Shafee Belasah Hingga Shahrol Terdiam
Ketika diasak bertalu-talu oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebentar tadi, saksi ke-9 perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terkedu dan seolah-olah tidak tahu apa yang hendak dijawab.
Shafee ketika pemeriksaan balas dengan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang merupakan bekas Ketua Eksekutif 1MDB terdiam dan tidak mampu menjawab soalan tentang mengapakah beliau sesuka hati menandatangani minit mesyuarat yang tidak dihadirinya.
Walaupun tidak menghadiri mesyuarat tersebut, Shahrol tetap menurunkan tanda tangan minit mesyuarat ‘palsu’ itu kerana mendakwa ianya telah diminta oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jo atau Jho Low.
Shafee merujuk kepada sebuah minit mesyuarat antara Pengerusi Tetap Lembaga Penasihat (CBOA) iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Shahrol sebagai CEO 1MDB pada tarikh 30 Mac 2011 yang kemudiannya diberikan kepada Shahrol untuk disemak di mahkamah sebentar tadi.
Dakwa Shahrol, minit mesyuarat itu diberikan oleh Jho Low dan telah ditandatangani oleh Najib sendiri.
Shahrol mengakui menandatangani minit palsu kerana beliau percaya Najib dan Jho Low bekerja bersama demi membawa kebaikan untuk Malaysia.
Shafee: Ok. Saya hendak tanya kamu, adakah kamu faham fakta serta apakah urus niaga yang kamu tandatangan ini?
Shahrol: Tidak.
Shafee: Tahukah kamu apakah sebenarnya minit mesyuarat ini? (dalam nada tinggi)
Shahrol: Tidak.
Shafee: Tapi kamu tandatangan begitu sahaja?
Shahrol: Ya, betul.
Shafee: Tahukah kamu, kamu adalah CEO syarikat? Ada benda yang dibuat di luar pengetahuan kamu, kamu langsung tidak tahu. Tetapi hanya sekadar menandatangani apa sahaja yang diberikan. Tidak lebih daripada ‘rubber stamp’ (memberi kelulusan tanpa pertimbangan).
Shahrol: Pada anggapan saya, Najib dan Jho Low sedang melakukan sesuatu yang baik untuk negara dan saya hanya sekadar mengikut arahan sahaja sebenarnya. Pada saya, 1MDB adalah ‘alat’ untuk mencapai matlamat kebaikan negara yang saya katakan itu.
Shafee: Mesyuarat apa ini?
Shahrol: Saya betul tidak tahu.
Shafee: Kamu tahu peranan kamu sebagai CEO adalah membantu Najib sebagai CBOA tidak ‘main’ tandatangan ‘sampah’, contoh seperti minit mesyuarat palsu ini?
Shahrol: Saya masih menganggap Jho Low mewakili Najib dan mereka berdua sentiasa bekerjasama.
Shafee: Ok. Jadi kamu rasa Najib duduk sendirian, buat mesyuarat dengan dirinya sendiri? Begitu? Kerana kamu sudah akui tidak pula hadirkan diri dalam mesyuarat ini. Selepas itu, ada orang buatkan minit mesyuarat ini. Ini adalah ‘silo’ paling hebat yang pernah saya dengar. Macam psiko bukan?
Shafee kemudian terus menyambung menyoal Shahrol tentang apa yang telah dilakukan olehnya sebagai CEO 1MBD pada ketika itu.
Shafee: Kamu sedar atau tidak apa yang telah kamu lakukan ini? Kamu telah tandatangan satu dokumen palsu yang di reka-reka. Ini satu pembohongan, penipuan. Kamu sanggup letak tanda tangan dokumen tidak benar.
Shahrol yang terdiam seketika kemudian memberikan jawapan yang tidak di sangka-sangka.
Shahrol: Saya tandatangan kerana Jho Low yang arahkan saya berbuat demikian. Katanya Najib yang mahu saya tandatangan.
Hakim, Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan lebih awal dan akan bersambung pada Isnin depan jam 9.30 pagi kerana Shafee terpaksa berjumpa pakar mata. –MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/10/17/shafee-belasah-hingga-shahrol-terdiam/