Semua Orang Dah Gila Mana Ada Langkah Tropicana Kata Ismail
Ismail Sabri Yaakob berkata semalam beliau hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Pejabat Perdana Menteri.PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob menafikan ada pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS yang dikatakan berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, semalam.
Naib presiden Umno itu berkata, segala tindakannya kini disalah tafsir sehingga beliau dianggap pengkhianat jika bertemu rakan daripada PAS.
Katanya, manakala pihak yang bertemu pimpinan daripada Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.
“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.
“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya menurut Malaysiakini.
Dalam hantaran tular di Twitter, pertemuan antara pemimpin BN dan PAS itu dikatakan berlangsung di lokasi berkenaan dari 10.30 pagi hingga tengah hari semalam.
Hantaran itu menyatakaan antara pemimpin hadir termasuk Ismail, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan setiausaha akhbar Annuar, Tun Faisal Ismail Aziz.
Khabar angin berhubung pertemuan di Tropicana Golf & Country Resort yang diberi jolokan “Langkah Tropicana” itu berlegar di media sosial, disertakan dengan beberapa gambar yang didakwa dirakam ketika pertemuan itu.
Terdahulu, Wee menafikan spekulasi beliau terbabit dalam pertemuan itu.
Beliau kecewa orang ramai masih menyebarkan khabar angin dan menuduhnya terbabit dalam gerakan politik walaupun krisis politik susulan pilihan raya umum lalu sudah diselesaikan.
Wee mengakui berada di Tropicana Golf & Country Resort ketika itu tetapi untuk satu mesyuarat dan menjamu selera dengan dua ahli perniagaan.
“Kami berada di restoran makanan Cina manakala Ismail pula di sebuah lagi restoran. Anda boleh periksa rakaman CCTV restoran itu,” katanya kepada FMT.
Hadir majlis perpisahan
Dalam pada itu, Ismail berkata semalam beliau hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Pejabat Perdana Menteri (PMO), tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein.
Katanya, malah pemimpin Umno lain seperti Khairy Jamaluddin turut difitnah, bahawa dia membuat gerakan untuk melawan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Sekarang, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi perdana menteri, pemimpin Umno memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan Umno,” katanya.
Sementara itu, Annuar turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan apabila ditanya mengenainya.
“Nak main golf kot,” jawabnya. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/11/semua-orang-dah-gila-mana-ada-langkah.html