pemerhati, Mohd. Shafie juga bakal menemukan laluan  berliku dalam pilihan raya negeri kali ini. Flip flop yang dialami  Parti Warisan apabila cuba membenarkan kelulusan pas sementara Sabah  yang berjaya disanggah oleh UMNO dalam pilihan raya kecil Kimanis  Januari lalu, memperlihatkan sisi` cacat’ pentadbiran Warisan.
Apatah lagi insiden enam ADUN BN keluar daripada BN dan menyertai  Warisan pada 11 Mei – dua hari selepas PRU-14 – sekali gus menyokong  Mohd. Shafie yang juga Presiden Warisan sebagai ketua menteri,  menyebabkan ada kalangan rakyat Sabah tidak yakin dengan mandat tulen  diperoleh Mohd. Shafie.
Maka, PRN satu-satunya jalan keluar untuk memastikan mandat rakyat yang sebenar untuk parti yang benar-benar layak meraihnya.
Sesiapa yang menang, akan menamatkan kemelut pergolakan politik di  Sabah – yang sebenarnya tidak akan tamat selagi ada kumpulan yang  bernama `pelompat parti’ terus hidup segar bugar di Negeri Di Bawah Bayu  itu.– SM
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/shafie-disukai-rakyat-musa-melepas.html