Semua Pati Akan Dihantar Pulang Ke Negara Asal

KUALA LUMPUR: Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini  yang disahkan negatif COVID-19 ketika ditahan di Depoh Tahanan Imigresen  (DTI) akan dihantar pulang ke negara asal.
Operasi memburu  PATI akan diteruskan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan  Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa bagi membolehkan pihak berkuasa membuat  saringan kesihatan dan memastikan status kesihatan berkaitan COVID-19.
Menteri  Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang  mempengerusikan Mesyuarat Khas Pengurusan Pendatang Tanpa Izin pagi tadi  berkata, Kementerian Luar akan berbincang dengan rakan sejawat negara  berkaitan berhubung urusan membawa pulang rakyat mereka.
"Antara  perkara lain yang diputuskan dalam mesyuarat itu juga adalah saringan  COVID-19 (ujian swab) dilakukan ke atas semua pendatang tanpa izin di  Depoh Imigresen KLIA, Bukit Jalil dan Semenyih," katanya dalam sidang  media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari  ini.
Ismail Sabri berkata, PATI yang positif (COVID-19)  akan dihantar ke MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang). Mereka  yang negatif setelah menjalani kuarantin dan dirawat di MAEPS perlu  dihantar pulang ke negara masing-masing.
Dalam perkembangan  berkaitan, Ismail Sabri berkata selain MAEPS, kerajaan turut menambah  dua lagi hospital yang akan dikhaskan untuk merawat pendatang tanpa izin  positif COVID-19 iaitu Hospital Kusta Sungai Buloh dan Bangunan Wad  Bersalin Lama, Hospital Kuala Lumpur.
Semua pusat rawatan  berkenaan dijangka mampu menampung seramai 1,430 pesakit dalam kalangan  pendatang tanpa izin yang positif COVID-19.
Sementara itu,  Ismail Sabri menegaskan tidak timbul isu diskriminasi terhadap golongan  PATI di negara ini kerana tindakan kerajaan adalah untuk menjaga  kepentingan rakyat yang majoritinya mematuhi Prosedur Operasi Standard  (SOP) PKPB bagi mengekang penularan COVID-19.
"Mereka perlu  sedar pendatang tanpa izin adalah mereka yang memasuki negara secara  haram. Saya tidak tahu (jika ada) mana-mana negara dalam dunia ini yang  membenarkan mereka yang masuk secara haram tanpa dokumen sah bebas  bergerak ke mana-mana sahaja. Tidak ada.
"Mereka yang masuk  secara haram adalah salah di sisi undang-undang dan boleh ditangkap.  Itu jelas dalam undang-undang. Jadi tidak timbul isu. Kalau mereka tidak  ditangkap dan positif, tentunya golongan ini akan menyebarkan virus  kepada rakyat yang tidak bersalah," katanya.
Ismail Sabri  menjelaskan tindakan menangkap pendatang tanpa izin dapat mengekang  penularan wabak COVID-19 di negara ini dan seterusnya melindungi  keselamatan rakyat keseluruhannya.
Semalam, dilaporkan 227  pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depot Tahanan Imigresen -  Bukit Jalil, KLIA Sepang dan Semenyih, didapati positif COVID-19. 
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/05/semua-pati-akan-dihantar-pulang-ke.html