Selamat Beraya Penjaja Jalanan Dan Penguat Kuasa
Sepanjang Ramadan hari itu kita terkedu dengan kisah Pak Cik Petai, adik jual air mineral dan abang yang jual belon di jalanan di mana keratan video memperlihatkan mereka mengamuk dengan pegawai penguat kuasa akibat dihalang berjaja. Di media sosial menyaksikan pegawai penguat kuasa dari pihak berkuasa tempatan dikecam oleh warganet sebagai tidak bertimbang rasa, pilih kasih dan bertindak zalim.
Ada yang memainkan sentimen kaum dan agama kerana tindakan dilihat berat sebelah. Ada yang mempersoalkan mengapa hanya berani dengan warga sendiri sedangkan warga asing bermaharajalela berniaga di kawasan tertentu. Ini bukan cakap-cakap kosong. Ini yang mereka nampak dengan mata kepala sendiri. Kita pun tidak buta. Jelas nampak kalau kita rajin meninjau. Kita boleh butakan mata, hakikatnya hati tak berhenti menafi.
Kita bukanlah pengikut politik yang ambil kesempatan menangguk isu ini untuk menghentam musuh politik mereka. Yang menyokong kerajaan kata isu ini sengaja dibesarkan oleh penyokong pembangkang lalu mereka mempertahankan tindakan pegawai terbabit manakala penyokong pembangkang melihat kekasaran pihak berkuasa ini mewakili keseluruhan kerajaan. Ia seperti kerajaan menindas rakyatnya sendiri.
Saya cukup meluat dengan puak-puak politik yang tak habis-habis ini. Cuba tengok betul-betul, ini isu rakyat! Bukan isu ‘walaun’ atau ‘walanon’. Dunia ini bukan hanya ada dua golongan ini sahaja! Ini isu rakyat. Dari rakyat kepada rakyat.
Dalam Parlimen ada wakil rakyat. Mereka diundi untuk bercakap mewakili rakyat, bukan mewakili parti. Maka itu, pengikut politik atau penulis yang memakan gaji menulis mewakili parti mereka sepatutnya usahlah keruhkan lagi keadaan dengan mempertahankan tindakan ‘tuan’ mereka masing-masing. Seharusnya carikan penyelesaian agar situasi menang-menang tercapai. Wakil rakyat ada, menteri ada. Selesaikanlah. Berikan idea jika ada.
“Encik Affandi, apa pandangan encik dalam soal ini?” tanya seorang pemilik restoran kepada saya. Persoalan yang sama turut dibangkitkan oleh kakak pemilik restoran makanan Melayu selang beberapa unit dari restoran mamak yang mengadu itu. Kedua-duanya kenalan baik saya kerana saya sering makan dan minum di restoran mereka.
Saya terkedu dan tersepit. Ini kisah semasa saya memegang jawatan ahli majlis di sebuah majlis perbandaran di Selangor sekitar 17 tahun lalu. Kedua pemilik restoran ini tidak kisah bersaing sesama sendiri. Ini bisnes, kata mereka. Yang mereka sungutkan kepada saya ialah tentang penjaja tak berlesen tepi jalan di persekitaran mereka.
“Saya faham rezeki masing-masing, encik,” tegas abang mamak ini. “Tapi saya kena bayar sewa kedai, bil elektrik dan air, gaji pekerja. Mereka tidak perlu semua itu.”
“Saya ada jual nasi lemak, mereka pun jual tepi jalan. Saya jual nasi ayam berempah, di seberang jalan pun ada dan lebih murah. Mestilah orang beli di sana. Saya tak bolehlah jual semurah itu untuk tanggung kos operasi,” sungut kakak restoran pula.
“Mereka tiada lesen, kami ada. Mereka nak cari makan, kami pun. Pekerja-pekerja kami pun perlukan mata pencarian. Kita semua kena kerja untuk cari makan tapi kami ikut undang-undang. Mereka?” kata mereka sependapat walaupun saya bertemu mereka pada waktu yang berlainan dan di tempat berasingan. Sungguh, saya hanya mampu terkelip-kelip memandang mereka tanpa sepatah ayat. Berat!
Saya pernah jadi seperti Abang Belon, Adik Air Mineral dan Pak Cik Petai. Itupun saya lebih bernasib baik berbanding mereka sebab saya ada kerjaya. Saya cikgu. Namun, hidup di bandar besar tak cukup tambahan pula saya ada dua anak istimewa yang terlantar. Anak-anak saya perlukan makanan dan minuman berkhasiat serta latihan rapi untuk sentiasa sihat dan tahan lasak tak mudah sakit. Maka, belanja makanan dan latihan agak tinggi. Saya dan isteri yang ketika itu masih muda dan cergas pergi meniaga untuk mencari duit lebih. Kami masuk secara ‘rambo’ di pasar malam atau di mana-mana acara.
Pernah saya ditahan oleh seorang pegawai polis yang tidak beri saya berniaga nasi lemak pada sebuah acara besar di stadium nasional kita itu.
“Saya nak cari duit belanja anak istimewa saya, tuan,” rayu saya.
