Serangan Ganas Brutal Katanya Annuar Musa
Selepas kemenangan terbaru BN di Tanjung Piai, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa meminta pembangkang bersiap sedia dengan kemungkinan serangan balas yang lebih “ganas” dan “brutal” daripada PH.
Katanya, kekalahan teruk dalam pilihan raya kecil (PRK) di Tanjung Piai seminggu lalu, bukanlah bererti PH telah mati, sebaliknya mereka sedang berusaha memperkemas pakatan dan strategi.
“Tewasnya PH dengan teruk di Tanjung Piai bukan ertinya mereka mati. Pembangkang hendaklah bersedia dengan tindak balas lebih ganas menerusi gelombang kedua serang balas mereka.
“Perhatikan, mereka merapatkan pasukan, menyusun semula (strategi) dan menyerang balas. Tidak mustahil mereka lebih brutal lagi,” katanya dalam satu siri ciapan di Twitter.
Iklan
Kemenangan BN di Tanjung Piai menyaksikan kekalahan keempat PH daripada sembilan PRK, selepas sebelum ini kalah di kerusi parlimen Cameron Highlands dan kerusi DUN Semenyih serta Rantau.
Kemenangan kali ini disifatkan sebagai kekalahan paling teruk gabungan parti pemerintah, apabila calon BN daripada MCA, Wee Jeck Seng menang besar mengalahkan pesaing utama, calon Bersatu Karmaine Sardini yang mewakili Bersatu dengan majoriti 15,086 undi.
Kekalahan itu menyebabkan timbul gesaan meminta Dr Mahathir berundur diri dan mempercepat peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar Ibrahim, malah muncul juga khabar angin mengatakan wujud usaha Anwar untuk memulakan undi tidak percaya terhadap Mahathir, suatu yang dinafikan presiden PKR itu.
Pada pertemuan kedua-dua pemimpin itu tiga hari lalu, Dr Mahathir dan Anwar menegaskan sekali lagi persefahaman mereka bahawa isu peralihan kuasa tidak perlu diperbesar dan terlalu diberi penekanan.
Sementara itu, dalam siri ciapan Twitter sama, Annuar Musa turut sekali lagi menegaskan pendirian bahawa Muafakat Nasional menolak usaha membina kerajaan pintu belakang, dan lebih suka “berlawan berdepan” bagi menentang PH1.0, dalam masa yang sama, menolak keburukan BN1.0.
“Justeru Umno dan PAS serta gagasan Muafakat Nasional tidak akan menerima umpanan pintu belakang. Kita lawan berdepan, tapi secara bertanggungjawab.
“Kita mahu sebuah pembaharuan tulen, menolak keburukan BN 1.0, menentang PH 1.0. Lembaran baru memenuhi impian rakyat yang tidak kesampaian," katanya.
Mengulas hal itu, MP Ketereh berkata kerajaan pintu belakang berbahaya bagi ummah, kerana katanya, “pencinta kerajaan pintu belakang” kemaruk pada pangkat dan kedudukan serta akan “penasaran” apabila tidak berpangkat, tanpa peduli terhadap dasar dan perjuangan.
“Kita menolak dasar, bukan sekadar individu,” katanya.
Katanya, pembangkang menolak kerajaan yang “zalim, tipu rakyat, membawa liberalisme, memperlekeh agama, berkompromi dengan sosialis dan rasis dan yang mahu menghancurkan “asas yang dibina."
Bulan lalu, timbul dakwaan wujud komplot untuk membina kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah, serta memastikan Mahathir dapat berkhidmat sebagai perdana menteri sepanjang tempoh penggal lima tahun berbanding menyerahkan jawatan kepada Anwar pada pertengahan penggal.
Antara nama yang timbul sebagai penggerak komplot itu ialah timbalan presiden PKR yang kini menjadi pesaing Anwar dalam parti, Menteri Hal Ehwal Ekanomi Mohamed Azmi Ali serta MP Sembrong, Hishamuddin Hussein yang juga bekas naib presiden Umno.
Dakwaan itu dinafikan beberapa kali oleh Azmin dan Hishamuddin.
Bagaimanapun, khabar angin mengenai hal itu kembali bertiup apabila sekumpulan anggota parlimen BN dan PKR membuat pertemuan dengan Azmin di rumahnya malam Selasa yang lalu.
Azmin menyifatkan pertemuan dengan MP BN itu hanya pertemuan biasa manakala beberapa anggota parlimen Umno yang terlibat dalam perjumpaan itu juga dilaporkan berkata ia hanya pertemuan yang membincangkan tentang projek-projek kerajaan ke kawasan mereka.
Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bankami.blogspot.com/2019/11/serangan-ganas-brutal-katanya-annuar.html