Sekolah Di Ranau Lahad Datu Disaran Buat Latihan Hadapi Gempa Bumi
MURID SK Tongou dilatih berlindung di bawah meja jika berlaku gempa bumi ketika bengkel persediaan menghadapi gempa bumi. FOTO ihsan UMS
Kota Kinabalu: Sekolah di Ranau dan Lahad Datu disaran menjadikan latihan persediaan menghadapi gempa bumi sebagai aktiviti berkala untuk meningkatkan kesiapsiagaan berdepan bencana alam itu.
Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Carolyn Melissa Payus berkata, langkah itu penting memandangkan kedua-dua daerah berkenaan paling berisiko dilanda gempa bumi.
Katanya, NDRC sedia membantu jika ada sekolah yang memerlukan bantuan kepakaran serta latihan persediaan menghadapi gempa bumi.
"Kita berharap agar lebih banyak sekolah melaksanakan latihan ini terutama di daerah Ranau dan Lahad Datu serta menjadikannya latihan berkala memandangkan dua daerah ini berisiko menghadapi bahaya gempa bumi di Sabah," katanya, dalam satu kenyataan, di sini.
Carolyn berkata, NDRC melaksanakan bengkel seumpama itu sejak 2018 melalui Projek Pendidikan Gempa Bumi Murid Sekolah Sabah yang dibiayai UNICEF Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah.
"Namun program ini terhenti ketika pandemik Covid-19 dan baru dibuat semula pada tahun dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Tongou sebagai sekolah pertama memulakan inisiatif menjemput NDRC memberikan ceramah latihan perseduaan gempa bumi di sekolah itu.
"Program pendidikan dan pemindahan ilmu mengenai bencana alam adalah antara tujuan penubuhan NDRC agar komuniti setempat lebih memahami dan bersedia menghadapi bencana alam pada masa depan," katanya.
Daerah Ranau dan Lahad Datu dikenal pasti sebagai lokasi paling kerap berlaku gegaran akibat gempa bumi di negara ini berdasarkan beberapa siri gegaran termasuk berskala kuat yang berlaku di Ranau pada 2015 dan di Lahad Datu pada 1976.
Ketika gempa bumi bermagnitud 6.0 yang berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015, beberapa sekolah di sekitar daerah Ranau turut terjejas termasuk mengalami kerosakan akibat gegaran yang kuat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.cikgushare.com/2023/05/sekolah-di-ranau-lahad-datu-disaran.html