Serangan Media Sosial Apalagi Jika Tak Mampu Dilawan Petunjuk Bahaya Buat Muhyiddin
Luahan tidak puas hati dan serangan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di media sosial boleh dikata sedang berada di kemuncaknya ketika ini.
Apa saja kesempatan yang ada, sehingga di laman Facebook Istana Negara dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pun, berikutan ada hantaran yang dibuat berkenaan dengan Muhyiddin, maka ia turut dipenuhi dengan nada tidak puas hati dan serangan yang sama.
Media sosial adalah dunia komunikasi baru yang menjadikan ia dominan menguasai manusia, seterusnya meletakkan akhbar dan tv tidak lagi dipedulikan.
Memiliki akaun media sosial, Facebook misalnya, adalah umpama seseorang itu memiliki akhbar, tv atau stesen medianya sendiri.
Melaluinya, setiap orang boleh menulis apa saja, meluahkan perasaan tentang banyak perkara, memuatnaik video, bercakap secara live berkenaan isu-isu semasa seperti memunculkan diri sendiri di kaca tv dan pelbagai kesukaan lain lagi.
Oleh kerana membuka akaun media sosial adalah percuma, bermakna rata-rata yang berada di media sosial ini juga tidak dibayar apa-apa.
Mungkin ada sesetengah orang yang dibayar untuk membuka akaun media sosial, terutama untuk tujuan dan kepentingan politik sesuatu pihak, namun jumlahnya boleh dikira terlalu kecil bilangannya.
Sebaliknya, majoriti yang aktif adalah mereka yang bebas dan tidak dibayar apa-apa di mana kemunculan dilakukan sama ada sebagai medium untuk berbicara, bersosial atau atas keyakinan terhadap sesuatu pegangan.
Ini berbeza dengan media arus perdana kerana semua mereka yang menulis di dalamnya adalah dibayar gaji bulanan sebagai pekerja, dengan demikian mereka perlu patuh atau terikat kepada kecenderungan politik serta kepentingan majikan mereka.
Industri tv juga hampir sama bentuk dan wajahnya, apa yang disiarkan sebagai berita turut tidak terkecuali mengikut kehendak atau kecenderungan majikan yang memiliki stesen tersebut.
Berikutan memiliki akaun media sosial umpama seseorang itu mempunyai medianya sendiri, jika dalam keadaan tertentu, misalnya serangan dan kata-kata tidak puas hati didapati begitu memuncak terhadap Muhyiddin, ia sebenarnya adalah tanda bahaya kepada kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Ia menandakan semua nada itu adalah lahir daripada hati nurani rakyat sendiri dan bukannya diupah oleh sesiapa.
Sudah tentu tidak sama jika pengarang media arus perdana memuji atau menghentam seseorang, tulisan itu pasti lahir kerana dia dibayar gaji atau mungkin disuruh majikannya.
Dalam erti kata lain, kebenaran dan keaslian bahawa tulisan itu datang daripada hati nurani sudah tiada lagi.
Dalam konteks serangan dan kata-kata tidak puas hati yang sedang memuncak terhadap Muhyiddin tika ini, lebih buruk lagi kesannya jika tiada langsung penjelasan atau serangan balas dilakukan.
Soalnya ke mana menghilangnya para penyokong Muhyiddin?
Kenapa mereka tidak tampil menepis gelombang serangan yang wujud itu?
Apakah mereka tidak mampu langsung berhujah untuk mempertahankan Muhyiddin yang sedang dicemuh dan dilanyak teruk tika ini?
Dahulu, sebelum PRU14, Najib juga menghadapi serangan yang memuncak seperti dialami Muhyiddin ini.
Tetapi ketika itu, berikutan dana tanpa had dimiliki Najib, pemain media sosial yang dibayarnya ternampak aktif juga menyerang balas dan berlawan dengan penyokong PH yang semuanya melakukan kerja secara percuma, tetapi tetap gigih serta bersemangat untuk menjulang perubahan.
Itu pun akhirnya Najib kecundang dan tewas juga sudahnya.
Kejayaan menguasai media sosial bermakna lebih mungkin sesuatu pihak itu untuk turut sama berjaya mempengaruhi, seterusnya menguasai pemikiran rakyat dan itulah salah satu punca kejayaan PH pada PRU14 lalu.
Malah di banyak negara lain, pengaruh media sosial turut sama bermanfaat membantu kejayaan sesebuah parti atau seseorang pemimpin meraih kejayaan dalam pilihanraya yang diadakan.
Maka, jika Muhyiddin dan pasukan medianya tidak mampu menghadapi serangan media sosial yang jelas memuncak kebelakangan ini, ia bererti mereka sedang membiarkan fikiran rakyat dipengaruhi dan dikuasai arus penolakan itu.
Selain ini petanda bahaya, ia juga petunjuk semakin dekatnya Muhyiddin kepada kejatuhan.
Suara tidak puas hati dan serangan itu, kalau pun tidak semua, secara majoritinya adalah luahan asli daripada hati nurani rakyat yang benar-benar tidak lagi menyokongnya.
Membiarkan serangan dan nada tdak puas ini berterusan atau mengambil mudah tentangnya bermakna akan semakin membesar gelombang penolakan bakal menantinya di masa depan.
Kalau tidak mampu bertahan atau membalas serangan, jauh sekali untuk memuji seperti dahulu, sebaiknya elok saja Muhyiddin berundur dan meletak jawatannya, sebelum sejarah Najib berulang menimpa dirinya.
(Shahbudindotcom 06/02/2021)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/02/serangan-media-sosial-apalagi-jika-tak.html