
COLOMBO 23 April - Krisis dalaman antara Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena dan Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe yang berlarutan sejak tahun lalu mencetuskan persoalan mengenai ‘kredibiliti’ kerajaan mengendalikan amaran serangan ketika angka korban keganasan pada Ahad lalu meningkat kepada 321 orang.Setakat ini, 40 suspek ditahan untuk siasatan dengan 375 mangsa masih dirawat di hospital.Channel News Asia melaporkan, Wickremesinghe dikatakan ‘digugur’ daripada taklimat risikan bersama Majlis Keselamatan mengenai serangan yang dipercayai didalangi kumpulan ekstremis tempatan.Menteri Kesihatan, Rajith Senaratne memberitahu, Wickremesinghe bukan sahaja tidak diundang menghadiri taklimat yang diadakan pada 11 April lalu malah tidak dimaklumkan mengenai amaran serangan itu.“Apabila kami bertanya mengenai laporan risikan, Perdana Menteri tidak tahu dan kami dimaklumkan Majlis Keselamatan mendapat arahan supaya tidak lagi memanggilnya untuk mesyuarat majlis,” katanya.Tindakan Sirisena ke luar negara ketika kejadian turut menimbulkan persoalan pelbagai pihak dan pejabat Presiden ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.Senaratne menambah, anggota Majlis Keselamatan juga tidak mahu hadir ke mesyuarat tergempar yang diketuai oleh Wickremesinghe ketika Presiden tidak berada di dalam negara.“Ini adalah pertama kali dalam sejarah negara, anggota Majlis Keselamatan tidak mahu hadir pertemuan dengan Perdana Menteri,” tambahnya.Pada 26 Oktober lalu, Sirisena memecat Wickremesinghe secara mengejut setelah didakwa berpakat untuk membunuh beliau. Bagaimanapun, Wickremesinghe dilantik semula selepas dua bulan kemudian.Dalam pada itu, dengan kematian 321 orang dan lebih 500 lagi cedera, serangan Sri Lanka itu mengatasi jumlah kematian serangan pengeboman mati di Bali dan dua serangan Mumbai sebelum ini.Menurut laporan tersebut, jumlah mangsa terkorban dalam serangan Bali pada 2002 melibatkan 209 dengan 500 lagi cedera manakala dalam dua serangan berasingan di Mumbai yang berlaku pada 2006 dan 2008 masing-masing dilaporkan 209 orang dan 170 orang.Terdahulu di Parlimen, Timbalan Menteri Pertahanan, Ruwan Wijewardene mendakwa siasatan awal mendapati serangan tersebut menunjukkan ‘balas dendam’ terhadap serangan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, bulan lalu. – AFP/AGENSI|
Kempen Promosi dan Iklan Kami memerlukan jasa baik anda untuk menyokong kempen pengiklanan dalam website kami. Serba sedikit anda telah membantu kami untuk mengekalkan servis percuma aggregating ini kepada semua. Anda juga boleh memberikan sumbangan anda kepada kami dengan menghubungi kami di sini |