Setakat Berani Menyindir Saja Tidak Memadai
Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob petang tadi membuat posting berbentuk sindiran di media sosial berkaitan perlaksanaan PKP penuh atau total lockdown.
Beserta gambarnya sedang menutup pintu pejabat, beliau menulis “Saya dah tutup pintu depan tapi……..”sambil disertai dengan emoji sedih.
Meskipun hantarannya itu tidak menyebut ia ditujukan kepada sesiapa secara khusus, tetapi berdasarkan situasi semasa dan kedudukannya sebagai menteri yang bertanggungjawab berkaitan keselamatan dan pematuhan SOP PKP, tidak sukar menjangka ia adalah berkenaan laporan media semalam yang menyebut sebanyak 95,142 syarikat telah diberi kebenaran oleh MITI yang menterinya ialah Azmin Ali untuk beroperasi meskipun total lockdown baru saja memasuki hari kedua perlaksanaannya.
Diberitakan beliau memuatnaik posting tersebut kerana dikatakan berasa cukup tidak puas hati dengan kebenaran begitu banyak kepada syarikat dan kilang untuk beroperasi di ketika angka kes Covid19 terus menunjukkan peningkatan angka kes yang ketara.
Hari ini saja, selain angka kes adalah sebanyak 7,703, namun jumlah kematian yang dicatat sebanyak 126 adalah yang tertinggi dalam negara.
Maka itu, jika trend memberi kebenaran kepada syarikat dan kilang terus berleluasa, sedangkan angka 95,142 yang sudah diberi kebenaran itu pun dianggap terlalu tinggi, bagaimanakah negara mahu menang dalam perang melawan Covid19 ini?
Susulan itu, muncul pula perkhabaran posting Ismail Sabri itu juga berikutan berlakunya pertengkaran dalam mesyuarat kabinet berhubung kelulusan begitu banyak syarikat dan kilang yang dibenarkan beroperasi itu.
Sejumlah menteri dikatakan tidak berpuas hati atas kebenaran tersebut kerana persetujuan telah dicapai sebelum ini untuk melaksanakan total lockdown atau PKP penuh selama dua minggu, diikuti dua fasa lagi selepas itu.
Sebelum ini, semua menteri bersetuju dengan pelaksanaan PKP penuh yang diumumkan oleh Perdana Menteri tetapi berita berkenaan 95,142 syarikat diberi kelulusan oleh MITI untuk beroperasi menimbulkan bantahan dan rasa tidak puas hati, lalu ia mencetuskan pertengkaran yang agak panas antara sesama mereka.
Semalam juga Ismail Sabri turut mengeluarkan kenyataan media berkaitan penutupan semua kilang arak dalam tempoh 1 hingga 14 Jun, walaupun sebelumnya telah dibenarkan beroperasi oleh MITI.
Tindakan Ismail Sabri mengeluarkan arahan tutup itu adalah berikutan bantahan ramai kerana rata-rata beranggapan kilang arak tidak seharusnya dibuka disebabkan ia bukanlah termasuk dalam kategori barang makanan perlu.
Dalam erti kata lain, berdasarkan apa yang berlaku sehari dua ini memang menampakkan adanya ketegangan dan rasa tidak puas hati antara beberapa menteri UMNO dengan Azmin yang diberi kuasa penuh oleh Perdana Menteri untuk memberikan kebenaran kepada mana-mana syarikat untuk beroperasi dalam tempoh PKP penuh.
Sebab itu, sindiran Ismail Sabri yang menulis “Saya dah tutup pintu depan tapi….” tidaklah sukar difahami maksudnya serta ia ditujukan kepada siapa.
Selain mungkin tindakan memberi kebenaran melalui pintu belakang untuk syarikat-syarikat beroperasi sudah banyak berlaku sebelum ini, walaupun pintu depan sudah ditutup, tidak mengejutkan juga jika lebih luas lagi pintu belakang akan terus dibuka selepas ini.
Soalnya, jika Ismail Sabri tidak puas hati dengan Azmin yang dilihat terlalu berkuasa atau begitu banyak diberi muka oleh Mahiaddin Md Yasin, sehingga walaupun pintu depan sudah ditutup untuk mengetatkan PKP, tetapi pintu belakang tetap terbuka, memadaikah sekadar berani menyindir saja?
Kenapa tidak umum saja letak jawatan dengan segera?
Mustahil ada yang akan berubah dalam kerajaan dan kepada Mahiaddin serta Azmin selepas sindiran yang dibuatnya itu.
Lagi pun, dalam mana-mana perjuangan, pertempuran atau ketika sudah muktamad ingin menewaskan pihak yang dianggap lawan, main sindir-sindir lamgsung tidak termasuk dalam strategi untuk menang perang.
Cehhh…
.(ShahbudinHusin 02/06/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/06/setakat-berani-menyindir-saja-tidak.html