Sempat Hulur Anak Ke Belakang Sebelum Kemalangan
ROMPIN, 3 Okt (Bernama) — Surawati Mohd yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 134 Jalan Kuantan-Seremban hari ini, difahamkan sempat menghulurkan anak bongsunya kepada anak sulung beliau yang duduk di kerusi belakang kereta sebelum tragedi malang itu berlaku.
Perkara itu diceritakan anak sulung mangsa, Aryan Rizqy Muhammad Noor Idham, 6, yang menjadi yatim piatu sekelip mata bersama dua lagi adiknya, Areesh Razeen, 4, dan Arfaan Rakeen, 2.
Abang Surawati, Suwardi Mohd, 38, berkata Aryan Rizqy menceritakan perkara itu kepadanya, semasa dia berjumpa anak saudaranya yang semuanya cedera ringan akibat kejadian itu.
“Abang (panggilan Aryan Rizqy) beritahu mami (Surawati) memangku adik dan sempat hulur kepada abang yang duduk di belakang sejurus sebelum kereta mereka bertembung dengan lori.
“Saya rasa tindakan arwah, menyelamatkan anaknya dalam kejadian itu kerana bahagian hadapan kereta itu rosak secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Muadzam Shah di sini, hari ini.
Pada kejadian 5.30 pagi tadi, Surawati, 33, dan suaminya Muhammad Noor Idham Ramli, 31, maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dari arah Kuantan menuju ke Seremban terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh lori membawa muatan baja.
Kredit: Bernama
Muhammad Noor Idham yang bekerja sebagai juruwang maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu, manakala Surawati disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Muadzam Shah, pada 8 pagi tadi.
Suwardi berkata semua anak arwah juga sudah dibawa melihat jenazah ibu bapa mereka buat kali terakhir memandangkan pihak keluarga membuat keputusan untuk mengebumikan pasangan suami isteri itu secara berasingan di kampung halaman masing-masing.
Beliau berkata arwah adiknya sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Terengganu, Terengganu untuk pulang ke rumah ibu mertuanya dan kali terakhir mereka bertemu ialah pada minggu lepas.
“Kami juga sempat mendaki Bukit Besar di Kuala Terengganu bersama-sama dan semasa itu, arwah berdua rajin bersembang dan bergurau. Saya tidak sangka kegembiraan kami pada hari itu akan menjadi kenangan terakhir,” katanya.
Sementara itu adik Surawati, Syaidatul Fathihah, 30, berkata arwah kakaknya merancang untuk menyambut hari jadi ke-33 pada 30 Okt ini lebih awal namun, hasrat itu tidak kesampaian.
Surawati mahu meraikan hari istimewa itu di Cameron Highlands, Pahang pada Sabtu ini bersempena dengan ulang tahun kelahiran keenam Aryan Rizqy, kata beliau ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Kampung Gong Merawang Rhu Muda, di sini malam ini.
Jenazah Surawati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang, Marang, Terengganu selepas waktu Isyak tadi manakala Muhammad Noor Idham dikebumikan di kampungnya di Felda Lui, Jempol, Negeri Sembilan.
Sumber: BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/10/04/sempat-hulur-anak-ke-belakang-sebelum-kemalangan/