Selamat Tinggal Dunia Dadah
Nurul Hidayah Bahaudin
RAMIZAN dan isterinya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Kajang Utama. FOTO Aizuddin Saad Kajang: Kehilangan bapa ketika sedang menjalani hukuman penjara akibat kesalahan dadah benar-benar menyedarkan Ramizan Abdul Malek yang akhirnya bertekad untuk berubah dan menjadi insan baharu.
Ramizan, 46, bukan sekadar pulih daripada penagihan barang larangan itu, malah kini aktif menjadi sukarelawan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat dan membantu individu yang perlukan pemulihan.
Menurutnya, tidak dapat bertemu arwah bapa pada 2012, memberi tamparan hebat buatnya dan disebabkan itu juga dia tidak lagi menoleh ke belakang serta mahu hidup bahagia bersama keluarga.
Pengawal keselamatan itu berkata, dalam tempoh lebih 20 tahun menagih dadah, sebanyak lima kali dia ditangkap dan dipenjarakan bermula 2007 hingga 2012.
"Saya mula menagih dadah sejak berusia 15 tahun kerana terpengaruh dengan rakan hingga keciciran pelajaran. Pada mulanya saya mengambil ganja dengan berkongsi wang bersama rakan untuk membeli bekalan.
"Saya gunakan wang diberi ibu bapa dan menerusi rakan juga saya beralih kepada dadah jenis heroin. Pada mulanya, saya tidak nampak kesan menghisap dadah, tetapi lama-kelamaan ia mengubah hidup saya.
"Badan saya mula rasa lesu dan kerap 'naik angin' apabila tidak mengambil dadah. Namun, selepas saya mengambilnya (dadah), saya akan kembali 'bertenaga.' Disebabkan itu, susah untuk tinggalkan tabiat ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kajang Utama di sini.
Ramizan berkata, dia benar-benar tekad berubah pada 2012 ketika menjalani hukuman atas kesalahan memiliki dadah di Penjara Kajang, di sini.
"Perkhabaran bapa meninggal dunia sangat menyedihkan dan lebih kecewa apabila tidak dapat bertemu arwah buat kali terakhir. Perkara itu mendorong saya untuk berubah selain sokongan ahli keluarga termasuk abang saya yang mencadangkan supaya saya mendapatkan bantuan AADK," katanya.
Bermula daripada situ, katanya, dia menerima kaunseling dan mengikuti program pemulihan lain yang akhirnya membebaskan dia daripada belenggu najis dadah.
Ramizan juga enggan mensia-siakan peluang keduanya dan kini membantu AADK secara aktif bagi program pemulihan penagih dadah.
Sementara itu, isterinya, Anis Suriati Mohd Nor, 35, berkata, dia bertemu dengan Ramizan ketika program memberi sumbangan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu kota dan menerima lelaki itu seadanya meskipun mengetahui sejarah hitam pemuda itu.
"Melihat kepada sikapnya yang jujur menyebabkan saya terbuka hati menerima suami. Malah, ahli keluarga saya turut menerimanya dengan hati terbuka dan kami berkahwin pada 2018," katanya.
Suri rumah itu berkata, dia sentiasa memberi sokongan kepada semuanya dan yakin lelaki itu benar-benar pulih dan enggan terjebak dengan masalah lama.
Katanya, sebagai isteri, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan suami menjalani kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada pengaruh buruk.
"Saya meletakkan seluruh kepercayaan kepadanya bahawa dia tidak akan kembali menagih dadah kerana saya percaya tiada manusia yang tidak boleh berubah. Sebagai isterinya, saya akan sentiasa memberikan sokongan kepadanya," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/selamat-tinggal-dunia-dadah.html