Semoga Harapan Impian Allahyarham Tok Guru Dimakbulkan
KENANGAN
SEWAKTU turun ke Kelantan Khamis lalu semasa berucap dalam majlis bertemu mata dengan para ahli dan penyokong parti Keadilan dan PH di Tendong Pasir Mas, Anwar Ibrahim menceritakan suatu kenangan kehadirannya ke Kelantan yang tidak dapat dilupanya apabila dijemput oleh Tokguru Haji Abdullah Lubuk Tapah ke rumahnya di Lubuk Tapah dan menginap di sana.
Anwar mengimbau kenangan itu apabila peristiwa itu diungkitkan oleh Husam Musa, yang menceritakan betapa sayangnya Tok Guru Haji Abdullah kepada Anwar.
Cerita Husam betapa Tok Guru Haji Abdullah pada kunjungan itu mengharapkan agar Anwar bersama isterinya, Dr Wan Azizah (Kak Wan) menginap di rumahnya.
Dalam tradisi dan budaya orang Melayu jika mereka mempelawa tetamunya bermalam di rumahnya itu menunjukkan tetamu itu sangat dihormati.
Jadi tidak peliklah menurut Husam yang rapat dengan Guru Pondok tersohor itu, semasa hayatnya, senantiasa berdoa agar Allah memberi peluang kepada Anwar untuk jadi perdana menteri.
"Tokguru sangat mengharap Datuk Seri Anwar diangkat menjadi perdana menteri. Katanya beliau (Allahyarham) berdoa agar dimakbulkan harapan itu, bukan apa kita nak tumpang," cerita Husam.
Mengapa Allahyarham Tok Guru Haji Lah berkata demikian, jelas Husam itu menunjukkan Tok Guru Haji Abdullah menyakini bahawa Anwar seorang pemimpin sekiranya diberi peluang menjadi pemimpin nombor satu negara beliau dapat membawa sesuatu lebih bermakna lagi terutamanya terhadap perkembangan dan pembangunan Islam.
"Dengan pengalaman, track record perjuangan dalam gerakan Islam semasa memimpin Abim, serta mempunyai rangkaian hubungan dengan seluruh pemimpin dunia khas dari negara Islam didunia, Datuk Seri mampu membawa sesuatu yang kita inginkan," ujar Husam.
"Sebab itulah kita berharap dan perlu memberi sokongan sepenuhnya agar pilihan raya kali ini memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar menjadi perdana menteri," sambung Husam lagi dengan disambut takbir, dan laungan reformasi.
Tokguru Haji Lah Lubuk Tapah, nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Rahman meninggal 14 tahun lalu, tanggal 19 Mac 2008 dalam usia 74 tahun. Allahyarham merupakan salah seorang Guru Pondok yang hebat dan mempunyai ribuan santri dan anak murid dari seluruh Nusantara.
Kebetulan ketika Anwar, isteri dan rombongannya berkunjung ke Pondok Lubuk Tapah tempoh hari saya ada sama dalam rombongan itu. Betapa saya melihat Tok Guru Haji Lah sangat gembira dan bahagia dengan kunjungan berkenaan. Apa lagi beliau terkenal sebagai seorang Tok Guru yang suka meraikan dan menjamu tetamu dan yang datang ke rumahnya.
Seperti mana diceritakan Husam, Tok Guru menyediakan bilik khas yang dihiasi seperti bilik pengantin untuk Anwar dan Kak Wan bermalam di rumahnya. "Ini bilik untuk Datuk Seri dan Datin Seri tidur, ambo (saya) siapkan khas untuk Datuk Seri berdua," demikian ujar Tok Guru sambil menolak daun pintu menunjukkan bilik yang dihias indah dan wangi.
Tokguru Haji Lah sangat mengharap Anwar bersama isterinya Dr Wan Azizah tidur di rumahnya. Apa yang dipamerkan oleh Allayharham Tok Guru itu menunjukkan beliau yakin dan percaya kepada kepimpinan dan prinsip yang dipegang Anwar, dimana sekiranya beliau menjadi perdana menteri Anwar dapat memenuh hajat dan cita-cita ummah Islam di negara ini.
Kunjungan bersejarah dan indah buat Anwar dan isterinya ke rumah Allahyarham Tokguru itu berlaku pada kira-kira 17 tahun lalu tepatnya pada 16 Januari 2005. Saya masih menyimpan gambar di sekitar lawatan itu.
Di sini saya siar semula beberapa keping rakaman gambar penuh bersejarah dan kenangan itu, bagi membuktikan bahawa bukan sahaja rakyat atau golongan profesional yang dambakan Anwar sebagai perdana menteri, tetapi beliau juga diharapkan oleh para guru, golongan agama dan ulamak juga mendambakan negara ini dipimpin oleh Anwar. [wm.kl. 8:09 am 05/11/2022]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2022/11/semoga-harapan-impian-allahyarham-tok.html