Semua Mangsa Sudah Pucat Minta Tolong Beritahu Tak Tahu Berenang Anggota Atm Selamatkan 4 Remaja Hampir Lemas
Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menunjukkan keberanian apabila bertindak pantas menyelamatkan empat remaja yang hampir lemas selepas sampan mereka karam ketika memancing di sebuah tasik di Puncak Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor, memaklumkan bahawa Mohd Nor Khalid, yang bertugas di Kem Sungai Buloh, kebetulan melalui kawasan kejadian sebelum menyedari insiden itu dan segera membantu menyelamatkan keempat-empat remaja tersebut.
“Kalau diikutkan renangan pertama sudah membuatkan saya kepenatan tetapi mengenangkan wajah tiga lagi mangsa yang masih berpaut pada sampan itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk segera menyelamatkan mereka,” kata Sarjan Mohd Nor Khalid.
Mohd Nor, 40, adalah individu yang sanggup menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan empat remaja lelaki yang hampir lemas ketika menaiki sampan untuk memancing bersama dua rakan di sebuah tasik di Puncak Alam, semalam.
Mohd Nor yang bertugas sebagai Ketua Sel Semboyan di Pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) Kem Sungai Buloh, di sini, berkata, dia mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 12.30 tengah hari daripada kumpulan WhatsApp taman perumahannya.
Katanya, dia bersama anak lelakinya ke lokasi kejadian selepas diajak jiran sebelum mendapati empat remaja lelaki berusia 13 tahun itu masing-masing masih terapung dan berpaut pada bucu sampan yang hampir tenggelam dengan wajah ketakutan.
KONGSI DETIK CEMAS SELAMATKAN MANGSA
“Ketika itu pasukan penyelamat belum tiba dan saya tidak sedap hati melihat keempat-empat remaja itu dalam keadaan takut membuatkan saya nekad mahu berenang ke tasik kerana bimbang perkara lebih serius boleh berlaku.
“Saya beritahu orang ramai di situ untuk menyelamatkan mangsa dan mereka meminta saya supaya berhati-hati.
“Saya turun ke tasik dengan kalimah Bismillah, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT supaya semuanya selamat.
“Sebaik tiba di lokasi mereka, saya lihat muka semua mangsa sudah pucat dan mereka juga menggigil, mereka cakap ‘tolong selamatkan kami’ dan beritahu tidak pandai berenang.
“Jadi saya biarkan mereka berpaut di belakang badan sambil saya berenang ke tebing tasik.”
Menurutnya, dia berenang membawa setiap mangsa secara berasingan sejauh kira-kira 35 meter dengan kedalaman tasik itu dianggarkan lima meter, malah mengakui empat kali berenang berulang-alik memang membuatkan dirinya terasa penat.
“Saya terbayang wajah mangsa lain yang ketakutan dan saya tidak mahu berfikir lebih-lebih kerana hanya mahu menyelamatkan mereka.
“Walaupun ketika itu saya tidak menggunakan sebarang alat bantuan pernafasan, saya hanya bertawakal kepada Allah SWT saja.
“Saya mengambil masa hampir dua minit berenang membawa setiap seorang mangsa dan apabila semuanya sudah selamat sampai di tebing tasik kepenatan yang dirasai terus hilang, malah saya lega serta bersyukur kami semua selamat,” katanya.
Sarjan Mohd Nor Khalid. (tengah)
Bapa kepada empat anak itu berkata, tindakan dilakukan itu ikhlas dan atas dasar prihatin sesama insan yang dalam kesusahan.
Walaupun mempunyai kemahiran berenang, Mohd Nor mengakui agak gementar kerana tidak biasa dengan kawasan tasik berkenaan.
“Saya bukan mahu tunjuk hebat atau jadi hero tetapi ini memang sudah menjadi keutamaan kita untuk membantu jika mempunyai keupayaan itu.
“Sebagai seorang bapa, saya faham kita mesti mahu anak selamat, jadi saya cuba sedaya upaya menyelamatkan mereka.
“Saya sebak apabila ibu bapa mangsa berterima kasih kerana sudi menyelamatkan anak mereka.
“Bagi saya, saya hanya buat apa yang termampu saja dan ini juga pengalaman pertama menyelamatkan mangsa hampir lemas,” katanya yang sudah 20 tahun berkhidmat sebagai anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).
Sumber: Harian Metro
The post “Semua Mangsa Sudah Pucat, Minta Tolong & Beritahu Tak Tahu Berenang…” Anggota ATM Selamatkan 4 Remaja Hampir Lemas appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/semua-mangsa-sudah-pucat-minta-tolong-beritahu-tak-tahu-berenang-anggota-atm-selamatkan-4-remaja-hampir-lemas/