“Saya faham tapi peniaga-peniaga yang menyewa di gerai komplen. Mereka kena bayar sewa tapi peniaga-peniaga macam awak tak,” jawabnya.
“Saya tak tahu bagaimana nak sewa dan saya tak ada duit nak bayar sewa,” kata saya.
Namun, jawapan saya tidak diterima. Kalau dah tak boleh meniaga maka tak bolehlah! Saya tak dibenarkan masuk. Akibatnya, tengah malam itu saya dan isteri pergi ke tempat buang sampah dan mencampakkan dua bakul penuh berisi nasi lemak. Kami pulang rugi. Kecewa itu ada tapi tidaklah mengamuk. Sakitnya itu saya faham. Sebab itulah saya boleh memahami keadaan Pak Cik Petai, Adik Air Mineral dan Abang Belon.
Beberapa lama selepas itu saya buat pinjaman bank (jadi cikgu senang buat ‘loan’) dan membuka kedai. Saya buka kedai baju tetapi apabila kedai saya gagal sebab lokasi tak strategik, kami tukar strategi buka kedai makan pula. Betul, selain kesihatan anak-anak yang tidak stabil dan persaingan kuat di antara restoran-restoran lain, saingan dengan penjaja tak berlesen tepi jalan juga adalah faktor yang buat kami kalah dan tutup kedai. Jadi, di posisi ini saya boleh faham dilema peniaga kedai.
Sebagai ahli majlis di sebuah kerajaan tempatan, kami pembuat dasar di kawasan kami serta melaksanakan penguatkuasaan. Pihak berkuasa tempatan perlu melaksanakan pentadbiran mengikut garis undang-undang. Aduan mamak dan kakak restoran itu mesti diambil perhatian dan sesekali tindakan terhadap penjaja tak berlesen perlu dilakukan. Undang-undang perlu dilaksanakan cuma harus bijak dan tidak menyalahgunakan kedudukan untuk melakukan kekasaran. Selalunya notis amaran akan diberikan dahulu untuk dikompaun. Jika ada dasar yang memberikan peluang untuk mendaftar lesen sementara, bantu mereka. Bagaimanapun, harus dilihat dahulu lokasinya adakah sesuai, apakah mengganggu peniaga sedia ada dan adakah tidak menjejaskan keselamatan pihak lain jika berniaga di tepi jalan.
Maka, bagi seorang manusia seperti saya yang pernah duduk di tiga posisi tadi iaitu peniaga jalanan, peniaga berpremis dan ahli badan berautoriti, memang di semua kedudukan tersebut ada dilema berat yang tersendiri. Yang sama cuma satu iaitu masing-masing sedang melaksanakan tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga.
Saya berpendapat kita semua sedang terperangkap di dalam sistem. Kita semua terpaksa bersaing dalam hidup yang cukup keras ini mengikut apa yang kita ada. Sistem mengaturnya begitu. Kalau kita ada kelulusan, kita berada di jalan tertentu. Kalau tiada, kita berada di jalan lain. Kalau kita anak orang senang, kita di jalan yang satu lagi dan kalau kita datang dari latar orang susah, kita berjalan dengan kapasiti sebegitu. Dalam mencari nafkah inilah kita bertembung antara satu sama lain.
Tanpa kita sedar kita semua sedang berebut-rebut siapa yang dapat makan dulu sepertimana kanak-kanak pelarian perang yang bersaing merebut makanan yang turun dengan payung terjun. Untuk mendapat makan kita harus memenuhi tuntutan peribadi kita dahulu sebelum beri ruang kepada pihak lain. Jika kita bekerja, kita kena jalankan tugas kita sebaiknya dahulu. Itu yang adakalanya kita jadi lurus. Apa yang ada di dalam buku skop kerja kita, kita utamakan tanpa kompromi sedangkan apa yang kita hadap adalah manusia lain yang banyak sebab dan alasan.
Dalam kes penjaja dan penguat kuasa itu saya tidak punya jawapan yang benar-benar sedap untuk menentukan siapa betul di antara penjaja dan penguat kuasa ini. Yang sini betul tapi ada salahnya. Yang sana salah tapi ada betulnya. Hendak betul yang mutlak memang susah. Saya tahu ada yang tak kena dalam sistem hidup kita. Daripada sistem pendidikan, agama, budaya dan persaingan ekonomi serta cara kita menilai manusia memang ada kepincangan. Itu belum termasuk ketaasuban kita dalam politik pula. Itu akan lebih menyemakkan lagi keadaan.
Saya sedar itu. Cuma jika tanya saya apa perlu kita buat untuk kita berikan keadilan kepada semua pihak, maaf! Memang saya tak tahu. Sesuatu harus difikirkan oleh para pembuat dasar untuk mengimbanginya.
Yang boleh saya buat hanya berharap dan berdoa agar kita semua tidak menindas dan tidak menyusahkan pihak lain.
Selamat hari raya semua terutama Pak Cik Petai, Adik Air Mineral, Abang Belon dan pegawai penguat kuasa! - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/04/selamat-beraya-penjaja-jalanan-dan.html