Selepas Rm177 Juta Dirampas Lagi Rm9 33 Juta Disita
11 March 2025Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita 13 akaun dengan simpanan berjumlah RM9.33 juta dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri ke-9.
Sumber berkata, akaun-akaun berkenaan disita selepas empat individu yang dikaitkan dengan Datuk Ismail Sabri Yaakub ditahan dan selepas Ahli Parlimen Bera itu diambil keterangan kali pertama pada 11 Februari lalu.
BH difahamkan, akaun-akaun yang disita itu adalah milik individu termasuk empat ini yang ditahan oleh SPRM.
Dalam perkembangan lain, SPRM tidak menolak kemungkinan akan merakam percakapan bekas Perdana Menteri itu selepas cuti sakitnya (MC) berakhir esok.
Bagaimanapun, BH dimaklumkan, usaha mengambil keterangan Ismail Sabri itu bergantung kepada tahap kesihatannya dan kebenaran daripada doktor yang merawat beliau.
“Dalam temu bual dengan doktor di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, baru-baru ini juga tidak dapat mengesahkan sama ada beliau cergas untuk diambil keterangan.
“Tetapi usaha akan dilakukan SPRM sekiranya Ismail Sabri disahkan sihat,” kata sumber itu.
Semalam, SPRM berkata, pihaknya akan merekodkan sejumlah 23 lagi saksi baharu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yabg dikaitkan dengan Perdana Menteri ke-9.
Jumaat lalu, pegawai penyiasat menemu bual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya.
Doktor berkenaan merawat Ismail Sabri dan SPRM mahu mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Sabtu tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana masih tidak sihat.
BH dimaklumkan, ketika itu Ismail Sabri diberikan sijil cuti sakit (MC) sehingga Rabu ini.
Sebelum ini, Ismail Sabri dilaporkan sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat SPRM selama kira-kira lima jam, sehari selepas beliau membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya ditahan SPRM untuk siasatan lanjut.
Siasatan terhadap mereka membawa kepada serbuan ke atas tiga premis dengan penemuan wang tunai pelbagai negara berjumlah RM170 juta dan 16 jongkong emas bernilai RM7 juta di sebuah kondominium yang didakwa sebagai ‘safehouse’.
Azam dalam sidang media pada Isnin lalu turut mengesahkan Ismail Sabri bukan lagi saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terbabit, sebaliknya adalah seorang suspek kes berkenaan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/03/selepas-rm177-juta-dirampas-lagi-rm933.html